mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Wednesday, January 13, 2010

Tukar Tiub pula buat aku terkenang-kenang (2)

Isk isk, tadi Pyanhabib, ni Tukar Tiub pulak buat aku terkenang-kenang. Bandar Jerantut, destinasi utama aku masa kecik2 time raya dengan sepupu2 aku dari Kuala Krau. Juga tempat aku membantu nenek berniaga di Pekan seharinya. (Dulu pekan seharinya hari Sabtu, Ahad di Temerloh). Felda Sg Tekam Utara, tempat aku dibesarkan dan bersekolah dari darjah 1 hingga darjah 6. Jelas lagi ingatanku, ayahku bangun seawal jam 4 pagi, dengan motor buruknya meredah perjalanan selama 2 jam untuk melihat taut yang dipasangnya di Sg Lepar. Alhamdulillah, jualan baung, patin, kenerak, tengas dan macam2 lagi telah membesarkan aku dan adik2 aku disaat harga sawit yang amat menyakitkan. Bayangkan, hanya dapat RM1 setelah ditolak pelbagai hutang Felda. Kini rumahnya telah ditinggalkan. Pulang sekali-sekala menjenguk pusara ayahanda dan rumah yang telah mula senget.Ibu pula tinggal di Kuantan. adik2 tak mahu tinggal kerana takutkan jerat sosialnya. Kalau musim buah, tak muat kereta nak angkut balik buahnya. Kawan-kawan pun dah tak tahu tinggal dimana... Puhh, nostalgia sungguh zaman kita dibesarkan...Kalaulah masa boleh diputarkan semula...

MENCARI GULAI ASAM ROM IKAN KENERAK
TUKAR TIUB

Jam 1.15 terdengar bunyi keretapi dari bilik tidor.ertinya aku tidak berada di kuala lumpur. menaikan berita melalui lap top ini paling cilaka. paling cilaka kerana aku tidak senang tanpa tetikus. paling cilaka aku kesaorang dalam pekan yang bagini asing.awal pagi tadi - untuk kali pertama aku awal. satu tugas yang maha susah untuk aku lakukan. tujuan bangun untuk ke jerantut mencari sambal rom, ke jerantut untuk mencari ikan air sungai, ke jerantut untuk meleser - bukan meleser - aku bekerja, kerja yang paling enak dalam dunia ini -makan dari satu warong ke warong dari satu cafe ke satu cafe dari satu restoran ke satu restoran. makan dan menikmati makanan (jangan cuba melamar - kerja ini telah lama aku lakukan). di tengah jalan entah di kampong mana aku berhenti membeli buah dukong hanya empat ringgit sekilo berbanding dengan lapan ringgit di chow kit road. kakak penjual ketawa bila aku katakan durian belandanya yang kecil lagi comot tidak harus digantung untuk dijual. sedang kami bercanda datang seorang pelanggan yang ingin membeli rambutan. lalu aku tanyakan tempat terbaik untuk memakan ikan di raub.setalah mendapat maklumat aku menuju ke raub. tercari cari dari warong kewarong aku berpindah. aku telah bosan dengan ikan patin masak temoyak. lalu bertemu kedai ikan ayer tawar yang terbaik di raub. aku memesankan baung dan pastilah sayur nordin kardi dan sayur ungku aziz (sayur kang kong )enak enak enak - harganya pun enak - untuk ikan kelah aku wajib menalipon dua jam lebih awal kerana ikan ini wajib di keluarkan dari pembekuan. nah ini lain kali akan aku lakukan.dari raub menuju ke jerantut - terlihat tanda - TASIK BURUNG MANDI - lalu menyimpang meredah jalan jalan kecil tersesat sambil bertanya. Nah ! jangan terperanjat ! untuk aku bukan tasik tapi kolam. ditepi kolam ini ada dua anak muda sedang berehat. lalu kami menjadi mesra. lalu mereka menerangkan tassik ini asalnya lombong emas. satu ketika dahulu - di zaman british. betul aku melihat burung layang layang menjunam masuk ke dalam kolam - untuk minum air atau membasah badan. anak muda itu menerangakan jika aku menunggu hingga jam lima maka lebih ramai burung layang lanyang yang akan menjunam.aku tidak memiliki masa - lalu beredar ke jerantut.kami berlegar mencari tempat tidur. lalu singgah di warong di kawasan perhentian basa yang gagal. gagal kerana stesen bas telah siap tetapi tidak ada bas. yang menjadi penunggu ialah peniaga yang menjual barang barang dari ccl - cheap chinese labour -cilaka ! belum sempat aku memasang keretek di warong hujan turun mengila. tempias membasah kerusi. tiga kali aku beralih. akhirnya aku memesan nasi lemak dengan sotong bersama kopi o kosong.kerja makan yang aku lakukan ini wajib waspada - jangan makan banyak - tetapi makan di banyak tempat untuk mengadu selera. nasi lemak disini enak mungkin jam 7 petang aku telah lapar ditambah oleh hujan yang membuatan kelaparan bertambah.beredar dari warong ini aku bertemu dengan kedai durian.lalu berjanji akan datang lagi apabila telah ada tempat tidor.hujan makin gila.lalu menempah bilik di rumah rehat.lagi mendapat maklumat tentang sambal rom. tukang masak di di rumah rehat adalah insan yang baik. dia mengajar aku tentang cara membuat sambal rom ( ini rahsia lagi ). kemudian dia membawa sebalang sambal rom bersama seekor ikan kenerak.hujan makin reda.kuliah masakan aku selesai. aku mandi dan menuju ke kedai durian. durian kampong yang aku pilih. terbaik hinggakan terlebih beli. esok aku berjanji untuk ke pasar melihat barang hutan. juga untuk melihat sendiri ikan kenerak. kedai makan yang menjual asam rom ikan kenerak ini telah aku temui. jam telah hampir dua pagi - aku masih belum mengantuk. aku perlu membaca untuk tidor.aku paling susah untuk tidor ditempat baru. nasib baik aku ada membawa sebuah buku ibnu arabi - buku ini akan melayan aku untuk tidor.esok - aku tidak akan sarapan -kerana ingin makan di tiga tempat sebelum berjalan lagi. aku masih belum pasti arah mana yang akan aku tuju. berjalan jangan sesekali membawa peta atau alamat. aku tidak pernah merancang arah yang aku tuju. atau telah memesan tempat tidor lebih awal. aku rasa ini membosankan.berjalan tanpa arah tujuan adalah nikmat berjalan. esok kalau aku tidak mabuk dengan asam rom aku akan menulis lagi. selamat menelan air lior !

