Pernahkah anda perlu menyiapkan kerja anda dan dalam waktu yang sama perlu menyiapkan kerja orang lain? Tapi anda bukan menanggung tugas… Ia adalah kerana atas dasar kerjasama… semua orang perlu bekerjasama menyiapkan tugasan satu unit, satu bahagian atau satu jabatan? Betul begitu? Namun, atas dasar ini ada orang ambil kesempatan.
Apabila kerjanya tidak siap, nanti ada rakan yang akan tolong buatkan. Dia boleh buat beberapa urusan peribadi, (yang sebenarnya boleh buat waktu luar pejabat pun). Dia juga boleh lama-lama minum di kedai (pagi dan petang) sambil sembang-sembang dengan rakan. Kerap ke tempat rakan-rakan lain chit-chat bukan urusan kerja langsung pun. Atau boleh ‘take fire’ acap kali dalam sehari untuk kurangkan stress. Begitulah matlamatnya.
Jika anda tidak mengalami keadaan ini, bersyukurlah. Bagi yang menyatakan Ya. Apa yang anda rasa? Sedih, marah, bengang atau gembira, tak kisah, ikhlas?
Dalam Klinik Psikologi yang lepas, terdapat pegawai-pegawai yang tertekan di tempat kerja kerana mendapat rakan sekerja sebegini. Adalah lebih baik kita melihat kenapa keadaan ini berlaku dan langkah yang boleh kita bantu untuk mengurangkan isu ini.
Individu Terlibat.
Bagi yang mengaku anda mengalami situasi ini bangunlah dari tidur. Usahlah pendam masalah ini sendirian sehingga bertahun-tahun disimpan. Sekiranya anda redha sebab anda jenis tak kisah, teruskanlah membantu ‘Si dia’. Tetapi, perlu diingat dalam waktu yang sama anda membantu dia untuk tidak sedar diri sampai bila-bila. Dia akan terus dengan tabiat hilang dari tugas dan tak kisah untuk berbuat demikian sehingga telah sebati dalam dirinya. Malah, dia rasa sangat selesa sehingga jika dia pindah ke cawangan lain dia akan berasa tingkah laku sedemikian seolah-olah wajib!
Andainya tiada kekuatan. Berbincanglah dengan PRS di tempat masing-masing. Apakah tindakan wajar yang boleh anda lakukan. Sekiranya anda ada kuasa, tegurlah dia. Sekiranya dia buat tak tahu atau jenis tak boleh kena tegur. Jumpalah dengan penyelia untuk membantu menangani keadaan ini. Risiko akan tetap ada. Sekiranya anda pendam, anda akan menyebabkan dia terus dengan perangainya. Jika anda minta bantuan penyelia untuk menegur, boleh jadi dia juga tidak menyukai anda. Anda boleh memilih dalam membuat keputusan yang mana lebih kurang risiko. Jika anda lebih mementingkan kesukaan manusia yang berbuat perkara yang tidak baik/ mungkar ~ hilang waktu bertugas dan main-main, teruskanlah dengan tindakan anda berdiam. Jika anda mementingkan hal untuk membantu dia berubah, bertindaklah. Niat perlu betul. Anda lakukan (bagi yang muslim) hanya kerana Allah, bukan kerana sakit hati, bukan kerana benci. Tapi kerana kasih sayang. Selepas itu berdoalah. Di antara doa yang boleh dibaca seperti di bawah:
“Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadamu yang menyampaikan kami ke syurgamu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia.”
“Wahai tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Dan janganlah Engkau jadikan bencana bagi kami dalam agama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya kami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami.”
“Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalal engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik.” “Wahai tuhan kami, engkaulah penolong kami, maka kepada engkau kami mohon pertolongan. Wahai tuhan kami, engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada engkaulah kami pohon selamat.”
“Selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada tuhan bagi kami melainkan engkau demi kebesaran wajah engkau dan kemuliaan kesucian engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari engkau wahai tuhan yang maha pemurah.”
“Wahai Tuhan sama ada engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan mereka seperti seperti kamu tundukkan bukit- bukau, gunung- ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun kamu lipat balik rancangan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri. Ya Allah, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.”
“Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyehatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian. Ya Allah Ya tuhanku aku tak berdaya lagi menanggung keadaan ini, bantulah aku Ya Allah...”
Seterusnya, urusan penyelia atau ketua anda untuk mengambil tindakan susulan. Usah bimbang kerana kewajiban anda telah tertunai. Hubungan anda dengan mereka teruskan. Tegur macam biasa. Hal dia membenci anda dan jika selepas ini ada cerita-cerita luar biasa yang menyebabkan anda kurang selesa. Belajar untuk mengabaikannya. Maafkan dia dan doakan dirinya.
