mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Wednesday, September 1, 2010

Tenangnya Jiwa Buat Hidup terasa Indah

Tenangnya Jiwa Buat Hidup terasa Indah
Oleh: Norazimah Ibrahim

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Bagi muslimin dan muslimat, selamat meneruskan amalan puasa dalam erti kata yang sebenar dan meningkatkan amalan di sepuluh malam yang terakhir.
Bulan ini merupakan bulan terbaik untuk muhasabah diri atau merenung diri sendiri dalam meningkatkan spiritual. Bulan ini minda lebih tenang kerana tidak perlu berfikir tentang makanan untuk sarapan pagi dan tengah hari. Waktu petang hanya perlu berfikir memasak atau membeli sedikit hidangan untuk berbuka puasa. Makan yang ala kadar hanya untuk menginsafkan diri tentang orang yang tidak berkeupayaan menyediakan makanan sesedap kita hari ini.
Bulan ini beruntunglah bagi mereka yang mengambil iktibar dan sering merenung diri. Setakat mana amalan-amalan baik atau sebaliknya yang telah dilakukan. Mengenang hidup yang terlalu singkat kerana esok saat kematian amat hampir.
Bulan ini bulan yang membuat hati lebih tenang. Lebih tenteram jiwa dan lebih menghayati indahnya hidup yang seketika ini. Seandai masih ada yang kurang tenang perasaannya, hayatilah malam-malam indah di bulan ini. Penuhinya dengan membaca kalimah tuhan dan bersujud di keheningan malam. Beristigfarlah kerana diri yang tidak pernah puas dan tidak pernah cukup dengan dunia ini. Percayalah hati cukup rasa tenang, cukup rasa bersyukur, cukup rasa puas, cukup rasa nikmat dan cukup rasa segala-galanya kerana ia sudah memenuhi semua keperluan yang kita ada.
Siangnya, penuhi dengan amalan lain yang mensucikan jiwa. Begitu banyak amalan ringkas untuk golongan yang bekerja sepenuh hari di bulan puasa. Hiasi lidah dengan kalimah tuhan dan elakkan berbual - bual yang kurang bermanfaat dan perkara yang mendatangkan dosa. Elak terlalu banyak terdedah membeli – belah kerana banyak perkara ketika itu yang mengurangkan rasa tenteram dalam jiwa. Beginilah caranya menghayati waktu siang di bulan ini.
Di bulan ini, lakukan perkara-perkara kecil yang dituntut. Ketika ini, maafkan kesalahan orang lain samaada mereka meminta maaf atau tidak. Hati akan lebih aman dari pelbagai perasaan yang membawa penyakit jiwa. Selagi perasaan ini terbuku dan terpendam, jiwa tetap dalam keadaan yang sama kerana bebanan yang dibawa ke mana-mana. Sakitnya hati kerana diri sendiri yang tidak membenarkan diri bahagia kerana tidak memaafkan.
Paling mudah sebagai latihan di bulan ini, banyakkan memberi senyuman walau perut terasa lapar. (saya mengingatkan diri sendiri kerana kadangkala ia benar-benar menduga diri untuk melaksanakannya secara berterusan). Mengenangkan Rasulullah bersabda yang diriwayatkan Abu Dzar : Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu sahabat. (Riwayat Muslim). Sewajarnya kita saling ingat – mengingatkan.
Pilihlah di bulan ini juga untuk menggandakan pemberian sama ada kepada orang yang tidak berupaya seperti orang miskin dan anak yatim atau kepada orang yang rapat dengan kita seperti rakan-rakan, keluarga dan jiran tetangga. Biarpun ia sedikit tetapi ia satu permulaan yang baik sebagai pengikat kasih sayang dan sebagai tanda ingatan. Dalam pemberian ini, berilah dalam kadar yang ikhlas dan bukan terpaksa. Biarpun nilainya kecil, nilainya besar di sisi tuhan berbanding dengan nilai yang besar tetapi hati tidak ikhlas memberinya.
Menjelang penghujung Ramadhan, masing-masing sibuk untuk bersiap pulang ke kampung. Doakan teman-teman yang pulang ke kampung halaman.
“ Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anda dalam perjalanan, mempertemukan saya dengan anda serta memuliakan anda dengan perjalanan tersebut”.
Akhirnya, sebelum berpisah dalam Ramadhan kali ini di dalam suasana pejabat, bertemulah dengan rakan-rakan untuk berjabat tangan. Menurut Riawayat Abu Daud, Rasulullah bersabda: “Setiap dua orang muslim bertemu dan berjabat tangan nescaya diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah” . Maka di kesempatan ini, rebutlah peluang sebelum berpisah sementara ini . (Insyallah).
Serikanlah juga bulan ini dengan menanamkan kasih sayang antara sahabat, antara pekerja dan majikan, antara ibu bapa dan anak, antara suami dan isteri, antara saudara mara dan antara jiran-jiran. Lakukan perkara baik yang menggembirakan mereka. Sabda Rasulullah: “Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku (Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku (Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”. Riwayat Ahmad.
Mudahnya untuk tenang jiwa. Jiwa yang tenang akan buat hidup terasa indah. Kuncinya ada dalam diri sama ada ingin lakukan atau hanya mengetahuinya tanpa pelaksanaan.

