mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Friday, June 13, 2008

Pilot peluk Islam setelah pesawat bawa jenazah ulama dilindungi awan

Pilot peluk Islam setelah pesawat bawa jenazah ulama dilindungi awan Dilulus terbit pada Friday, June 13 @ 08:23:16 MYT oleh SongkokPutih
Oleh husamjr" Tajuk diatas ialah tajuk sebuah artikel diruangan Pedoman & Iktibar majalah Mastika keluaran Julai 2008 (ms118). Ia merupakan artikel menarik selain daripada artikel mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz di ms 84. Meremang bulu roma saya setelah membaca kehebatan ulama tersebut sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam. Bukan itu sahaja, menurut pilot tersebut, di sepanjang penerbangan tersebut awan memayungi pesawat tersebut sedangkan tempat lain keadaan panas terik. Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew pernerbangan tersebut. Melihat kepada kejadian aneh itulah, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Subhanallah.
Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau. Antaranya :
1. Beliau merupakan seorang yang terkenal yang berjuang atas nama Islam.
2. Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung 6 tahun yang lepas di sebuah Hospital di Kuala Lumpur
3. Jenazah beliau diterbangkan ke sebuah negeri di utara dengan pesawat Hercules TUDM daripada airport Subang. Selain itu jenazah beliau juga diiringi oleh polis.
4. Disemadikan di sebuah madrasah negeri kelahiran beliau sesuai dengan wasiat beliau.
5. Ribuan rakyat hadir dari seluruh pelusuk negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah beliau.
Itulah antara fakta2 yang dinyatakan tentang jenazah ulama tersebut. Saya yakin, berdasarkan fakta2 tersebut, ulama yang dimaksudkan ialah Almarhum Ustaz Fadhil Nor, mantan Presiden PAS.
Almarhum meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di HUKM pada 23 Jun 2002. Almarhum disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah negeri kelahirannya. Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 orang. Ramainya orang yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum sehinggakan jalan raya sesak teruk lebih 20 km. Kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km. Subhanallah.

Cerita awan memayungi pesawat yang membawa jenazah Almarhum Ustaz Fadhil Nor ini mungkin baru kita dengar. Dan ia diceritakan oleh pilot yang membawa kapal terbang tersebut. Inilah bila berjuang dengan keihklasan, balasan yang Allah tunjukkan dengan jelas kepada kita dan ia sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kehebatan & keihklasan Almarhum berdakwah dan berjuang untuk agama sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam. Sememangnya Almarhum berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Almarhum disegani teman dan lawan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.
Al-Fatihah.
"

Wednesday, June 4, 2008

Minyak Naik, Darah pun naik?

Dipanjangkan artikel daripada Pegawai Kaunselor LHDNM. Moga ada manfaatnya.
----- Forwarded by Sufian Salleh/APM/LHDN on 05/06/2008 11:50 AM -----