Pyanhabib buat aku Terkenang-kenang (1)

Isk Pyanhabib ni, buat aku terkenang-kenang juga. Abu Bakar School (ABS/SMAB-1985-1989) yang telah mendewasakan aku, Pekan sehari Temerloh yang memberi pengalaman indah (bantu nenek berniaga) dan macam-macam lagi spt tempat aku dating dgn bekas2 awek (marah bini aku ni), tempat lepak, tempat menyakat, dan tak lupa tempat aku Solat Jumaat, Masjid sultan Abu Bakar... Dan buku-buku Pak SAKO ni memang semua aku dah baca...

LUAR PAGAR... Oleh PYANHABIB

TERKENANGKAN PAK SAKO...

TERSANGAT banyak orang menulis dan bercerita tentang Pak Sako, negarawan rakyat ini. Banyak orang ada kenangan dengannya. Saya juga ada kenangan. Dan di sini saya bercerita sedikit daripada beberapa kenangan saya bersama Almarhum Pak Sako.
Saya mengenali `Pak Sako’ melalui novel Putera Gunung Tahan karya `Ishak Haji Muhammad’, sewaktu saya berusia 10 tahun dalam darjah empat sekolah rendah. Emak saya memberitahu bahawa Ishak Haji Muhammad itu adalah `Pak Sako’.
Dan saya diceritakan tentang Pak Sako yang menjelajah Semenanjung Tanah Melayu untuk mengutip derma bagi menerbitkan akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi.
Saya juga diceritakan bahawa Pak Sako pernah sampai ke kampung saya (Changkat Ibol, Bukit Gantang, Perak) dan Ketua Kampung Changkat Ibol ketika itu, `Mansur’ adalah kawan Pak Sako.
Tanpa disangka, bertahun-tahun selepas itu, saya mendapati diri saya bertugas di bawah satu bumbung bersama Pak Sako, di penerbitan akhbar yang diasaskan Pak Sako, minum pagi dan petang bersama Pak Sako, menjadi teman pengiring Pak Sako.
Perkahwinan saya turut diraikan Pak Sako malah emak saya yang sebelum itu hanya hafal akan cerita Putera Gunung Tahan, turut mendapati dirinya duduk semeja dengan Pak Sako!
Dan yang paling saya kaget apabila sekeping gambar saya berambut gondrong serabai bersaiz besar terselit di bawah alas kaca meja tulisnya. Ketika itu tahun 1983 dan saya baharu bertugas di Utusan.
Malah dalam satu kolum yang ditulis Pak Sako mengenai Hari Puisi di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1981, terdapat gambar saya melahu di bawah pokok mengiringi tulisan itu.
Semasa saya naik pelamin pada tahun 1989, Pak Sako hadir meraikan perkahwinan saya dan memeriahkan suasana dengan berpantun ditujukan pada saya dan isteri. Dan pada satu hari yang lain, sewaktu minum-minum di kantin DBP, Pak Sako dengan rokok Rothman King Size yang sentiasa berasap, sekali lagi berpantun mengenai saya dan isteri di hadapan kawan-kawan.
Dia memang seorang perokok tegar tetapi dia sihat segar bugar. Dalam usia tua dia masih jalan bergaya, masih gagah naik turun tangga Hentian Puduraya. Turun naik bas, kacang baginya.
Sesekali saya menjengok ke dalam bilik pejabat yang disediakan khas untuknya, yang turut ditumpangi pembantu pejabat yang sekali gus menjadi rakannya.
Di dalam bilik itu terdapat sebuah mesin taip jenama Olivitti. Sebuah kipas dinding yang sentiasa berpusing. Sebuah asbak rokok yang puntungnya sentiasa berasap manakala Pak Sako tekun menaip menggunakan jari telunjuk!
Setiap petang selepas selesai menyiapkan rencana, selepas menyemak-menyunting dengan tulisan tangan yang sangat cantik menggunakan pen dakwat cair hitam -mengingatkan saya akan tulisan A.Samad Said - (Pak Sako menulis untuk beberapa kolum yang disediakan untuknya dalam majalah dan akhbar terbitan Utusan), dia akan menaiki bas kilang yang kebetulan melalui hadapan bangunan Utusan di Jalan Lima untuk ke Hentian Puduraya.
Jika sedikit lewat, Pak Sako akan menaiki bas panjang biru lusuh Tong Fong di Jalan Chan Sow Lin (yang hentian basnya diamaljariah oleh Utusan beberapa bulan kemudian, jahanam. Dan beberapa tahun kemudian, lingkup!).
Jika bas mini berhenti dan tidak sendat dengan penumpang, Pak Sako akan menaiki bas mini bertambang 50 sen sekali naik itu sambil memerhati gelagat pemandu yang dirasuk pelesit sewaktu memandu.
Setiap kali bersama Pak Sako di dalam bas, yang saya lihat, meskipun bas penuh sesak sewaktu menaikinya, Pak Sako masih mendapat tempat duduk kerana ada sahaja penumpang yang bermurah hati memberinya ruang.
Di Hentian Puduraya, Pak Sako akan menarik tangan saya mengajak menemaninya pekena teh di sebuah restoran. Di sini dia akan berehat sambil minum teh atau kopi sementara menunggu untuk menaiki bas pulang ke rumahnya di Hulu Langat.
Kadang-kadang di pejabat lagi dia sudah mengingatkan saya untuk menemaninya pekena teh petang.
Kadang-kadang pada waktu yang lain dia mengajak saya menemaninya menaiki bas ke Chow Kit dan saya yang `anak muda’ ketika itu terpaksa memperlahankan langkah mengikut rentak tuanya sewaktu dia berlenggang kangkung menyusuri jalan dan lorong sekitar Chow Kit.
Orang-ramai yang mengenalinya akan segera menegur, melambai atau tersenyum sewaktu ternampak atau berselisih bahu dengannya.
Para peniaga gerai makan akan tertinjau-tinjau, anak-anak gadis pelayan bersilih ganti mempelawa Pak Sako menyinggahi gerai. Manakala kanak-kanak yang berselisih, yang dibisikkan oleh ibu atau ayah mereka, akan segera datang menyalami dan mencium tangannya.
Untuk kanak-kanak, dia akan bertanya khabar sambil berjenaka dan dia tidak pernah lokek menghulur seringgit dua. Pak Sako seorang yang sangat pemurah.
Kerana pemurahnya, kebanyakan dokumen, fail-fail dan buku-buku yang dipinjam oleh budak-budak universiti - yang mengganggu Pak Sako hingga ke rumah, demikian saya diberitahu - yang kononnya membuat kajian tentang sasterawan-negarawan rakyat ini, lesap diambil tidak dipulang-pulangkan.
Sewaktu uzur, pencetus dan pengasas penerbitan akhbar Utusan Melayu ini, masih meminta mesin taip untuk menulis malah di sisi katilnya diletakkan mesin taip agar dapat dilihatnya setiap hari.
Dan Pak Sako yang lahir pada 14 November 1909 dan kembali kepada Allah pada 7 November 1991, ternyata seorang penulis yang menulis sampai mati, sungguh!

Jemputan membaca puisi pada perasmian Galeri Rajawali oleh EXCO Pelancongan Pahang di Jalan Pak Sako 4, Temerloh pada 10 Januari 2010 telah mengembalikan kenangan Pyanhabib terhadap Almarhum Pak Sako. - PENGARANG

Thursday, January 7, 2010

Pecah Perut Hosni Mubarak- Amin!!!

“Israel buat tembok batu, Mesir buat tembok besi (Siri 2) – lalu orang-orang Malaysia seharusnya boleh berdoa agar Presiden Mesir “pecah perut” dan Presiden Israel “patah kaki tangan” sebagai pembalasan

Prof Abu Hassan Hasbullah @Hassan Hayastani

Monday, January 4, 2010

Pandangan Peguam

Pandangan Peguam:
MOHAMED HANIPA MAIDIN: Di mana silap dan betulnya Hakim Lau Bee Lan?