Norazimah Ibrahim

Monday, July 26, 2010

Tun Siti

Dr Mohd Asri Zainul Abidin, M.kini Jul 26, 1012:17pm

Sudah beberapa hari saya teringatkan ketinggian budi Tun Dr Siti Hasmah. Agak sudah beberapa bulan saya tidak bertemu beliau. Gambaran wajah Tun Siti yang paling indah saya lihat ketika beliau memakai telekung untuk solat.

Ketika itu saya pergi menziarahi Tun Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN). Tun Siti sendiri yang menelefon saya menjemput saya ke sana. Masya-Allah, wajah Tun Siti ketika bertelekung saling tak tumpah bagaikan wajah arwah nenek saya.


Berjalan ke berbagai tempat dalam negara ini, bertemu dengan berbagai pihak memberikan kita berbagai maklumat mengenai persepsi masyarakat terhadap berbagai perkara, khususnya para pemimpin politik. Cetusan dan ulasan rakyat itulah yang menjadikan saya ingatkan Tun Dr Siti Hasmah.



Jika kita masih ingat semasa Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri, amat sukar untuk kita dengar ulasan buruk mana-mana pihak terhadap Tun Siti. Wajahnya yang tidak sombong, gayanya yang tidak ego, kerendahan dirinya dan sikap tidak campur tangan dalam politik menyebabkan beliau tidak dimusuhi.

Ya! Ketika Tun Mahathir berada di puncak kuasa dengan penuh kemegahan pun beliau tetap bersikap sebagai seorang isteri yang tidak menyibuk diri menjadi 'menteri tambahan'. Orang tidak memperkatakan tentang sikap suka campur tangan beliau dalam urusan politik, tidak beliau dibenci kerana berlebih-lebihan dalam gaya dan cara.

Tun Siti sangat sederhana sehingga sekarang. Saya sendiri pernah mendengar Tun Mahathir bersungut kerana lama menunggu Tun Siti di kereta dan cuaca agak sejuk. Ketika itu di London.

Saya masih ingat jawapan Tun Siti: "Ada orang hendak bercakap dengan kita, takkan kita hendak tinggalkan".

Masa itu ada rakyat Malaysia di London yang datang berbual dengan Tun Siti ketika beliau hendak turun dari Malaysia Hall.

Benci pemimpin 'pasal bini dia'

Saya kagum dengan Tun Siti sebab setiap kali saya berkesempatan berbual dengan Tun Mahathir, sama ada di meja makan atau di tempat biasa, Tun Siti yang selalu berada di sebelah Tun Mahathir tidak pernah mencampuri perbualan kami khususnya tentang politik. Beliau selalu menjadi pendengar setia kepada Tun Mahathir.

Jika ada pun beliau mencelah, beliau akan bertanya khabar keluarga saya atau pandangan agama tentang urusan harian. Sekalipun beliau sebenarnya tidak pernah berjumpa keluarga saya. Tun Mahathir bertuah mendapat isteri yang tahu apa perwatakan yang sewajarnya dan tidak dianggap 'busy body' bagi negara ini ketika beliau menjadi perdana menteri.


Maka tidak hairanlah ketika Tun Mahathir berada dalam ketegangan krisis politik beliau, Tun Siti tidak menjadi sasaran kemarahan musuh-musuh politik Tun Mahathir. Hanya yang bermulut celupar sahaja yang cuba mengguris Tun Siti yang selalu diam itu. Itu pun puak yang suka menyentuh urusan peribadi orang yang tidak kaitan dengan kepentingan umum rakyat.