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
DETIK 12 MALAM tadi harga minyak naik 78 sen seliter! Diesel naik RM1 seliter. Maka, selepas jam 8 malam tadi berduyun-duyunlah kenderaan berbaris di stesen minyak untuk mengisi minyak.. (Jem di malam hari) harapnya untuk dua tiga hari ini selamat sikit duit. Tapi untuk kesekian harinya?... perlulah menambah belanja untuk pertambahan harga minyak... dan realitinya harga minyak naik..harga barang juga akan turut naik...
Ada individu tunjukkan reaksi terkedu, mengeluh atau mengutuk kepada siapa yang tak pasti.. sebab harga minyak naik lagi dan paling tinggi dalam sejarah. Baru ini 28 Februari 2006 minyak telah naik 30 sen. Harga minyak setangki kereta Wira 1.5 kalau dulu RM50, naik kepada RM80 bermula Februari 2006 dan kini dengan kenaikan 78 sen seliter boleh membawa kepada RM 115.00 untuk setangki penuh.
Walau harga minyak naik dan harga barang juga naik.. dan dijangka dalam tahun ini barangkali juga akan ada kenaikan-kenaikan yang lain, seharusnya kita mempunyai persediaan untuk menanganinya. Harga minyak naik bukan bermakna darah tinggi juga harus naik. Pelan jangka panjang dan perancangan kewangan perlu diambil untuk menangani isu ini.
Kerajaan punya perancangan kewangan untuk Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara sebanyak RM4 bilion, subsidi minyak masak RM 1.5 bilion, subsidi pembelian beras import RM0.4 bilion, subsidi tepung RM0.2 bilion, subsidi roti RM 0.1 bilion dan subsidi petrol, diesel dan gas RM7.5 bilion. Keadaan ini menyebabkan kerajaan mengambil langkah sebegini untuk mengatasi beban kewangan.
Bagi kita sebagai individu yang terlibat secara langsung terhadap beban kenaikan ini seharusnya mempunyai pelan jangka pendek dan panjang untuk menangani perubahan dalam perbelanjaan harian. Walau kita tidaklah sebesar kerajaan untuk menyusun perbelanjaan negara, tetapi kita perlu merancang perbelanjaan harian agar ia dapat mengimbangkan pendapatan dengan perbelanjaan harian. Lebih mudah, kecil dan lebih senang untuk merancang perbelanjaan diri dan keluarga daripada mengeluh berikutan pertambahan dalam perbelanjaan.
Apa yang perlu anda lakukan bermula hari ini.
1. Rekod perbelanjaan keluar masuk wang keluarga
2. Bermula bulan Julai rancang perbelanjaan yang akan digunakan dalam sebulan. (Lihat lampiran perbelanjaan bulanan yang disertakan)
3. Lihat rekod perbelanjaan bulan ini sama ada berlalu pembaziran atau terlebih berbelanja kepada perkara yang tidak perlu
4. Dalam senarai perbelanjaan bezakan antara keperluan dan kehendak ( barang keperluan adalah wajib dan kehendak jika tiada ia tidak menjejaskan serta boleh untuk tidak membelinya)
5. Fikirkan bersama pasangan sama ada perlu beberapa penjimatan yang boleh dibuat lagi (seperti jika selama ini selalu makan luar, barangkali dengan masak di rumah dapat menjimatkan perbelajaan atau mengurangkan 'makan angin' setiap hari minggu atau menukar jenis kenderaan yang lebih jimat minyak)
6. Ajar atau bimbing semua ahli keluarga untuk berjimat. Tidak guna seorang sahaja yang cuba berjimat tetapi yang lain boros untuk menggunakan wang.
7. Semak jumlah hutang semasa. Seboleh mungkin elak menambah hutang. Banyak hal dalam dunia ini ingin kita miliki. Namun tak semuanya harus kita ada. Kita perlu menilai kemampuan diri sama ada boleh memilikinya atau harus bersabar dan mengumpul sejumlah wang untuk memilikinya. Contohnya, kita masih tidak berkeupayaan memiliki sebuah rumah kerana baru setahun dua bekerja. Berjimatlah untuk mengumpul wang agar memperolehnya di masa depan daripada ingin memilikinya juga walau sukar. Rumah satu keperluan wajib ada namun tiada kemampuan barangkali perlu menyewa atau duduk bersama ibu bapa. Memaksa untuk memilikinya memungkinkan kita mencari jalan untuk memilikinya biarpun cara TAK HALAL.
8. Menyimpan wang sekurangnya 10% daripada pendapatan. Hanya ini wang yang ada untuk diri kerana yang lain-lain telah jadi hak orang lain apabila dibelanjakan. Tujuan menyimpan di antaranya untuk pendidikan anak, kegunaan waktu terdesak atau sukar (masuk hospital atau kemalangan) dan simpanan hari tua ( terutama yang tiada pencen).

"Perubahan kecil yang anda lakukan boleh menjadi hasil yang besar dan berbeza'

Selamat berbelanja dengan berhemah dan berjimat untuk keharmonian hidup..




Norazimah Ibrahim
Counselor Officer
Inland Revenue Board of Malaysia
Human Resouce Management Division
8th Floor, Block 9
Goverment Building Complex
Jalan Duta P.O Box 11833
50758 Kuala Lumpur
Tel: +603-6203 9501
Fax: +603-6201 2482
----------------------

Kalau tak mahu, pulangkan!!