Mohamed Hanipa Maidin
Sebagai seorang peguam dan pemimpin P*S saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menberikan pandangan saya tentang keputusan Yang Arif Datuk Lau Bee Lan dalam kes penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar Herald yang diterbitkan oleh kristian Katholik. Bagaimanapun ulasan saya di sini hanya dari pesperktif undang-undang semata-mata.Secara ringkasnya fakta kes tersebut adalah pada 18 Mac 2009 pemohon iaitu Paderi Roman Katholik di Kuala Lumpur iaitu Murphy Pakiam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) ke atas Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia kerana memutuskan melarang akhbar the Herald dari menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan edisi bahasa Malaysia akhbar itu.Sebelum ini Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja dan pihak Kerajaan telah mengancam akan menutup akhbar itu jika ia tidak mengendahkan larangan tersebut .Dalam samannya ke atas Menteri Dalam Negeri ( MDN ) Paderi Pakiam yang mewakili pihak Herald telah memohon Mahkamah bagi mendapatkan perintah antara lain perintah perisytiharan bahawa keputusan MDN melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah dan terbatal.Beliau juga memohon Mahkamah mengisytiharkan bahawa akhbar Herald berhak menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitannya dan kalimah Allah tidak hanya ekslusif kepada Agama Islam sahaja. Selain itu Paderi Pakiam juga meminta Mahkamah membatalkan keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald tersebut.Sepertimana yang dilaporkan di dalam akhbar Hakim Datuk Lau Bee Lan telah pada 30 Disember 2009 yang lalu telah memutuskan membenarkan saman Paderi Pakiam dan memutuskan bahawa keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah , terbatal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Sebelum saya memulakan ulasan saya terhadap keputusan Datuk Lau Bee Lan tersebut saya perlu menyatakan di sini sebagai seorang peguam saya dididik untuk hanya mengulas sesuatu keputusan seorang Hakim itu hanya setelah membaca keputusan penuh seorang hakim itu supaya ulasan saya benar-benar hanya menyentuh keputusan sebenar Hakim tersebut dan bukannya dari tokok tambah dari mana-mana sumber selain keputusan itu sendiri.Di sini saya ingin menyatakan bahawa seperti para pembaca saya hanya mengetahui intipati keputusan Hakim tersebut dari laporan akhbar sahaja. Dengan anggapan laporan itu adalah benar sepertimana yang dinyatakan oleh Hakim tersebut maka saya berpendapat keputusan itu adalah betul dari satu segi tetapi tersilap dari segi yang lain.Bagi saya Hakim Lau Bee Lan boleh dipuji kerana keberanian beliau membuat keputusan yang membatalkan keputusan seorang Menteri . Mengapa saya kata beliau adalah seorang yang berani ? Hujah saya bersandarkan kepada alasan bahawa jika kita melihat Akta Penerbitan & Mesin Cetak yang digubal oleh Kerajaan BN, Akta tersebut memberikan satu kuasa dan budibicara yang mutlak kepada MDN untuk memutuskan membatalkan atau mengenakan sebarang syarat terhadap mana-mana akhbar yang ingin diterbitkan di negara ini.Jika dilihat kepada Akta tersebut ia menyatakan keputusan MDN tidak boleh dicabar di Mahkamah. Di dalam undang-undang peruntukkan yang memberikan kekebalan kepada MDN itu dipanggil ouster clause.Kes yang diputuskan oleh Hakim Lau Bee Lan melibatkan isu Perlembagaan atau secara spesifiknya isu kebebasan beragama. Pengalaman saya mengendalikan kes kebebasan beragama iatu kes tiga pelajar dibuang sekolah kerana memakai serban menyakinkan saya bahawa kes sebegini memang secara relatifnya adalah kes yang boleh dikategorikan sebagai kes “panas” dan pasti merimaskan mana-mana Hakim yang ditugaskan mendengar dan memutuskan kes tersebut.Secara mudahnya bagi pihak Herald mereka merasakan bahawa sebagai pengganut Kristian di negara ini mereka berhak mengamalkan dan menyebarkan agama mereka ( to practice and propagate their religion ) seperti yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan.. Oleh itu bagi pihak Herald termasuk hak mengamalkan dan menyebarkan agama itu adalah hak mereka untuk menerbitkan apa sahaja penerbitan yang boleh menjadi alat untuk menyebarkan agama itu. Oleh itu mana-mana tindakan yang boleh mengancam dan menggugat hak tersebut adalah dikira bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.Bagi pihak Herald meskipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam sebagai agama teras di dalam negara ini, Perkara 3 itu sendiri tidak menghalang pengganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni yang boleh ditafsirkan tanpa sebarang gangguan yang tidak munasabah dari mana-mana pihak Oleh yang demikian pihak Herald merasakan larangan menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar itu adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.Saya berpendapat keputusan Lau Bee Lan adalah betul di sisi undang-undang dan Perlembagaan apabila beliau memutuskan bahawa kalimah Allah tidak terhad atau