mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Tuesday, January 1, 2013

Kematian itu satu kepastian - Catatan Farush Khan - Sinar Online



FARUSH KHAN

7 November 2012

Dalam khutbah Jumaat pada Hari Raya Aidiladha yang lepas di masjid tempat saya tinggal, topik disampaikan bukan mengenai perayaan, persaudaraan atau pengorbanan. Tajuknya ialah 'Mengingati Maut".



Khatibnya menceritakan panjang lebar mengenai mati; tentang betapa mati tetap akan tiba apabila sampai detiknya, walaupun seseorang itu dikerumuni pakar jantung atau dia berada di sebalik benteng yang teguh.



Termenung kita memikirkan selepas mendengar amaran khatib mengenai sabda Rasullullah: "Jika kamu tahu mengenai azab akhirat, kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis".



Khatib melemparkan soalan apakah kita rasa sudah cukup dengan solat lima waktu yang kita tunai setiap hari untuk kita menghadapi mati yang boleh datang menjemput kita pada bila-bila masa ALLAH kehendaki.



Selepas solat, saya bertemu Dr Fuad, rakan sekampung yang secara kebetulan, selalu mengingatkan saya dan kawan-kawan mengenai mati.



Mendengar khutbah itu, beliau pun e-mel kepada saya mengenai maut, topik kegemarannya. Ini ceritanya.



Dari segi ilmu matematik, kata Fuad, kebarangkalian mati ialah satu. Jika dijawab 0.999999 ia salah.



Semakin hari kita semakin dekat dengan kematian. Setiap langkah yang kita ambil, adalah langkah yang membawa kita ke arah kubur. Kita tak pernah melangkah semakin jauh dari kubur kita.



Semua kita diberi tempoh kontrak hidup di dunia yang telah ditetapkan. Ada yang 60 tahun, ada 70 tahun, ada hanya 30 tahun, ada yang satu tahun dan ada juga yang hanya beberapa minit. Apa yang berlaku ialah setiap hari berlalu bermakna satu hari lagi telah kurang dari tempoh kontrak kita ini.



Manusia meraikan ulang tahun hari kelahiran. Jika mereka menyedari hakikat bahawa sebenarnya tempoh kehidupan mereka telah berkurang satu tahun, tentu mereka akan menangis dan tidak tertawa pada hari ulang tahun hari kelahiran mereka itu.



Yang menghairankan, semakin dekat dengan kubur, ramai dalam kalangan kita yang semakin kuat berusaha untuk mengumpul harta, walaupun mereka tahu harta itu pasti kita tinggalkan. Perkara yang kita akan bawa, iaitu iman dan amal tidak pula dititikberatkan. Kita tidak fokus kepada perkara yang akan menjadi bekalan kita, tetapi kepada perkara yang hanya akan menjadi habuan orang lain.



Nabi SAW ada memberi nasihat bahawa orang paling bijaksana ialah yang paling banyak ingat pada kematian dan membuat persiapan untuknya. Jadi orang yang tidak ingat mati bukanlah bijak kerana dia bermati-matian berusaha mengumpul harta untuk menjadi habuan orang lain sehingga terlupa untuk mengumpul habuan dia sendiri di kubur nanti.



Ada sebuah kisah di Pulau Fiji; seorang ahli perniagaan muda yang dianggap berjaya, telah membina sebuah rumah seperti mahligai; mewah dan hebat. Setelah siap kediamannya itu, dia pun masuk dan menikmati kemewahan di dalam dan sekitarnya. Tapi kerana ajal telah sampai, selepas hanya sebulan, maut telah menjemputnya dan tinggallah mahligainya bersama dengan janda muda, yang cantik jelita dan kaya-raya.



Selepas tempoh edah, seorang hamba ALLAH lain telah masuk meminang, menikahi jandanya dan “basuh kaki” memasuki mahligai yang begitu indah.



Itulah 'hadiah' ditinggalkan oleh ahli perniagaan yang bertungkus-lumus sebelum menjadi arwah. Apalah agak perasaan arwah jika dia dapat melihat dan memikirkan apa yang sudah terjadi di mahligainya itu. Adakah dia seorang yang bijaksana? Adakah dia seorang yang berjaya?



Oleh kerana mati sudah pasti dan kita melihat sendiri dengan mata kepala kita apa berlaku, maka jika kita bijak, ambillah iktibar. Buatlah persiapan untuk keperluan diri sendiri, untuk masa depan sendiri; ketika sendirian di alam barzakh. Cairkan aset kita dengan menghantar ke akhirat sebanyak mungkin dengan infak di jalan ALLAH, wakaflah kepada masjid, madrasah tahfiz dan untuk usaha-usaha agama. Apa yang kita infakkan dengan ikhlas itulah kepunyaan kita yang hakiki. Apa yang kita tinggal di belakang tidak tentu siapa punya.



Harta itu mungkin beku begitu saja atau dihabiskan oleh anak-anak dan pewaris yang mungkin tidak menghargai warisan mereka terima.



Jadi fikirkanlah; adakah kita mahu harta kita untuk benar-benar memberi manfaat kepada kita atau untuk menjadi beban penghisaban di akhirat kelak.



Terima kasih Fuad.

No comments: