Dari kolum maaf cakap - Sinar Harian
oleh NORDEN MOHAMED8/24/2011 9:00:27 AM
Sehingga kini, saya sudah menerima berbelas-belas kad ucapan selamat hari raya. Setiap kad yang saya terima akan saya buka, saya tatap, tetapi saya akan letak ke tepi tanpa perasaan teruja. Sebabnya, kad-kad itu semuanya kiriman orang yang tidak saya kenali. Dan, saya percaya mereka juga tidak mengenali saya!
Ada kad yang mengandungi hingga sepuluh tandatangan, siap dengan status jawatan masing-masing. Ada kad yang dikirim mempunyai tandatangan yang saya tahu bukan dicarit sendiri oleh si pengirim, bahkan ia adalah tanda tangan yang bercetak. Bagaimana pun, saya tetap akan membalas kesemuanya sebagai tanda terima kasih.
Saya juga mula menerima ucapan selamat hari raya melalui e-mel. Membuka kad-kad raya elektronik ini pula ada kalanya mengambil masa. Lagi canggih animasinya, lagi lambat ia dapat ditatap. Malah, ada juga kad-kad yang tidak boleh saya buka kerana punyai perisian yang berbeza daripada perisian di komputer saya.
Ucapan Aidilfitri daripada kawan-kawan facebook juga sudah mula saya dapat. Separuh daripada mereka, tidak pernah saya kenal. Tidak mengapalah. Selama ini pun, saya ghairah menambah kawan termasuk kawan yang punyai nama pelik, nama Jepun atau nama Korea walaupun saya tahu mereka orang Malaysia. Pada tahun lepas, saya menerima ucapan selamat hari raya yang kononnya ditujukan khas buat saya. Padahal ada seratus nama lain yang ditaggedkan bersama dengan nama saya. Tidak mengapa juga kerana saya tahu si pengirim hendak menjimatkan masa.
Tentu sekali, menjelang malam raya nanti, saya akan menerima berpuluh-puluh ucapan selamat hari raya melalui sistem pesanan ringkas. Biasanya SMS ini lebih peribadi. Meskipun ringkas, ia menyentuh hati kerana dikirim oleh mereka yang saya kenali ~ ahli keluarga, teman sekerja dan sahabat lama. SMS yang menarik pantunnya akan saya simpan. Maaf cakap, oleh kerana membalas SMS ini adalah satu kerja yang remeh, saya terpaksa mengitar semula SMS menarik yang saya simpan itu untuk digunakan sebagai ucapan yang kononnya saya yang tulis. (Saya percaya, anda tidak pernah buat apa yang saya lakukan).
Begitulah cara terkini kita mengucapkan salam Aidilfitri. Teringat saya pada zaman persekolahan dulu, bila mana mengirim kad hari raya sudah menjadi satu kemestian. Setelah menulis senarai penerima kad hari raya agar tidak terlupa, barulah saya pohon bajet dari emak.
Memilih kad pun boleh memakan masa hingga setengah hari kerana kad yang dibeli pun saya pilih agar tidak sama. Tidak sedap hati kalau kad yang dibeli itu serupa walaupun untuk dua orang yang berbeza. Padahal, mereka bukan tahu pun kalau saya membeli tiga puluh kad yang serupa coraknya.
Setelah siap bersampul, saya akan ke pejabat pos untuk membeli setem. Lazimnya, pada hari-hari puasalah pejabat pos akan sesak dikunjungi oleh mereka yang hendak mengirim kad hari raya. Panjangnya barisan, kadang-kadang sampai ke tangga luar. Setelah setem dibeli, kini giliran mencecah setem dengan air pelekat pula perlu dilakukan. Tempat melekat setem pun biasanya sesak. Spannya sudah kering kerana ramainya mereka yang mencecah setem. Kalau hendak cepat, terpaksa jugalah setem-setem itu dijilat sahaja sebelum ditampal ke sampul surat.
Pada penghujung Ramadan juga, kad-kad hari raya akan sampai ke rumah. Ada pelbagai jenis kad hari raya yang diterima. Ada yang semerbak baunya, ada yang bermuzik dan ada juga yang timbul bunga serta ketupatnya sebaik sahaja lipatan kad itu dibuka. Tidak kurang juga yang reka bentuknya hanya sehelai, bergambar kartun atau gambar unta sedang berehat di bawah pohon kurma di malam hari yang dihiasi bintang dan bulan sabit. Tetapi yang unik ialah kad hari raya berbunga yang dihiasi dengan serbuk berkilat. Sebaik sahaja dibuka kad itu, habuknya jatuh berderai di tangan.
Saya akan buka dan baca satu persatu sebelum saya susun dan gantung sebagai perhiasan di ruang tamu. Ia juga menjadi kebangaan apabila teman-teman yang datang berkunjung memuji apabila melihat betapa banyaknya kad hari raya yang saya terima. Inilah klasiknya ucapan selamat hari raya pada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Walaupun proses menghantar atau menerimanya memakan masa berbanding dengan cara moden sekarang yang begitu pantas, cara tradisional itulah yang lebih bererti. Kadangkala terasa ingin sekali merentas di denai semalam. Sengaja hendak menjenguk masa lalu yang begitu nostalgik.
Selamat hari raya Aidilfitri daripada saya, buat anda semua yang suka membaca kolum Maaf Cakap ini.
Maaf zahir dan batin.
Wanita Hamil Lapan Bulan Dan Anak Lelakinya Usia Empat Tahun Yang Hilang Di
Kuantan Ditemui Di KLIA
-
*KUANTAN:* Seorang wanita hamil lapan bulan dan anak lelakinya yang berusia
empat tahun, yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli makanan di
sebuah ...
1 day ago
1 comment:
http://goo.gl/ry4KW ada benarnya
Post a Comment