mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Thursday, May 28, 2009

Pakaian Tawadduk

Assalamualaikum...

Nukilan di bawah ini untuk tatapan semua termasuk diri saya sendiri. Adalah lebih menyentuh hati seandainya kita membacanya dengan berasa ia adalah nukilan dari hati kita sendiri...tusukannya boleh membuatkan kita menginsafi diri... hadir ke dunia tanpa apa-apa.
"Ya Allah, bukakan hati kami dalam menerima taufik dan hidayahMu"
_________________________________________________________

Inginku Sarungkan Pakaian Tawaduk …
Menjadi persalinan ku sehingga ku dijemput Kelak
Teladan 1
Sayidina Umar Al-Khattab, meskipun seorang khalifah, beliau berjalan kaki untuk suatu keperluan sehingga kepenatan. Keadaan itu dilihat seorang pemuda yang sedang menunggang himar.
Sayidina Umar berkata kepadanya: "Wahai pemuda, bawa aku, aku benar-benar kepenatan". Pemuda tadi turun dari keldainya seraya mempersilakan Sayidina Umar naik. Sayidina Umar menolak dan cuma mahu menumpang di belakang pemuda itu hingga masuk Kota Madinah dan orang melihatnya.
Teladan 2
Diceritakan juga bahawa pada suatu malam datanglah seorang tamu kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz. Waktu itu beliau sedang menulis. Lampunya hampir padam.
Tamu itu kemudian berkata: "Biarlah saya yang memperbaiki lampu itu, Ya Amirul Mukmin."
Beliau menjawab: "Ah jangan, tidak baik seseorang menganggap tamunya sebagai pelayan. Itu bukan akhlak yang mulia."
Tamu itu kemudian berkata lagi: "Kalau begitu, biarlah saya bangunkan pelayan saja."
Beliau menjawab: "Ah jangan, ia baru saja tidur, agaknya sejak tadi belum merasakan kelazatan bantalnya."
Selanjutnya beliau sendiri membetulkan lampunya, maka tamu itu berkata lagi: "Mengapa anda sendiri yang membetulkan lampu itu, Ya Amirul Mukmin?"
Beliau r.a. menjawab: "Mengapa tidak, kalau saya pergi saya pun tetap Umar, kalau saya kembali saya tetap Umar. Tidak berkurang sesuatu pun dari diri ku dengan apa yang saya lakukan tadi, bukan? Selamanya saya tetap Umar."

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Berbahagialah insan yang memakai pakaian tawaduk dalam kehidupannya. Sahabat nabi mencontohi sebagaimana akhlak Rasulullah yang telah di tinta dalam sejarah Islam. Sifat tawaduk Rasulullah SAW adalah contoh terpahat untuk ikutan. Baginda tinggi darjatnya menjadi Rasul, mulia di kalangan manusia dan menjadi insan paling dikasihi Allah. Tetapi Rasulullah tidak segan dan sombong untuk melakukan pekerjaan dilakukan orang bawahan. Baginda mengangkat batu ketika membina Masjid Madinah. Baginda menggali parit dalam peperangan Khanda’. Malah Rasulullah s.a.w memaafkan orang, menjahit pakaiannya sendiri , menjahit kasutnya dan turut membantu kerja rumah ahli keluarganya.
Oh, tuhan ku! Di manakah duduk aku dalam mencontohi teladan ini? Bagaimana aku melihat diri .. adakah aku memakai pakaian kesombongan? Takutnya aku Ya Allah...
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:"Sekali-kali Allah tidak akan menerima sesuatu amalan yang di dalamnya terdapat sebesar biji sawi dari sifat riak" (Riwayat Al-Mundziri)
Ya, Allah... apa lagi yang tinggal jika aku benar-benar sombong dan riak.. ya tuhan ku..
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kau memalingkan muka mu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membangga diri." (Surah Luqman, ayat 18)
Ya Tuhan ku, jauhkan lah aku dari perasaan riak, sombong dan takbur, sedarkanlah aku di saat setiap kali aku berkata, dari setiap waktu apabila terdetik di hati ku perasaan ini.
Jauhkan lah aku dari perkara ini, Ya Allah:
1. Diberi jawatan rasa terhibur
2. Tidak dilantik, rasa tidak senang
3. Jikalau menjadi seorang pemimpin, arahan selalu kasar
4. Kalau dia pengikut, payah untuk taat
5. Mudah marah, cepat melenting
6. Emosional dan mudah tersinggung
7. Payah menerima pandangan orang lain
8. Dalam majlis, tidak senang bila orang lain memberi pandangan
9. Dalam majlis mudah untuk memotong cakap orang lain
10. Suka hanya pandangan sendiri sahaja yang diterima
11. Suka memperkenalkan diri sendiri daripada memperkenalkan orang lain
12. Tidak senang kemajuan tercetus di tangan orang lain
13. Bercakap selalu dengan suara yang tinggi dan tidak boleh dicabar, pasti tercabar.
(Hukama)
Hanya Engkau Ya Tuhan ku yang berhak untuk memakai pakaian sombong kerana semua yang ada ini di bawah Kerajaan Mu. Tidak ada setitis darah, segaris urat, seketul daging dan hembusan nafas yang ku miliki.. Hakikatnya ianya milik Mu Tuhan ku...
Sungguh aku malu apabila terlupa dengan memakai pakaian kesombongan... Bila aku berasa diri bagus... berasa diri hebat.. berasa diri bijaksana.
Tuhan ku,
Didiklah aku dalam mengenal Mu. Dengan mengenal sifat- sifat, akan datanglah rasa kerdil diri ku ini. Tentang betapa lemahnya diri ku berbanding keagungan Mu. Akan lahirlah rasa rendah diri pada Mu Ya Allah. Aku patutnya tahu yang aku Tidak berasa pernah memiliki dan dimiliki melainkan semuanya adalah hanya Allah s.a.w yang Maha Memiliki. Damailah hati ku ini... kiranya aku menanggalkan pakaian kesombongan.
Ya Rabb,
Bantulah aku mengenal diri ku. Supaya aku tahu betapa banyaknya dosa ku. Betapa banyaknya aib ku. Yang selalu aku katakan pada diri aku insan hebat kerana telah berada di tahap ini. Tahap ini yang bila-bila masa Engkau boleh tarik. Nafas ku akan terhenti bila-bila masa tanpa ada amaran...
Oh Tuhan ku...
Pimpinlah aku mengenal diri ku. Asal ku hanya dari setitis air mani. Lahir ku tanpa mengetahui satu hal pun.
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu mu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun. Dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur (QS 16:78)
Ya Allah,
Aku sering lupa siapa diri ku. Kekurangan ku terlalu banyak. Tidak terhitung. Aku sering laung-laungkan aku ini sering berbuat kebaikan. Namun, tuhan ku berapa banyak kezaliman yang telah aku lakukan antara aku sedar atau tidak. Tuhan ku..
Ingatkanlah diri ku ini tatkala aku sombong dan mendabik dada menyatakan aku ini insan yang hebat. Walhal tiada apa yang ada selain rahmat mu sahaja.
Ku tadahkan jari jemari ini. Ampunilah aku, Ingin ku tanggalkan pakaian sombong dan riak ini... Ingin ku sarungkan pakaian tawaduk yang menjadi persalinan ku sehingga aku dijemput Mu kelak. Di saat ketika benar-benar tiada sesuatu pun ada padaku selain amalku. Mana amalku jika ada riak dalam hatiku...oh tuhanku..

2 comments:

anis said...

mohon share :)

Anonymous said...

Terima kasih atas perkongsian d atas