Dipetik dari : Utusan Malaysia: 6 Oktober 2008 / 6 Syawal 1429
Ibu! Maafkanlah anakmu ini..
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Allahu Akbar Allahu Akbar. Allahu Akbar. La illahaillallah Allahu Akbar. Allahu Akbar. walilaahil Haamd....
Sebaik sahaja Pemegang Mohor Besar Raja-Raja Melayu mengumumkan bahawa esoknya Hari Raya, maka bergemalah takbir raya bagi menandakan berlabuhnya Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan muncul pula Syawal (hari kemenangan buat orang Islam).
Pada waktu itu, tiba-tiba, suasana di dalam Kem Modal Insan Kebahagiaan Remaja dan Wanita (KEWAJA) yang dihuni hampir 60 orang menjadi begitu sayu dan syahdu sekali. Laungan takbir Syawal itu begitu menusuk ke dalam kalbu.
Payah hendak digambarkan pada waktu itu. Rata-rata semua penghuni merasa sebak, pilu, sedih dan perasaan begitu berkecamuk di dalam hati, hanya linangan air mata dapat menggambarkan betapa syahdunya beraya tanpa ibu, bapa dan adik-beradik yang lain.
Hampir 90 peratus penghuni yang terdiri daripada mereka yang hamil di luar nikah dan 10 peratus yang mengalami masalah sosial seperti lari dari rumah, bohsia, tidak mahu ke sekolah dan melakukan perbuatan tidak bermoral beraya tanpa ahli keluarga tahun ini.
"Adakah ini balasan atau hukuman yang sepatutnya diterima atas kesalahan yang kami lakukan. Tidak dapat mencium tangan ibu dan ayah untuk meminta ampun selama ini, tiada pakaian baru, tiada duit raya, tidak dapat melawat datuk nenek dan sanak- saudara, tidak dapat merasai kuih-muih, rendang, lemang dan makanan yang lazat-lazat, hasil tangan ibu, kami betul-betul rindu itu semua.
"Semuanya salah kami yang tidak mendengar kata-kata ibu dan ayah, bersikap biadap, lebih mempercayai rakan-rakan dan teman lelaki sehingga terlanjur. Mangsanya ialah kami yang terpaksa menerima hukuman dan dihantar ke kem ini bagi menutup malu dan menyembunyikan perkara naif yang dialami.
"Tidak disangka, perbuatan itu telah membawa musibah kepada kami sehingga hari dan bulan baik ini terpaksa bersendirian dengan bayi di dalam perut yang tidak siapa ingin bertanggungjawab dan menjalani pantang tanpa bantuan ibu.
"Walaubagaimanapun, kami bersyukur rupanya Allah masih sayangkan kami dan memberi peluang untuk kami membetulkan diri menjadi insan yang berguna kepada negara. Banyak yang kami pelajari terutamanya soal-soal ibadah dan pembangunan diri sepanjang menjalani program di KEWAJA.
"Malah, ada di kalangan kami sebelum ini yang tidak tahu mengerjakan sembahyang dan mengaji telah mula memahirkannya. Mungkin ini merupakan hikmah kepada kami dan ia akan direbut sebaik mungkin. Terima kasih ibu dan ayah yang telah menghantar kami ke sini dan keampunan yang tidak terhingga dipohon sekiranya perbuatan kami selama ini menghiris hati dan memalukan keluarga.’’
Inilah luahan hampir 60 penghuni KEWAJA yang terpaksa beraya tanpa ahli keluarga. Bagi mereka, pengganti ayah kandung pada hari raya itu ialah pengasas KEWAJA, Yahya Mohamed Yusof,45 yang dipanggil ayah manakala isterinya, Ruzitah Bahrum,40 yang dipanggil mama.
...............................................................................................
Demikianlah yang berlaku atas anak-anak yang telah rosak akhlaknya tetapi telah berjaya diselamatkan dan berada di KEWAJA. Syukur tuhan sangat sayangkan mereka. Mereka telah bertemu hidayah dan mendapat bimbingan individu yang arif. Namun di luar sana ramai anak-anak remaja lain yang masih terbiar. Barangkali ada di antaranya anak-anak kita, anak saudara kita, anak-anak jiran atau anak-anak sahabat-sahabat kita. Sedih memikirkan hidup yang tidak teratur dan terpesong arah. Adakala menyakitkan mata dan hati sekiranya ada di antara anak-anak ini yang berkait dengan diri kita. Namun, itulah amanah tuhan. Ia tetap perlu ditangani walau ia agak sukar.