Begitu lama Tun Mahathir di tampuk kuasa. Tun Siti tetap bersederhana. Tiada cerita kemewahannya semasa di luar negara, atau bising campur tangannya dalam projek itu dan ini, tiada cerita 'kegarangannya' kepada pihak sana dan sini. Beliau hanya tersenyum dan merendah diri.

Bahasanya tidak bongkak, gayanya tidak berlagak. Tidak banyak cerita di media tentang dirinya, sehingga melebihi suaminya. Namun, sebagai insan tentulah ada kekurangan dan kelemahan di sudut-sudut tertentu. Demikianlah semua manusia.


Seorang pemimpin memerlukan isteri yang 'tidak menyibuk' seperti Tun Dr Siti Hasmah. Walaupun sangat terpelajar, tetapi tahu membawa diri sebagai isteri pemimpin. Setiap isteri pemimpin mesti pandai menjaga maruah suaminya.

Pandai menjaga nama baik politik suami. Jangan sampai suami dibenci rakyat kerana gaya dan sikap isterinya. Ertinya, jangan sampai rakyat membenci seseorang pemimpin 'pasal bini dia'. Buat semua isteri pemimpin, jadikanlah Tun Siti Dr Hasmah sebagai contoh yang baik dalam hal ini! Jangan lebih lajak dari laju, rakyat tak suka perangai macam itu!

Peranan isteri berdoa agar suami berada di jalan yang benar. Menasihati suami agar sentiasa ingatkan Allah dalam urusan rakyat. Janganlah isteri pula yang menyebabkan kemurkaan Allah dan kemarahan rakyat kepada suaminya. Tun Dr Siti Hasmah, tahniah!

Tuesday, July 20, 2010

Ke mana pergi subsidi kami?

Ke mana pergi subsidi kami?
Dr Mohd Asri Zainul Abidin - Mstar Jul 20, 10 12:24pm

kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju...
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara...
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja...

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta...
kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu...
tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah? wang semakin lelah?
jika semalam berlauk, hari cuma berkuah...
kerana kerajaan kita sedang susah? maka subsidi kita terpaksa diserah...

jika semalam kau makan sepinggan, hari ini separuh
kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh...
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang...

jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi...
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..

atau kami jadi insan curang...
kami diberitahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang...

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja
di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa,

menghitung setiap belanja pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia...
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak...

sedangkan kalian manusia angkasa...
istana permata dibina, kereta berjuta dirasa...elaun di serata,
dari isteri sehingga seluruh keluarga...
hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara...

tapi kami masih di sini..di teratak ini...dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam...
dengan rumah yang suram...
dengan wang yang hampir padam...

tiada istana lawa...tiada kereta berharga...
tiada layanan diraja..tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri...tiada hidangan vip...
tiada persen di sana-sini...tiada bahagian anak dan bini...

tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara...
aduhai celaka bahasa yang kalian guna...
kalian yang belasah, kami yang bersalah...
kalian buat untung, hutang kami tanggung...
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang...
kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa...
kalian makan isi, kami dijadikan abdi...
lantas, kalian rampas lagi subsidi...

ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami...
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta...
mengapa tambang tidak potong sahaja...

tapi entah berapa kali janji...
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti...
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi...
kami terus termanggu di sini...kalian juga yang nikmati...
kami hanya menggigit jari...

kembalikanlah kepada kami harta negara...
jangan hanya kalian sahaja yang merasa...



Sunday, June 27, 2010

Saya pun Julai Jugak.. He he...

Sayapun lahir Julai jugak. Tapi tak tahulah betul ke idak ni. Hanya yang disekeliling kita yang boleh menilainya...