Bagi yang sering ‘ghaib’ dari tempat dan meninggalkan tugas ini sehingga menyebabkan rakan anda teraniaya. Perlu bangun dari tidur juga. Barangkali tidak perasan teraniaya orang lain. Kita barangkali ingin mengurangkan stress. Tertekan dengan ‘bos’, tertekan sebab tak dapat prestasi cemerlang, tertekan kerana buat kerja yang sama, tertekan hal di rumah dan semua perkara. Usah jadikan ini alasan untuk kita berbuat sesuka hati di pejabat. Urusan di pejabat juga adalah ibadah. Jika ditinggalkan tugasan ini dengan harapan orang lain yang akan menyudahkannya, ia menunjukkan ciri orang yang tidak bertanggung jawab. Malah menganiaya orang yang perlu menyiapkan kerja kita. Perlu diingat, menganiaya orang menyebabkan hidup kita tak akan tenteram dan hilang rasa bahagia.
Sekiranya perlu bantuan untuk mengatasi perasaan kerana bermacam-macam masalah yang anda lalui, berbincanglah dengan orang yang anda percaya. Pastikan dia berilmu dan beramal. Ini untuk memastikan usaha dan tindakan yang anda ambil membawa anda ke hadapan dan bukan menyebabkan anda bertambah ke belakang.
Pihak Pentadbir, Penyelia atau Ketua
Jika terdapat ‘anak buah’ yang menghadapi keadaan ini, tindakan perlu diambil. Bukan hanya sekadar memberi penyataan umum dalam mesyuarat. Ada individu yang tidak berapa faham bahasa kiasan atau penyataan umum. Mereka tidak berasa ia ditujukan untuk mereka, sekalipun memang dialah orang yang kita maksudkan. Beri teguran secara bersemuka dengannya untuk mengelakkan dia dimalukan. Sekiranya ada hal-hal lain yang memerlukan beberapa orang terlibat, adakan dalam bilik tertutup. Selepas teguran, berikan ruang masa untuk berubah. Lakukan teguran setiap kali dia melakukan perkara yang tidak diingini. Sekiranya telah dinasihati berkali-kali dan perangainya masih berterusan. Tindakan perlu diambil. Ini bermakna mereka tidak boleh pakai cara lembut!
Cara pertengahan sebelum tindakan keras diambil adalah dengan menghantar memo dan dia perlu menjawabnya secara formal. Dalam bentuk bahasa boleh jadi dia tidak boleh ingat, dalam bentuk bertulis boleh jadi memberi kesan kepada dirinya. Seterusnya, jika tingkah laku tersebut masih berterusan tindakan keras boleh diambilmelalui tindakan tatatertib. (Rujuk Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 4 Tahun 1998 Garis Panduan Menguruskan Pegawai Berprestasi Rendah dan Pegawai Yang Bermasalah).
Seandainya, tiada tindakan yang diambil atau kita buat-buat pejamkan mata. Lebih ramai orang teraniaya. Yang banyak membuat kerja orang lain ini, boleh jadi rasa tidak puas hati. Prestasinya akan menurun dan tidak mustahil dia juga boleh lakukan sebagaimana rakannya ini. Niatkan sesuatu yang kita lakukan ini atas tanggung jawab yang telah diamanahkan. Tanggung jawab yang akan dipersoalkan pada masa akan datang.
Harapannya, organisasi kita ini yang terkenal dengan disiplin yang tinggi akan terwaris untuk generasi baru; yang merupakan kesinambungan dari generasi lepas yang menjaganya dengan baik.
Hangus Tiada Berapi, Karam Tiada Berair
Bermaksud Derita Yang Tidak Kelihatan
(Dipetik dari : Koleksi Terindah Peribahasa Melayu, 2002)
AJK Penerbitan Kelab Kebajikan Jabatan Sumber Manusia
Norazimah Ibrahim
Counselor Officer
Inland Revenue Board of Malaysia
Performance and Competency Management Division
8th Floor, Block 9
Goverment Building Complex
Jalan Duta P.O Box 11833
50758 Kuala Lumpur
Fandi Ahmad Tidak Tolak Kemungkinan Rombak Pemain Sri Pahang FC Apabila
Berdepan JDT Selasa Ini
-
*KUANTAN:* Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menolak kemungkinan
melakukan rombakan pemain apabila berdepan pendahulu Liga Super, Johor
Darul T...
6 hours ago
No comments:
Post a Comment