Anak yang telah terpesong ini bukan perkara calang-calang untuk ditangani. Tiada ilmu samalah kerjanya 'seperti mencurah air ke atas daun keladi'. Tugas lebih mudah bagi mendidik anak-anak yang masih suci dan masih kecil. Benarlah kata ' Melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Mereka mudah mendengar kata dan boleh dibimbing. Bagaimana pula agaknya untuk menangani anak-anak yang telah terjebak dengan masalah sosial ini?
Pertama : Semak diri
Ayah bonda tauladan adalah ibu bapa yang sering menunjukkan contoh terbaik untuk anak-anak. Mereka adalah 'role-model' untuk anak-anak mereka. Apa sahaja tingkah laku, pertuturan atau pemikiran merupakan ikutan anak-anak. Bagi merealisasikannya, ibu bapa tauladan ini perlulah sentiasa membuat semakan atas diri masing-masing. Setiap pertuturan dan tindak tanduk dalam satu hari perlulah dimuhasabah. Barangkali banyak perkara yang perlu diperbaiki. Barangkali boleh direnungkan kembali cara kita mendidik anak. Dimana kesilapan kita dalam mendidik anak. Adakah kerana kita terlalu berlembut dalam mendidik anak atau kita terlalu berkeras sehingga anak memberontak? Semua ini akan menjadi garis panduan untuk kita membuat perubahan dan mengadakan pelan bertindak pada masa hadapan.
Kedua : Mencari Ilmu
Apabila semakan telah dibuat, carilah ilmu untuk membantu diri melakukan perubahan. Usahakan untuk bertanya dengan ilmuan yang berada di sekeliling kita. lmu boleh diperoleh di mana-mana, bahkan dihujung jari (dengan carian di internet). Malah terdapat lambakan buku di pasaran bagaimana cara untuk mendidik anak. Membaca digalakkan, tetapi lebih dituntut adalah belajar melalui guru.
Ketiga : Berkongsi pengalaman
Berkongsi juga dengan ibu bapa lain yang telah berjaya mendidik anaknya menjadi anak-anak yang berjaya. Mungkin ada tip-tip berguna yang boleh kita gunakan untuk mendidik anak-anak kita. Saya pernah berkongsi pengalaman dengan seorang ayah yang kesemua anaknya doktor dan bakal menjadi doktor. Beliau boleh mendidik anak-anaknya semenjak kecil, secara umumnya beliau sering solat jemaah dengan anak-anaknya, belajar bersama-sama anaknya dan al-quran menjadi amalannya sekeluarga. Selain itu, terdapat beberapa tips lain yang menjadikan anak-anaknya menurut kata. Anda perlu mencari dan mendapat jawapan untuk pelbagai tips lain daripada individu di luar sana.
Keempat : Niat berterusan/ Istiqamah untuk melakukan perubahan
Semak diri, mencari ilmu dan berkongsi pengalaman sahaja tidak mencukupi untuk mendidik anak (terutama anak yang terpesong ini). Kita perlu mempunyai niat yang berterusan untuk melakukan perubahan terhadap diri. Bukan dengan hanya mengharapkan anak-anak ini berubah, tetapi lebih penting adalah diri sendiri. Seterusnya, tuhan akan memberi kemudahan untuk anak-anak ini membuat perubahan pula.
Kelima : Berdepan dengan konflik
Anak-anak kurang akhlak ini adalah ujian untuk kedua ibu bapa. Adakalanya ibu bapa telah berusaha memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Jika keadaan ini berlaku, ibu bapa perlu berdepan dengan konflik anak-anak ini. Bantulah mereka menanganinya walaupun selama ini mereka sangat degil atau tidak mendengar kata. Hilangkan rasa marah apatah lagi membuang mereka jauh-jauh dari hidup kita. Ikhtiarkan sesuatu untuk mengurangkan konflik yang berlaku. Contohnya, ada anak remaja kita yang telah terlanjur. Usahalah terus untuk membantu mereka menangani keadaan tersebut agar dia tidak berterusan hidup tanpa arah.
Keenam : Mendidik bukan dengan harta
Di kalangan ibu bapa ada yang merungut-rungut kepada anaknya apabila anaknya melakukan gejala sosial seperti mencuri, merogol, merokok, ponteng sekolah dan sebagainya. Ibu bapa cukup marah kerana selama ini mereka bekerja bertungkus lumus siang malam untuk mencari rezeki untuk anak-anak. Tetapi dibalas dengan tuba oleh anak-anak mereka.
Namun rata-ratanya jika diperhatikan, ibu bapa hanya menyediakan wang atau harta kemewahan tetapi lupa menyediakan makanan rohani atau pendidikan agama yang sempurna untuk mereka.