hanya ekslusif bagi orang Islam sahaja. Saya berpendapat keputusan itu adalah tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran Islam kerana Allah bukan sahaja Tuhan kepada manusia ( Islam dan bukan Islam ) malahan Tuhan kepada seluruh alam . Allah adalah tuhan kepada mahkluk yang halal dimakan dan Allah juga Tuhan kepada mahkluk yang haram dimakan.Di dalam pengajian Tauhid orang Islam diajar dengan Tauhid Rububiyyah di mana Tauhid ini membawa maksud mana-mana manusia meyakini Allah itu sebagai Rabb iaitu Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Tauhid Rububiyyah, tidak seperti Tauhid Uluhiyah, diyakini bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga orang bukan Islam.Saya juga berpendapat keputusan Lau Bee Lan yang menyatakan bahawa keputusan MDN yang melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar di Herald adalah bercanggah denga hak untuk menyebarkan agama tersebut sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) adalah juga keputusan yang betul.Ini kerana meskipun hak untuk menyebarkan agama adalah terhad kepada orang bukan Islam iaitu mereka tidak boleh menyebarkan ajaran Kristian kepada mana-mana orang Islam tetapi di dalam kes ini tiada bukti bahawa Herald telah disebarkan kepada mana-mana orang Islam. Perkara 11 ( 4 ) hanya melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang –orang Islam sahaja. Ini bermakna jika akhbar the Herald hanya tersebar kepada orang-orang Kristian sahaja ianya tidak bercanggah dengan Perkara 11 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan.Bagaimanapun saya berpendapat keputusan MDN melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar Herald masih boleh dipertahankan jika ianya , meskipun tidak salah di sisi Islam atau di bawah Perkara 11 ( 1 ) dan 11 ( 4 ), masih boleh dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana berpotensi untuk menjejaskan kenteraman awam ( public disorder ) dan keharmonian agama..Saya berpendapat sepatutnya Hakim Lau Bee Lan sepatutnya memutuskan bahawa tindakan akhbar the Herald menggunakan kalimah Allah di akhbar itu tidak boleh lari dari sekatan dan halangan Perlembagaan yang dinyatakan di bawah Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 ( 5 ) melarang mana-mana amalan agama hatta kepada amalan agama orang Islam sendiri jika amalan tersebut boleh menjejaslan ketenteraman awam ( public disorder ).Apabila sesuatu amalan beragama berpotensi menjejaskan ketenteraman awam isu sama ada amalan itu selari dengan agama atau tidak tidak lagi timbul. Saya tidak pasti sama ada isu perlanggaran kepada Perkara 11 ( 5 ) dihujahkan oleh pihak peguam Kerajaan atau tidak , namun saya tetap yakin jika Kerajaan ingin menjustifikasikan larangan penggunaan kalimah Allah, satu-satunya hujah yang boleh digunakan adalah Perkara 11 ( 5 ) tersebut.Mungkin Kerajaan juga boleh berhujah hatta jaminan kebebasan agama lain selain Islam boleh diamalkan di negara ini yang dilindungi di bawah Perkara 3 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan juga tertakluk amalan tersebut dipraktiskan dengan harmoni dan aman tanpa sebarang indikasi ia boleh menjejaskan keharmonian tersebut.Hakim Lau Bee Lan menyatakan tiada sebarang bukti dikemukakan oleh pihak Kerajaan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah menjejaskan keselamatan negara. Memanglah Mahkamah terikat dengan bukti dan keterangan. Nampaknya Hakim Lau Bee Lan cuba mengelak untuk memutuskan atau menafsirkan Perkara 11 ( 5 ) itu dengan berselindung di sebalik alasan keterangan dan bukti.Dengan hormat saya berpendapat dalam menafsirkan mana-mana peruntukkan Perlembagaan Mahkamah tidak harus dikawal oleh bukti dan keterangan semata-mata. Penafsiran Perlembagaan tidak sama seperti menafsirkan seperti mana-mana Akta atau Enakmen.Dalam hal ini Hakim Lau Bee Lan seharusnya menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan istilah menjejaskan ketenteraman awam di dalam Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Bagi menafsirkan frasa tersebut Hakim Lau Bee Lan tidak boleh lari dari memahami ketinggian nilai kalimah Allah dari perspektif orang Islam yang mana ianya hanya bermaksud Tuhan yang esa.Oleh itu penggunaan kalimah itu di dalam maknaya yang lain sudah pasti berpotensi tinggi mengundang kemarahan orang Islam sekaligus berpotensi mewujudkan satu ancaman kepada ketenteraman awam.Orang Kristian tidak seharusnya resah jika kalimah Allah itu tidak dibenarkan digunakan atas alasan kepentingan awam. Mungkin pada masa hadapan penggunaan kalimah ini, yang dibenarkan oleh ajaran Islam, tidak menjejaskan ketenteraman awam sekaligus boleh dibenarkan.Sebelum ini orang Islam juga pernah dikecewakan dengan larangan amalan beragama kepada wanita Islam iaitu amalan pemakaian purdah oleh kakitangan awam ( kes Halimatusadiah ) di atas alasan menjaga kepentingan awam.Yang peliknya pada masa itu kita tidak dengar pula mana-mana pemimpin UMNO yang berkokok seperti ayam jantan seperti sekarang ini.