Oleh: Norazimah Ibrahim

Selamat hari lahir buat sahabat-sahabat yang menyambut hari lahir pada bulan Julai 2010 ini. Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah telah membuat kajian terhadap individu yang lahir dalam bulan Julai. Terdapat ciri-ciri yang sering kali dimiliki individu yang lahir dalam bulan Julai. Tuan/ Puan boleh semak dengan personaliti diri sendiri dan muhasabah diri. Sahabat dan teman lain yang prihatin juga turut boleh bersama-sama mengenali sahabat-sahabat yang lahir dalam bulan ini:

JULAI
v Sangat suka didamping.
v Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki.
v Agak pendiam kecuali dirangsang.
v Ada harga dan maruah diri.
v Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan.
v Mudah dipujuk dan bercakap lurus.
v Sangat menjaga hati orang lain.
v Sangat peramah.
v Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya.
v Berjiwa sentimental.
v Jarang berdendam.
v Mudah memaafkan tapi sukar melupakan.
v Tidak suka benda remeh-temeh.
v Membimbing cara fizikal dan mental.
v Sangat peka, mengambil berat dan mengasihi serta penyayang.
v Layanan yang serupa terhadap semua orang. T
v inggi daya simpati.
v Pemerhatian yang tajam.
v Suka menilai orang lain melalui pemerhatian.
v Mudah dan rajin belajar.
v Suka muhasabah diri.
v Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama.
v Suka mendiamkan diri.
v Suka duduk di rumah.
v Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan.
v Tidak agresif kecuali terpaksa.
v Lemah dari segi kesihatan perut.
v Mudah gemuk kalau tak kawal diet.
v Minta disayangi.
v Mudah terluka hati tapi lambat pulih.
v Terlalu mengambil berat.
v Rajin dalam membuat kerja.

Benar atau tidak, diri sendiri lebih mengenal dan mengetahui. Ciri yang baik wajarlah diteruskan dan yang kurang baik perlu perbaiki hari demi hari

Wednesday, June 2, 2010

SEIKHLAS KELAPA TUA

Petikan dari : http://jihadtegakislam.blogspot.com


KELAPA TUA. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua ini tidak pernah menjadi topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua tidak pula pernah bersusah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Ia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokok sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam tu.

Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Kalau kepala orang, boleh bersepai otak.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Ia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak sahaja. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya. Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu, sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti itu. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersemburlah dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka tamatlah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti.

Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang dibakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian, ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan ke dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hinga terkeluar baunya.

Apabila sudah masak dan baunya harum semerbak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:

“Gulai apa tu? Sedap sangat baunya!”

Orang di dapur hanya menjawab, “Gulai ikan bawal.”

Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama.

Orang kata, “Oh, sedap gulai ni!”

“Oh, sedap ikan bawal ni!”

Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tiada siapa yang ambil kira dan ambil peduli.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan jua untuk dikenang atau untuk mendapat nama tetapi untuk ta’abbud kepada Allah SWT. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak pada pandangan manusia tetapi tetap wujud dalam perhatian Allah SWT.


“Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji…”

Monday, May 24, 2010

Wednesday, May 19, 2010

Jawapan bangang JWN...

JABATAN WARISAN NEGARA
Kuala Lumpur

LAPORAN Utusan Malaysia pada 14 Mei 2010 bertajuk Apa kata Jabatan Warisan Negara langkah UDA mahu maju bangunan bersejarah? Bantah roboh Penjara Pudu dirujuk.
Adalah dimaklumkan bahawa perancangan pembangunan kawasan Penjara Pudu ini telah diluluskan sebelum tertubuhnya Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Jabatan Warisan Negara ditubuhkan pada 2006 dan perancangan kelulusan terhadap kawasan ini telah dibuat sebelum itu.
Maka, setelah tertubuhnya Jabatan Warisan Negara dan wujudnya Akta Warisan Kebangsaan 2005, JWN telah dapat menyenaraikan bangunan dan tapak warisan lain yang harus dikekalkan.
Bangunan dan Tapak Warisan yang telah diwartakan akan dipelihara dan dipulihara oleh JWN seperti yang termaktub di dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005. Tanpa Akta ini sesuatu bangunan itu akan menjadi seperti yang berlaku kepada Penjara Pudu.
Walau bagaimanapun Jabatan ini telah mendapat persetujuan daripada pihak pemaju untuk mengekalkan gerbang utama Penjara Pudu dan lukisan mural yang dilukis oleh penghuni di situ sebagai peringatan kepada rakyat kewujudan bangunan bersejarah itu.
Walaupun tidak didaftarkan, Penjara Pudu itu boleh dijadikan sebagai rekod yang boleh disimpan untuk rujukan masa hadapan.
Rekod pembabitan Penjara Pudu dalam sejarah negara beserta gambar dan huraian sejarahnya tetap akan diguna pakai dalam warisan negara.

Utusan Malaysia