Sebuah kisah untuk renungan kita bersama.
Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya
terbuka. Perlahan kereta di halakan ke dalam garaj. "Horey! Papa balik!"
Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.
"Tepi! Bahaya tau tak?" Jeritnya.
Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.
"Aimin bawa adik ke belakang." Arahnya pada anak yang sulong.
Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut
terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.
"Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang.
Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita," pujuk Laila.
Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian
terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.
"Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat!
Tutup paip tu! Buka shower!" Sergahnya. Suara yang bergema mematikan
tawa anak-anaknya. "Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju
berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?" sambungnya kembali
bila isterinya terpacul di belakang pintu.
"Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum
ye. Mama dah siapkan kat taman." Balas isterinya lembut.
"Fail saya kat depan tu mana?"
"Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan."
"Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu
patutnya saya bawa meeting tengahari tadi." Rungutnya sekalipun di hati
kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. Suasana sepi kembali.
Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari
riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.
"Laila..." Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.
"Saya nak ke out station minggu depan."
"Lama?" Soal Laila.
"Dalam seminggu."
"Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?"
"Budak-budak?"
"Ikut jugalah."
"Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana.
Tengok masa kat Legacy dulu tu..."
"Masa tu Amirul kecik lagi." Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih
berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari
keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan
di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku.
Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak
minta ganti rugi. "Bolehlah Pa! Lama sangat kita tak ke mana-mana." "Nak
jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung," Muktamad!
Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke
kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil
hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan
rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula
untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.
"Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka
bakar abah ambik bagi kamu!"
"Manalah saya ada masa.." "Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan
balik!" Dia tersentak dari khayalannya. "Kalau tak suka pulangkan
balik!" Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah
bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak
suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia
akhirat Laila adalah isterinya. Cuma.. "Mizi, makan!" Panggil ibunya
yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. "Jangan ikutkan hati. Yang
sudah tu sudahlah." "Papa! Makan!" Jerit Aiman ,anak keduanya sambil
tersengih-sengih mendapatkan dirinya. "Tak boleh panggil papa elok-elok.
Ingat papa ni pekak ke?"
Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba
saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.
"Awak masak apa?"
"Mama masak sup tulang dengan sambal udang!" jawab Amirul memotong
sebelum sempat mamanya membuka mulut.
"Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang
selera!"
"Papa nak ke mana?" Soal isterinya perlahan.
"Keluar!"
"Mama dah masak Pa!"
"Awak saja makan!"
"Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!"
Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil
hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah
papanya keluar dari ruang makan. "Kenapa sekarang ni papa selalu
marah-marah ma?" Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi
nasi. "Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan." "Abang tak suka tengok
papa marah-marah.." "Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam
gorilla kan?"
Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila
menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya
hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?
Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
"Laila.." serunya
"Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita
tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau
nanti." Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
"Sunyi pulak rumah ni mak,"
"Lama-lama kau biasalah."
Airmatanya menitis laju. "Kalau tak suka pulangkan!" Dia rasa terhukum.
Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa
terluka. Kehilangan yang amat sangat.
"Papa beli apa untuk Aiman?" Soal Aiman sebaik dia pulang dari
outstationnya.
"Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu."
"Tak ada lah?"
"Ingat papa ni cop duit?"
Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian
rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu
mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum
petang.
Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi
ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. "Awak tak sihat ke?"
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.
"Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi." Aimin mencelah di antara
perbualan kedua ibu bapanya.
Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan
berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman
tercegat.
"Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak
tumpah tak sah!" Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju
mamanya dipegang kejap.
Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis.
Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila
cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di
pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.
"Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!"
Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam
pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat
kekasaran suaminya terhadap anak-anak.
"Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang
bukan-bukan." Ujar Laila perlahan
"Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya?
Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam
ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?" Omelnya kembali.
Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak
itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya.
Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup
dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang
bukan-bukan terhadap mereka.
"Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas
betul duduk dalam rumah ni." Laila menyuruh anak-anaknya bermain di
halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton
dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca
pecah. "Celaka betul!" Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.
"Abang!"
"Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan!
Perangai satu-satu macam tak siuman!" Getusnya kasar.
Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya
petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam
menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi
cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di
dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.
Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi
sedikit pengajaran pada anak-anak.
"Pak Ngah, Eddie nak balik!" Shamizi terpana. Dia mengangguk. "Kak Long
balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti." Alangkah
mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila.
Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak
pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan
mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma
dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih
baik dari A. "Laila..." "Papa nak ke mana hensem-hensem gini?" Dia
tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian
sarat. "Wangi-wangi lagi. Dating ye?"
"Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk
staff." Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.
"Ikut boleh?"
"Dia tak ajak family. Staff only!" Terangnya sedangkan difikirannya
terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi
akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan
bujang. "Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun
bawak kami."
"Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini,
panjat itu ini. "
"Papa pesanlah.."
"Nantilah besar sikit." Dalihnya.
"Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak
ikut pergi mana pun."
"Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,"
Laila terdiam. "Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki."
"Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik." "Mama tanya sikit boleh?"
Dia mengangguk "Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan
anak-anak?"
Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa
keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan
hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja
hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain
tarik-tarik alas kainnya.
"Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,"
ujar Mr. Kwai, tuan rumah.
Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal
tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena
bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang
anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang
dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila
tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma
perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain.
Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan
anak-anaknya pada rakan-rakan.
"Kalau tak suka pulangkan!" Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.
Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata
bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan
menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba
menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu
tidak pula disusuli dengan perkelahian. "Kamu semua ni..kalau macam ni
daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!" Laila merenungnya dalam..
Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti
selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin
untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila
mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia
terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh
di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah.
Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah
lupa.. "Kalau tak suka pulangkan,"
Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang
selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat
anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan
lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya
bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak
bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat
rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang
terselit di rumpun bunga.
Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila...
Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.
Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi
membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta
lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun
untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal
dilahirkan dua bulan lagi..
Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan
isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah.
Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk, bagaimana pun dipandangan
harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya, Laila dipulangkan.