(2) Isu nama Allah - Soal jawab bersama AB albanjary. Katolik Malaysia Unitariankah ?

Oleh : AB albanjary

Soalan: Kenapa mahu marah-marah Kristian pakai kalimah Allah? Kenapa perlu berebut? Yang penting kita tahu Allah itu siapa sudahlah !
Jawapan: Isu 'Allah' ini bukan isu perebutan nama. Ia adalah isu akidah, isu falsafah, isu maqasid di sebalik nama itu. Kita tidak marah kalau Kristian mahu menisbahkan Allah kepada Tuhan yg sebenar. Tiada masalah. Tapi kita tidak setuju kalau dikatakan Allah itu adalah Roh Kudus dan Jesus atau sebaliknya atas sebab Trinity yang mereka pegang. Bukankah di dalam Bible menyebut "Aku dan 'Bapa' adalah satu"?

Soalan: Tetapi musyrikin Makkah dan Arab pada zaman Nabi pun pakai nama Allah. Bapa Nabi pun bernama Abdullah. Apa masalahnya?
Jawapan: Memang musyrikin Arab memakai kalimah 'Allah' bila mereka merujuk kepada Tuhan. Betul. Tapi menjadikan alasan itu bagi menghalalkan penggunaan 'Allah oleh Kristian Trinity adalah tidak kena. Kerana musyrikin zaman itu memahami 'Allah' itu sebagai Tuhan yang sebenar. Mereka tidak menisbahkan 'Allah' itu sebagai Latta dan Uzza dan berhala-berhala yang mereka sembah. Sebab itu mereka digelar 'musyrikin'.

