Oleh: Norazimah Ibrahim
Warga kerja ........... baru sahaja menerima berita baik kerana mendapat rezeki lebih dari seganda wang gaji pada bulan hadapan. Ada yang tersenyum bersyukur, ada yang separuh senyumnya dan tiada senyuman. Masing-masing tahu apa yang bermain dalam hati yang terluah dan tidak terluah.
Nilai wang berbeza-beza bagi setiap individu. RM50 yang kita peroleh mempunyai makna yang berbeza mengikut pandangan seseorang. Ikuti cerita benar di bawah:
Cerita 1:
Azman (hanya nama panggilan) mempunyai wang RM50 yang diniatkannya untuk diagih-agihkannya untuk beberapa buah keluarga di kampong asalnya. Azman bukanlah pegawai tinggi tetapi hanya dari pegawai kumpulan sokongan yang mempunyai niat untuk menyumbang kepada masyarakatnya setelah dia mempunyai pekerjaan.
Suatu hari, dia bertandang ke sebuah rumah yang agak daif, memang telah dia ketahui keluarga itu agak miskin. Ketika dia hampir di rumah tersebut, seorang wanita tua duduk di tangga dan berhampirannya ada beberapa orang anaknya memandang Azman.
Azman mengucap salam dan dijawab wanita tua itu. Azman menerangkan hajat kedatangannya. “Saya berhajat memberi sedikit saguhati untuk makcik” kata Azman tertib. Wanita tua tersebut mengangguk-anggukkan kepalanya. Azman tidak boleh duduk lama di rumah tersebut kerana ada beberapa buah rumah lagi yang perlu dikunjunginya. Azman mengeluarkan sampul dan menghulurkannya kepada makcik tersebut. Orang tua tersebut memandang Azman dan matanya digenangi air mata. Dia membuka sampul dan dilihatnya wang RM50. Diciumnya sampul wang tersebut tanda senang hati. “Terima kasih banyak Nak, terima kasih banyak Nak…dapatlah kami makan malam ini” Matanya masih bergenang air mata dan dia memandang anak-anak yang turut memerhatikan aksinya. Besarnya nilai RM50 pada makcik ini. Azman senyum dan berasa gembira kerana pemberiannya ini memberi keceriaan kepada makcik tua ini.
Cerita 2:
Azwa (hanya nama panggilan) mempunyai saudara sepupu yang masih belajar. Dia mengirim sms memohon Azwa memasukkan sejumlah wang untuknya. Azwa ketika itu mempunyai wang tetapi cukup-cukup untuk belanja hariannya. Dia berkira-kira semula dan mengurangkan perbelanjaan hariannya agar dapat memberi RM50 kepada saudara sepupunya ini. Mereka hanya berjumpa sebentar di satu tempat. Azwa menyerahkan sampul kepada saudara sepupunya dengan senyuman. Mereka tidak berbual panjang kerana saudara sepupunya ini ingin cepat pulang kerana masih banyak pekerjaannya lagi. Sekembalinya Azwa ke rumah, dia mendapat sms dari saudara sepupunya. “Sikitnya bagi, mana cukup” Azwa tersentak menerima sms tersebut. Sewaktu menyerahkan wang tersebut tiada pun sepatah perkataan terima kasih tetapi Azwa hanya mengabaikan kerana barangkali dia terlupa. Namun, apabila dia menerima sms tersebut hatinya sedikit terkilan. Rupanya kecil benar nilai RM50 pada diri saudaranya ini, walhal pada Azwa ia nilai yang besar kerana dia sendiri perlu mengurangkan perbelanjaannya semata-mata untuk memberi kepada saudara sepupunya ini.
Nilai mata wang adalah sama iaitu RM50 tetapi mempunyai makna berbeza bagi kedua-dua yang mendapat wang RM50 ini. Kehendak dan pengharapan yang berbeza menjadikan mereka gembira atau tidak gembira walau mendapat RM50 ini. Makcik tua ini barangkali sangat bersyukur kerana dengan wang ini banyak perkara yang boleh dibelinya terutama makanan untuk anak-anaknya. Tetapi boleh jadi saudara sepupu Azwa ini pula mempunyai keperluan lebih besar daripada makcik tadi. Apapun, yang boleh diambil pengajarannya, mengurangkan kehendak serta pengharapan yang tinggi boleh membantu untuk diri bersyukur. Sekiranya ia lebih tinggi daripada yang kita terima menyebabkan kita terlupa untuk mengucapkan “Aku amat beryukur atas pemberianMu Tuhanku” atas semua nikmat yang diterima.
Ucapkan syukur atas setiap sedutan dan hembusan nafas dan atas setiap sesuatu nikmat yang telah kita terima selama ini. Selagi masih ada ruang waktu untuk kita menyatakan betapa bersyukurnya kita terhadap kurniaan tuhan.
Fandi Ahmad Tidak Tolak Kemungkinan Rombak Pemain Sri Pahang FC Apabila
Berdepan JDT Selasa Ini
-
*KUANTAN:* Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menolak kemungkinan
melakukan rombakan pemain apabila berdepan pendahulu Liga Super, Johor
Darul T...
5 hours ago
No comments:
Post a Comment