mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Monday, January 19, 2009

Isteri Sara Suami?

Norazimah Ibrahim

Fenomena hari ini memperlihatkan perubahan peranan antara isteri dan wanita. Asalnya lelakilah sebagai suami dan ketua keluarga yang menyara isteri dan keluarganya. Namun kini, pengaruh luar telah menular dan wanita pula yang mengambil alih peranan itu.
Jika dahulu, isu ini adalah isu terpencil. Ada suami yang dahulu seharian di kedai kopi tetapi yang isteri bertungkus lumus mencari rezeki di kebun, menoreh dan sebagainya. Generasi itu ada kemungkinan dangkal ilmunya kerana tidak pernah bersekolah pun.
Anehnya ia berterusan dan lebih hebat lagi pada waktu ini, suami-suami ini lepasan sekolah dan malah ada golongan profesional. Tetapi mereka membiarkan si isteri memikul bebanan berat ini menyara hidupnya dan keluarga!
Cerita-cerita duka sang isteri ini barangkali ada yang pernah mendengarnya dari majalah, surat khabar, atau individu yang berada di sekitar. Kepenatan menggalas beban itu rasa tidak tertanggung. Tapi demi sebuah keluarga, sang isteri sanggup berkorban kerana tiada pilihan, menyara suami dan anak-anak.
Bagi wanita yang tidak pernah melaluinya, mungkin belum berkahwin atau memiliki suami yang baik, akan berfikir, `kenapalah mahu membebankan diri dan terus hidup dengan lelaki yang tidak layak bergelar suami’. Tetapi si isteri yang menyara suami ada alasan tertentu untuk memilih jalan ini. Mereka memikirkan bukan mudah untuk keluar dari kemelut ini dan bagi yang telah lama menyara suami, mereka telah selesa dengan keadaan ini. Selesa di sini bukan bermakna mereka bergembira dengan keadaan ini, tetapi mereka memikirkan lebih sukar jika mereka cuba untuk keluar dari masalah. Lebih mudah berkorban dan menerima nasib serta takdir diri.
Walau bagaimanapun, selagi suami berupaya dan bukan dalam kategori hilang keupayaan fizikal. Mereka wajib bekerja demi menyara isteri dan keluarga. Darjat suami amat tinggi kerana ia di panggil ketua keluarga. Ketua keluarga itu tanggungjawab menyediakan tempat perlindungan,menyara keluarga, menjaga keselamatan dan beberapa tanggungjawab lain.
Di dalam Islam (bagi individu Muslim) wajar tahu di dalam Surah Al-Talaq, Ayat 7 yang bermaksud : "Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah menurut kemampuannya. Barang siapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati diri seseorang melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran".
Seorang suami itu perlu menyara keluarga mengikut keupayaannya dan sedaya upayanya. Bukanlah apabila dia diberhentikan kerja atau tidak jumpa kerja yang sesuai sehingga bertahun-tahun, namanya berusaha mengikut keupayaan. Selagi ada kudrat, wajib bekerja menyara keluarga. Tiada istilah untuk lama-lama menganggur dan tidak jumpa kerja yang sesuai atau sedarjat. Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan sekalipun tugas menyapu atau jadi pengawal keselamatan sudah boleh menyelamatkan martabat sebagai seorang suami. Biar bergaji kecil tetapi dia tetap berusaha menyara keluarganya. Itu tandanya lelaki yang ada harga diri dan hebat! Sekalipun isteri punya gaji yang lebih besar, dia tetap cuba menyediakan yang terbaik dan terdaya. Itu maruah seorang lelaki yang punya martabat.
Kesan psikologinya kepada isteri dan anak-anaknya bagi suami yang bekerja, mereka melihat seorang ’role-model’ yang berusaha keras demi keluarganya. Ayah teladan kepada anak-anak. Anak-anak mendapat contoh kepimpinan yang sepatutnya ada dalam diri mereka. Perasaan hormat dan menurut kata akan timbul dalam diri isteri dan anak-anak. Anak-anak juga melihat peranan ayah sebagai ketua keluarga dan ibu sebagai pendukungnya. Mereka boleh menjadikan ayah sebagai contoh panduan hidup mereka. Sikap bertanggungjawab, berusaha, gigih, tabah dan sabar akan tertanam dalam diri anak-anak melalui teladan yang ditunjukkan ayah. Bagaimana agaknya psikologi isteri dan anak-anak, bagi isteri yang menyara suami?
Betapa sukarnya mereka mengendalikan emosi, fikiran dan tindakan mereka, selain dari perasaan bercelaru memikirkan peranan seorang ayah dan ibu. Tidak berlaku sebagaimana ayah dan ibu orang lain dalam masyarakat. Bagi wanita yang telah terjerumus dalam ke arah ’isteri sara suami’, sedarlah tentang keperluan diri. Hayati perakuan taklik suami di saat pernikahan, suami itu perlu memberi nafkah:
"Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya, selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi NAFKAH kepadanya selama tempoh masa tersebut padahal ia taat akan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu teralak ia dengan cara talak khul".
Bagi isteri-isteri yang sedang menyara suami, boleh sahaja meneruskan keadaan ini selagi kita tahu ia akan membawa bahagia dan ikhlas melakukannya. Tetapi sekiranya sebaliknya, diri sengsara dan hidup derita. Sesuatu anda perlu lakukan untuk perubahan ke arah yang lebih baik. Seandainya terlalu berat untuk bertindak, dapatkan sokongan individu lain atau lebih baik bertemu kaunselor. Boleh jadi terdapat cara agar suami berusaha menanggung keluarga dan sekiranya tidak tindakan lain boleh dilakukan isteri.

Norazimah Ibrahim

1 comment:

Anonymous said...

ASSALAMU'ALAIKUM...ALHAMDULILLAH..AKHRNYA SAYA TERPANGGIL UNTUK MEMBUAT SEDIKIT TEGURAN.DIHARAP PIHAK TUAN DAPAT SEGERA MEMBUAT PEMBETULAN ATAS KESALAHAN YANG SAYA KIRA AMAT BESAR.SILA SEMAK ARTIKEL BERTAJUK ISTERI SARA SUAMI.TERDAPAT SATU PERKATAAN YANG TERNYATA SALAH DITAFSIRKAN. SILA SEMAK AYAT 7 DARI SURAH AT TALAQ.PERKATAAN MEMBERATI TELAH DITUKAR MENJADI ***MEMBERKATI***.BERIKUT ADALAH COPY PASTE ARTIKEL TERSEBUT.

HARAP DAPAT DIBETULKAN SESEGERA YANG BOLEH DAN DIMAKLUMKAN DI SINI SUPAYA TIDAK TIMBUL SALAH TAFSIR KEPADA PENGUNJUNG2 BLOG INI.HARAP LEBIH BERHATI-HATI.HARAP MAKLUM DAN BERTINDAK.
WALLAHU'ALAM.

Di dalam Islam (bagi individu Muslim) wajar tahu di dalam Surah Al-Talaq, Ayat 7 yang bermaksud : "Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah menurut kemampuannya. Barang siapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberkati diri seseorang melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran".


FRM
MOHD BASIR BIN MAHMUD
org2dymliame@yahoo.com