Soalan: Tapi Allah ada sebut “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (al-Ankabut:63).Kan kita disuruh mengucap Alhamdulillah bila non-muslim mengaku Allah itu Tuhan. Jadi, kenapa anda hendak halang?Jawapan: Sebab itulah pentingnya sebelum mengambil apa-apa dalil mesti kita faham asbabun nuzul dan tujuan ayat itu turun. Sama seperti ayat 'La ikraha fiddin'. Ia ditujukan kepada mereka yang memaksa bukan Islam masuk Islam bukan sebaliknya. Sebab itu adanya golongan Islam Liberal yang menggunakan ayat ini secara umum bagi menghalalkan murtad.Hakikatnya ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Arab yang berada di sekitar Nabi saat itu. Bukan kepada seluruh 'bukan Islam'. Sebab itulah Islam tidak membantah. Sebab itu jugalah Nabi disuruh mengucapkan syukur. Sebab musyrikin itu masih kenal dan tahu siapa Allah yang sebenar walaupun disyirikkan dengan menyembah berhala.Maka bersyukurnya Nabi pada hal itu adalah benar.Bukannya untuk Kristian yang mengatakan Allah dan Jesus itu adalah satu. Yang mengatakan Allah itu Jesus dan Jesus itu Allah. Yang mengatakan Jesus itu diri Allah yang boleh disentuh, didengar, diam bersama, dirasa etc.Munasabahkah kita bersyukur apabila Kristian mengatakan Allah Jesus yg menurunkan hujan dari langit? - Maka kesyukuran kita itu adalah pada hal yg batil.

Soalan: Tapi bukankah Allah ada sebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73). Jadi yang penting konsep. Bukan nama. Setuju?
Jawapan: Ayat ini secara jelas membantah penggunaan kalimah 'Allah' untuk dinisbahkan kepada Jesus dan Roh Kudus. Inilah yang mereka mahu buat pada hari ini. Ini yang kita bangun membantah. Inilah isu yang mendasarinya. Ini bukan soal istilah saja.Kalau mereka menisbahkan Allah itu kepada Tuhan yang sebenar dan bukan kepada yang lain seperti yg dibuat musyrikin pada zaman nabi, kita pun tak mahu nak halang. Qulilhamdulillah!

Soalan: Bukankah Quran mengakui bahawa adanya tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam Surah al-Hajj ayat 40. Jadi apa masalahnya kalau gereja Katolik mahu menggunakan nama Allah? Mereka berhak.
Jawapan: Memanggil 'nama Allah' dan 'Allah' adalah 2 hal yg berbeza. Tolong bezakan.Sudah berzaman penganut agama Tauhid memanggil Tuhan yang sebenar dengan bahasa mereka atau bahasa kitab mereka. Bani Israel mungkin memanggilnya Eloh, orang Nusantara mungkin memanggil-Nya Dewata Mulia Raya, orang Parsi mungkin memanggil-Nya Ahura Mazda. Dan bila mereka sebut nama-nama itu, memang mereka merujuk kepada Tuhan yang sebenar iaitu Allah. Sama apabila kita menyebut Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Malik, maka kita merujuk kepada Allah, Tuhan yang sebenar. Bukan kepada yang lain.Jadi andaikata mereka mahu meminta hak sekalipun, yang mereka boleh minta adalah kalimah yang ada dalam kitab mereka. Eloh, Elohim, Yahweh. Bukan 'Allah'.

Soalan: Tetapi bukankah Kristian Arab juga memakai kalimah 'Allah' di dalam Bible mereka? Tidak pula kerajaan Arab menghalang.
Jawapan: Kebanyakan Kristian Arab yang memakai kalimah 'Allah' dalam terjemahan Bible (dipanggil Kitabul Muqaddas) adalah Kristian Unitarian. Yang percaya Allah itu Esa. Katolik Malaysia Unitarian kah? Tentulah tidak. Mereka adalah Kristian Trinitirian. Kristian Trinitirian mengkafirkan Kristian Unitarian.

Soalan: Tetapi Kristian Indonesia juga memakai kalimah 'Allah' di dalam Bible. Bukankah mereka Trinitirian juga? Dan Indonesia masih lagi kekal sebagai negara Islam terbesar di dunia. Tidak ada masalahpun. Kita ni mahu ditertawakan oleh Indonesiakah?
Jawapan: Tahukah anda disebabkan liberalnya agama di Indonesia maka ada premis pada hari Jumaat menjadi masjid, pada hari Sabtu menjadi kuil dan pada hari Ahad pula bertukar menjadi gereja?Adakah anda mahu Masjid Putrajaya menjadi Gereja St Thomas pada hari Ahad? Mungkin tidak hari ini ! Tapi 50 tahun lagi ?

