Tenangnya Jiwa Buat Hidup terasa Indah
Oleh: Norazimah Ibrahim
Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Bagi muslimin dan muslimat, selamat meneruskan amalan puasa dalam erti kata yang sebenar dan meningkatkan amalan di sepuluh malam yang terakhir.
Bulan ini merupakan bulan terbaik untuk muhasabah diri atau merenung diri sendiri dalam meningkatkan spiritual. Bulan ini minda lebih tenang kerana tidak perlu berfikir tentang makanan untuk sarapan pagi dan tengah hari. Waktu petang hanya perlu berfikir memasak atau membeli sedikit hidangan untuk berbuka puasa. Makan yang ala kadar hanya untuk menginsafkan diri tentang orang yang tidak berkeupayaan menyediakan makanan sesedap kita hari ini.
Bulan ini beruntunglah bagi mereka yang mengambil iktibar dan sering merenung diri. Setakat mana amalan-amalan baik atau sebaliknya yang telah dilakukan. Mengenang hidup yang terlalu singkat kerana esok saat kematian amat hampir.
Bulan ini bulan yang membuat hati lebih tenang. Lebih tenteram jiwa dan lebih menghayati indahnya hidup yang seketika ini. Seandai masih ada yang kurang tenang perasaannya, hayatilah malam-malam indah di bulan ini. Penuhinya dengan membaca kalimah tuhan dan bersujud di keheningan malam. Beristigfarlah kerana diri yang tidak pernah puas dan tidak pernah cukup dengan dunia ini. Percayalah hati cukup rasa tenang, cukup rasa bersyukur, cukup rasa puas, cukup rasa nikmat dan cukup rasa segala-galanya kerana ia sudah memenuhi semua keperluan yang kita ada.
Siangnya, penuhi dengan amalan lain yang mensucikan jiwa. Begitu banyak amalan ringkas untuk golongan yang bekerja sepenuh hari di bulan puasa. Hiasi lidah dengan kalimah tuhan dan elakkan berbual - bual yang kurang bermanfaat dan perkara yang mendatangkan dosa. Elak terlalu banyak terdedah membeli – belah kerana banyak perkara ketika itu yang mengurangkan rasa tenteram dalam jiwa. Beginilah caranya menghayati waktu siang di bulan ini.
Di bulan ini, lakukan perkara-perkara kecil yang dituntut. Ketika ini, maafkan kesalahan orang lain samaada mereka meminta maaf atau tidak. Hati akan lebih aman dari pelbagai perasaan yang membawa penyakit jiwa. Selagi perasaan ini terbuku dan terpendam, jiwa tetap dalam keadaan yang sama kerana bebanan yang dibawa ke mana-mana. Sakitnya hati kerana diri sendiri yang tidak membenarkan diri bahagia kerana tidak memaafkan.
Paling mudah sebagai latihan di bulan ini, banyakkan memberi senyuman walau perut terasa lapar. (saya mengingatkan diri sendiri kerana kadangkala ia benar-benar menduga diri untuk melaksanakannya secara berterusan). Mengenangkan Rasulullah bersabda yang diriwayatkan Abu Dzar : Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu sahabat. (Riwayat Muslim). Sewajarnya kita saling ingat – mengingatkan.
Pilihlah di bulan ini juga untuk menggandakan pemberian sama ada kepada orang yang tidak berupaya seperti orang miskin dan anak yatim atau kepada orang yang rapat dengan kita seperti rakan-rakan, keluarga dan jiran tetangga. Biarpun ia sedikit tetapi ia satu permulaan yang baik sebagai pengikat kasih sayang dan sebagai tanda ingatan. Dalam pemberian ini, berilah dalam kadar yang ikhlas dan bukan terpaksa. Biarpun nilainya kecil, nilainya besar di sisi tuhan berbanding dengan nilai yang besar tetapi hati tidak ikhlas memberinya.
Menjelang penghujung Ramadhan, masing-masing sibuk untuk bersiap pulang ke kampung. Doakan teman-teman yang pulang ke kampung halaman.
“ Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anda dalam perjalanan, mempertemukan saya dengan anda serta memuliakan anda dengan perjalanan tersebut”.
Akhirnya, sebelum berpisah dalam Ramadhan kali ini di dalam suasana pejabat, bertemulah dengan rakan-rakan untuk berjabat tangan. Menurut Riawayat Abu Daud, Rasulullah bersabda: “Setiap dua orang muslim bertemu dan berjabat tangan nescaya diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah” . Maka di kesempatan ini, rebutlah peluang sebelum berpisah sementara ini . (Insyallah).
Serikanlah juga bulan ini dengan menanamkan kasih sayang antara sahabat, antara pekerja dan majikan, antara ibu bapa dan anak, antara suami dan isteri, antara saudara mara dan antara jiran-jiran. Lakukan perkara baik yang menggembirakan mereka. Sabda Rasulullah: “Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku (Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku (Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”. Riwayat Ahmad.
Mudahnya untuk tenang jiwa. Jiwa yang tenang akan buat hidup terasa indah. Kuncinya ada dalam diri sama ada ingin lakukan atau hanya mengetahuinya tanpa pelaksanaan.
Norazimah Ibrahim
Fandi Ahmad Tidak Tolak Kemungkinan Rombak Pemain Sri Pahang FC Apabila
Berdepan JDT Selasa Ini
-
*KUANTAN:* Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menolak kemungkinan
melakukan rombakan pemain apabila berdepan pendahulu Liga Super, Johor
Darul T...
5 hours ago
No comments:
Post a Comment