Luqman Hakim berpesan yang dicatat oleh para tabi’in dalam mendidik anak-anak: "Janganlah engkau mengajar anak dan keluarga engkau dengan harta engkau, sebab jika ia sedikit engkau mengkhianati mereka, dan jika ia banyak tidak pula akan memberi kepuasan kepada mereka".
Demikianlah jika ibu bapa yang mendidik anak mereka hanya dengan menyediakan harta sahaja untuk anak-anak mereka. Usahakanlah cara agar anak-anak tahu tentang kesusahan hidup dan menghargai walau sedikit harta yang ada.
Ketujuh : Berterusan dalam mendidik anak
Mendidik anak bukan kerja sehari dua, tetapi adalah urusan setiap hari. Kerja menasihat dan membimbing bukan hanya ketika anak berumur 18 tahun ke bawah sahaja tetapi berterusan selagi hayat masih ada. Tugas mendidik anak juga bukan sahaja sekali dua tetapi mungkin ribuan kali. Demikianlah panjangnya tugas mendidik anak. Dengan ingatan berterusan ini akan memberi panduan kepada anak-anak. Sekalipun mereka telah tersasar, kita tetap membantu memberi jalan agar mereka tahu arah tujuan. Anak yang tersasar jika tidak dibantu boleh jadi menyebabkan mereka terpesong lebih jauh dan lebih lama.
Kepentingan mendidik dalam Islam dinyatakan dengan maksud hadis :
"Sesiapa di kalangan kamu mengajar anaknya adalah lebih baik baginya daripada bersedekah setengah gantang makanan untuk orang miskin" (Dipetik dari Anakku Hebat, Anakku Soleh: Zahazan Mohamed)
Kelapan: Membelanjakan wang untuk mengajar anak
Anak-anak yang kurang akhlaknya ini adakalanya sukar untuk dibentuk oleh ibu bapa. Ada baiknya juga ibu bapa mendapatkan pertolongan sebagaimana di KEWAJA ini. Belanjakanlah sedikit wang untuk membantu mereka sebagaimana sebelum ini ibu bapa telah menghabiskan wang untuk mendidik mereka di sekolah. Sekurang-kurangnya mereka boleh dibantu untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang.
Sekiranya mereka tiada ilmu tentang Al-Quran bantulah mereka mengenalnya.
Berkata Al-Alim al Muslim Al Qobisi:
" Sesiapa yang inginkan anak yang menjadi penyejuk matanya hendaklah dia mengeluarkan wang untuk mengajar anaknya. Mudah-mudahan usahanya mengeluarkan belanja menghantar anaknya belajar Al-Quran dimasukkan Allah sebagai satu golongan daripada orang yang berlumba-lumba mengerjakan amalan-amalan kebajikan.
Kesembilan : Berdoa dan bersabar
Segala usaha telah dilakukan untuk menangani anak-anak yang tersasar mahupun anak yang kurang akhlak ini. Langkah seterusnya, teruskanlah berdoa tanpa putus-putus. Sesungguhnya pertolongan tuhan ada di mana-mana dan tanpa dijangka. Hati juga adalah pegangan tuhan dan boleh berubah-ubah (dengan izinnya). Bersabarlah sekiranya masih tiada berubahan atas anak-anak ini walaupun telah banyak perkara yang dilakukan. Sekiranya terdapat sedikitpun perubahan, maka bersyukurlah.
Kesimpulannya, untuk mendidik anak yang masih kecil atau anak yang kurang akhlak memerlukan ilmu dan ia bermula dari ibu bapa. Ibu bapa yang berilmu dan beramal dengannya akan melahirkan generasi yang hebat dan terbilang. Untuk itu, seseorang perlu menyediakan diri dalam mendidik anak mereka, terutama dalam mendidik anak generasi siber masa kini. Seorang bijaksana ada berkata : Mulakanlah tarbiah anakmu 20 tahun sebelum anak itu lahir." Bagaimana dengan diri kita?
Norazimah Ibrahim
Counselor Officer
Inland Revenue Board of Malaysia
Human Resouce Management Division
8th Floor, Block 9
Goverment Building Complex
Jalan Duta P.O Box 11833
50758 Kuala Lumpur
"Pentarbiahan anak ialah usaha membentuk mereka dari segi jasmani, akli (akal), rohani, perasaan dan sosial sehingga menjadi anggota masyarakat yang berguna kepada masyarakatnya" Al-Sayyid Sabiq.
Fandi Ahmad Tidak Tolak Kemungkinan Rombak Pemain Sri Pahang FC Apabila
Berdepan JDT Selasa Ini
-
*KUANTAN:* Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menolak kemungkinan
melakukan rombakan pemain apabila berdepan pendahulu Liga Super, Johor
Darul T...
5 hours ago
No comments:
Post a Comment