Soalan: Kita mesti menjaga akidah dengan ilmu. Maka didiklah generasi muda kita. Mesti mereka tak akan salah faham kalau Kristian gunakan 'Allah' sekalipun. Tak perlu larang pun.
Jawapan: Ini bukan masalah keliru sahaja. Ia juga masalah falsafah dan maqasid yang ada disebalik kalimah Allah. Syariat Islam turun dan memurnikan kalimah 'Allah' itu selama 1400 tahun. Hari ni awak sanggup membiarkan kalimah itu tercemar?Dakwah dan mendidik satu hal. Preventif satu hal. Dua-dua kena ada. Tuhan tak suruh Iqra' sahaja. Tuhan suruh laksana Hudud Qisas juga. Tuhan suruh "Az-zaniyatu waz-zaani fadzlidu kulla wahidim-minhuma miata jaldah". Ini apa? Preventiflah.Jika tak perlu preventif, rombaklah Kanun jenayah negara. Berikan pendidikan saja, nescaya rasuah, mencuri, rompak, rogol tidak akan berlaku. Berani jamin?

Soalan: Bukankah dengan penggunaan kalimah 'Allah' akan menyebabkan mereka akan lebih memahami Islam dan kita boleh mengambil peluang ini untuk berdakwah kepada mereka? Malah mungkin mereka juga akan terkeliru dengan konsep Triniti sebab 'anak Allah adalah Allah". Ini kelebihan kepada umat Islam!
Jawapan: Bagaimana untuk mereka lebih memahami Islam dengan cara begitu? Mereka bukannya baca kalimah 'Allah'. Sebab kalimah itu cuma ada dalam Bible bahasa Melayu atau akhbar Herald bahasa Melayu. Mereka baca dalam Bible berbahasa Inggeris. Yang ada cuma 'God'. Jadi, untuk siapa Bible Melayu ini ditujukan?Kalau mahu ditujukan kepada Kristian Malaysia Timur, kaum Iban dan Kadazan contohnya, maka gunalah bahasa mereka. Kalau mahu standard di dalam bahasa Melayu, maka gunalah 'Tuhan'. Itukan bahasa Melayu? Kalimah 'Allah' bukan berasal dari bahasa Melayu, apatah lagi Iban atau Kadazan atau Murut.Jika anda boleh mengatakan Kristian akan terkeliru maka kenapa anda tidak mengatakan orang Islam juga boleh terkeliru? Maka tak perlulah pakai. Dua-dua tidak akan terkeliru. Akidah orang Kristian terjaga, akidah orang Islam pun terjaga. Cari penyakit buat apa?

(1) ISU NAMA ALLAH - KLIK DI SINIIsu ini adalah berkenaan tuntutan pihak Kristian terhadap kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka masih lagi hangat diperkatakan. (Rujuk The Sun, Ruangan Herald The Catholic Weekly )Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan nama Allah adalah tidak sah dan terbatal. Keputusan ini dibuat oleh Hakim Lau Bee Lan. Berikutan keputusan ini, ia juga membenarkan permohonan Gereja Katholic untuk mengenepikan arahan KDN tersebut dan dalam masa yang sama juga, ruangan "The Herald The Catholic Weekly" boleh menggunakan kalimah "ALLAH" sebagai terjemahan perkataan "GOD" di dalam cetakan mereka dalam versi Bahasa melayu.Pihak yang menuntut mendakwa bahawa kalimah Allah ialah terjemahan dari bahasa Inggeris yang mengunakan kalimah God di dalam bible Versi English mereka.Sekiranya tuntutan ini dipenuhi kita akan melihat di dalam bible Kristian ayat-ayat berbunyi seperti berikut:-“Engkau adalah Messias anak Allah yang hidup “(You are the Crist, the Son of the living God) - ( Matthew 16 : 16 )“..Kerana ia telah berkata :Aku adalah anak Allah.”(For he said, I am the son of God)(Matthew 27 : 43 )“ Kasih kurnia menyertai kamu dan damai sejahtera dari Allah, bapa kita dan dari Tuhan Jesus Kristus“(Grace and peace to you from God our Father and the Lord Jesus Crist)(Galatians 1 : 3 )Serta banyak lagi ayat-ayat lain yang tidak perlu diperincikan di sini.Jelasnya, dalam menangani isu ini, kita perlu merujuk kembali kepada fakta sebenar. Iaitu, apakah bahasa asal penulisan kitab Taurat dan Holy Bible? Berdasarkan fakta, bahasa asal kitab Taurat adalah bahasa Hebrew manakala bahasa yang digunakan bagi penulisan kitab Holy Bible ialah bahasa Greek.Kalimah tuhan dalam bahasa Hebrew ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, di dalam The Gospel of St. Matthew bab 27 : 46 yang menyebut :"Kira-kira jam tiga berserulah Jesus dengan suara nyaring: “Eli, Eli, lama sabachthani?”Ertinya: Tuhan-Ku, Tuhan-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku? ( My God, Mu God, why have you forsaken me..?)"”Manakala di dalam bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud tuhan ialah Theos. Orang-orang Rom yang menyembah Tuhan yang disepakati oleh mereka sebagai Tuhan yang sebenar memanggil Tuhan ini sebagai Hotheos. Manakala sekiranya ada di kalangan mereka yang menyembah Tuhan palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai Tontheos. Perhatikan! Bagi kedua-dua bahasa yang dijadikan penulisan bagi kedua-dua kitab suci ini, tidak terdapat satu pun yang menyebut kalimah Allah Sesetengah sarjana Kristian menyatakan bahawa alasan yang paling kukuh bagi mereka untuk dibenarkan penggunaan kalimah Allah ialah berdasarkan penggunan kalimah Allah di dalam kitab Bible versi Arabic.Sememangnya diakui kalimah Allah digunapakai di dalam Bible berbahasa Arab. Bible versi bahasa Arab tidak dikenali sebagai Holy Bible tetapi Alkitab Al-Muqaddas. Begitu juga Bible berbahasa Melayu yang menggunakan nama yang sama? Di dalam terjemahan Bible bahasa Melayu mereka menamakannya sebagai Al-kitab berita baik.*Perlu dinyatakan bahawa kalimah Allah wujud di dalam Bible bahasa Arab adalah kerana sesetengah Kristian Arab (seperti Syria, Mesir dan lain-lain) yang wujud sebelum kedatangan Islam meyakini konsep Unity (Keesaan Allah). Ia berbeza sama sekali dengan konsep Trinity (tiga dalam satu) sepertimana doktrin kebanyakan Kristian pada hari ini termasuk mereka yang terlibat dengan tuntutan isu kalimah Allah ini.Maka hujah yang dijadikan sandaran sebagai alasan untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah ini adalah tidak masuk akal kerana golongan Kristian Trinity sendiri mengkafirkan golongan Kristian Unity. Terdapat juga sarjana mereka yang menyatakan bahawa kekeliruan tidak akan sekali-kali timbul jika penggunaan kalimah ini dibenarkan kerana kalimah Allah yang hendak digunakan tersebut adalah merujuk kepada penterjemahan dari kalimah God dalam Bible bahasa Inggeris sedangkan kalimah Tuhan adalah terjemahan dari kalimah Lord.Pandangan mereka ini juga mengelirukan malah bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam Bible mereka. Persoalannya, apakah perbezaan antara Allah dan Tuhan dalam agama Kristian?Sekiranya mereka mendakwa bahawa Tuhan adalah merujuk kepada Nabi Isa sedangkan Allah adalah merujuk kepada Tuhan Bapa di dalam syurga maka mereka perlu mengetahui bahawa ayat yang akan dinyatakan di bawah ini membuktikan bahawa kalimah Tuhan dan Allah adalah dua perkataan yang merujuk hanya kepada Allah sahaja! Perhatikan di dalam The Gospel Of St. Mark 12:29 menyebut :“Jawab Jesus : “Hukum yang terutama ialah : Dengarlah wahai Bani Israel, Tuhan(Lord) kepada tuhan (God) kita, Tuhan Yang Esa( The Lord Is One)(Allah)”Saya bertanya kepada orang-orang Kristian, siapakah Tuhan Yang Esa yang dimaksudkan di dalam ayat di atas? Adakah Nabi Isa? Tidak! Lafaz Tuhan yang dimaksudkan di atas adalah merujuk kepada Allah semata-mata. Sekali lagi bertentangan dengan apa yang telah dinyatakan oleh sarjana mereka bahawa kalimah Lord (Tuhan) di dalam Bible adalah merujuk kepada Nabi Isa! Sekiranya mereka berhujah dengan menyatakan bahawa dalil yang paling jelas menunjukkan kalimah Tuhan adalah merujuk kepada Nabi Isa sedangkan kalimah Allah adalah merujuk kepada Tuhan Bapa, iaitu seperti dinyatakan di dalam The Gospel Of St.Matius 16:22 yang menyebut :“Tetapi Petrus menarik Jesus ke samping dan menegur Dia,katanya :“Tidak sekali-kali,Tuhan(Lord/Jesus) semoga tuhan (Tuhan Bapa) menjauhkan hal itu”.Maka mereka perlu menyelesaikan dahulu percanggahan di antara kedua ayat yang telah dinyatakan tadi. Sama ada Tuhan itu adalah Nabi Isa sahaja ataupun Tuhan juga adalah Allah!Di samping itu, kita juga tidak lupa untuk menyeru agar mereka memerhatikan kata-kata Jesus sendiri terhadap keesaan Allah. Perhatikan The Gospel Of St.John 20:17 yang menyebut :Kata Jesus kepadanya: Janganlah engkau memegang aku, sebab aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudaraKu dan katakanlah kepada mereka bahawa sekarang Aku akan pergi kepada BapaKu dan Bapamu, tuhanku dan tuhanmu.”Dalam The Gospel Of St. Matthew 22:37 : menyebut :“Jawab Jesus kepadanya: “ Kasihilah Tuhan (Lord) tuhanmu (God) dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan segenap akal budimu.”Dalam erti kata lain Nabi Isa bukannya Allah ataupun Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana Nabi Isa sendiri menyatakan bahawa Tuhan yang sebenar ialah Allah! Kesimpulannya, larangan terhadap penggunaan kalimah Allah yang diwartakan menerusi keputusan kabinet yang bersidang pada 16 Mei 1986 adalah amat wajar. Empat perkataan dikhususkan hanya buat umat Islam dan sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya oleh Non Muslim iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah.Sesetengah negeri pula contohnya selangor, telah menambah lagi beberapa perkataan yang dianggap mengelirukan sekiranya digunakan oleh Non Muslim. Jelaslah di sini kewajaran Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah Allah digunakan oleh Non Muslim yang bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat apabila terminologi yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu.