mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Wednesday, August 15, 2012

Cedokan dari Sinar On line; Hijab, Rahsia Muslimah Menawan

Nor Hafizah Md Shah

22 Mac 2012
  Alhamdulillah jika anda memang sudah memakai tudung selepas baligh lagi. Bagi anda yang masih baru, teruskan niat anda itu kerana Allah SWT. Jangan sesekali memandang hina mereka yang tidak bertudung. Lebih baik anda mendoakan agar Allah SWT membuka hati mereka untuk menutup aurat di kepala itu.



Anda masih boleh bergaya walaupun memakai tudung, tetapi perlu menepati syarat dalam Islam. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: “...hendaklah mereka melabuhkan tudung (selendang) mereka ke leher dan dada mereka...” (Surah An-Nur: Ayat 31). Cara berpakaian juga perlu sopan bertepatan dengan pemakaian tudung menutupi paras dada 360 darjah. Ia bermaksud, bahagian depan dan belakang perlu sama panjang. Dara.com ingin berkongsi beberapa tip pemakaian tudung sesuai untuk remaja seperti anda.







1- Anak Tudung – Jika anda gemar memakai selendang daripada fabrik jojet, satin atau pun sifon yang licin, maka seelok-eloknya anda menyarungkan anak tudung terlebih dahulu. Guna anak tudung buatan fabrik lycra kerana selendang tersebut akan mudah dibentuk serta terletak dengan cantik.







2- Warna Terang – Hitam dan putih adalah warna selamat untuk dipadankan dengan apa jua warna, tetapi apa kata anda ubah cita rasa itu pada penampilan diri. Gunakan warna terang pada selendang agar wajah anda kelihatan lebih segar dan bersemangat. Ini kerana warna yang pudar, gelap atau pun kedam akan membuatkan wajah anda seperti lesu dan tidak bermaya.







3- Corak Tudung – Elakkan memilih corak yang terlalu penuh pada tudung. Ia akan menyerabutkan penampilan anda. Cukup sekadar renda, kerawang, jemeki atau pun corak bunga di hujung selendang sahaja. Corak yang ringkas ini sudah boleh melengkapkan gaya manis anda. Jangan sesekali memilih corak berunsur binatang yang kontra dengan budaya Islam.







4- Sanggul Belakang – Tidak dinafikan, kewujudan sanggul di belakang kepala membuatkan tudung beralun cantik, tetapi anda perlu ingat dosa yang perlu ditanggung. Sanggul yang terlalu tinggi bukan mengikut ajaran Islam.







Tegahan gaya ini telah diriwayatkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ada dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku lihat: Suatu kaum yang memiliki cemeti ekor lembu untuk memukul manusia dan para wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, kepala mereka seperti bonggol unta yang bergoyang-goyang. Wanita seperti ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan baunya dapat dicium selama perjalanan sekian dan sekian. (Hadis Riwayat Muslim)







5- Bentuk Leher – Ini juga dilarang dalam Islam kerana menyerupai agama lain. Ia juga serupa menampakkan leher anda walaupun ditutupi dengan kain tudung. Sedar atau tidak, terlalu ramai yang meniru fesyen sebegini sekarang ini. Nabi Muhammad SAW menerusi hadisnya berkata: “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk daripada golongan mereka”. (Hadis Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibnu Hibban). Maka, ubah gaya tudung anda sekarang sementara belum terlambat.







Dapatkan majalah Dara.com terbitan Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. isu BUMPER (April 2012) – Lebih Tebal, Lebih Padat. Hadiah 240 helai TUDUNG PERCUMA menanti anda. Hanya potong keratan kupon dan sertakan borang penyertaan ASLI, dan poskan kepada kami.

Cedokan dari Sinar on line ; Tika Bidadari Berbisik – Single atau Berkahwin Kita Sama Sahaja

Siti Farrah Shahwir & Noraini Ismail


14 Ogos 2012

STATUS bujang selalu dikaitkan dengan hidup tanpakongkongan, kesepian ataupun pengganggu rumah tangga orang. Kita juga asyik disogokkan dengan bahan bacaan bagaimana memahami lelaki sedangkan kita sendiri belum cukup mengenali siapa kita dan siapa sebenarnya seorang wanita? Bukanlah sesuatu yang membanggakan apabila memegang gelaran single atau bujang. Apa yang dapat dipersuratkan hanyalah ‘takdir’. Bukankah kita disuruh percaya kepada qadak dan qadar?



Hidup bersendiri di dunia yang penuh pancaroba bukanlah mudah bagi seorang wanita. Faktor persekitaran lebih menakutkan kita, bukan? Apakah definisi faktor persekitaran? Dalam konteks masyarakat tempatan, faktor persekitaran lebih menjurus kepada cakap orang, buah mulut, sindiran, perli-memerli ataupun pandangan serong masyarakat sekeliling. Bayangkan, sekiranya faktor persekitaran ini lenyap, adakah kita akan kuat dan setegar banjaran yang menopang permukaan bumi? Jawapannya, sudah pasti “Ya!”.



Terima kasih wahai pembaca-pembaca kerana menjawab persoalan ini meskipun hanya bicara bisu yang menjadi penghubung cerita kita. Kita menjadi lemah kerana manusia itu sendiri. ALLAH tidak menzalimi sebaliknya kita yang menzalimi diri sendiri. “Sesungguhnya kami menganiaya diri kami sendiri.”



Yunus: 44



Acap kali, orang bujang seperti saya mengeluh, “Untungnya kawan-kawan aku yang dah kahwin. Seronoknya bila tengok kawan-kawan ada anak.”



Saya berasa begitu sehingga mengalami fobia untuk membuka laman facebook kawan-kawan lama. Kalau boleh rasa ingin menghindar dan tidak mahu bertanya khabar mereka kerana dibimbangi diutarakan ‘pertanyaan-pertanyaan maut’ yang berulang-ulang. Contohnya, “Kau bila lagi?”, “Umur dah tua, nak tunggu apa lagi?”, “Bilalah nak rasa nasi minyak” dan banyak lagi. Kesimpulan di sini, bukanlah sombong atau mendabik diri tetapi kerana malu dalam bahagia! Mudah-mudahan kawan-kawan dan pembaca memahaminya. Jadi maafkan sahaja wanita-wanita status bujang ini sekiranya mendiamkan diri dan menjauhkan diri daripada teman-teman.



Langkah pertama untuk bangkit semula setelah ‘rebah’ dengan kata-kata orang maka berdoalah,“Wahai pemilik nyawaku, aku sangat terbatas pengetahuanku. Sangat berkeinginan mengenali ciptaan yang sejenis denganku. Ya ALLAH, ikhlaskan aku dan semoga menjadi titik permulaan buatku menjernihkan tanggapan yang sebelum ini keruh di dalam hati dan benak. Amin ”



Langkah kedua adalah paling mudah iaitu dengan mengenalpasti siapa kita. Adakah berstatus bujang atau seorang yang berstatus seorang isteri? Langkah ketiga adalah berfi kiran positif dan bertindak berubah menjadi empati yakni meletakkan diri di tempat pihak yang berbeza. Contohnya, andai sudah berkahwin, bayangkan, hayati, rasai dan fahami sendiri apabila berada di pihak yang bujang. Begitu juga sebaliknya bagi wanita bujang.







Dari Pena Seorang Isteri



Wanita manakah yang tidak bahagia sebaik sahaja perkataan ‘sah’ dilafazkan oleh dua saksi pernikahannya? Mungkin ada, itu pun kerana terpaksa berkahwin sedang hati tidak rela. Rasa bahagia seorang isteri itu diterjemahkan melalui titisan air mata. Ia bukan lakonan semata, bahkan lahir dari rasa syukur kepada Maha Pencipta cinta. Setelah berjaya melalui beberapa fasa dalam hubungan, maka hari pernikahanlah yang paling dinanti dengan debaran yang bukan kepalang.



Ketika ramai lagi gadis seusia belum berpunya, seorang isteri yang baru melangkah masuk ke alam perkahwinan berasa sungguh istimewa kerana telah bersuami. Buku lama ditutup dan dikenang. Buku baru dibuka dan dijaga dengan penuh keazaman. Saya pasti setiap wanita bergelar isteri berazam untuk sehidup semati dengan suami tercinta. Ke mana sahaja kanda berada, dinda akan setia bersama. Kanda demam, dinda yang lesu. Kanda lapar, dinda yang lemah. Cubit paha kanan,paha kiri turut terasa.



Pasti juga semua isteri berazam untuk menggembirakan hati sang suami. Perut suami dijaga. Seleranya ditanya, “Abang suka makanan yang pedas atau manis?” “Yang berkuah atau kering?” “Panas atau suam?” Yang tidak pandai memasakakan segera membeli buku-buku resipi atau mendapatkannya dari internet. “Abang gemar makanan Barat atau Timur atau mungkin Timur Tengah?” Mungkin juga menelefon adik-beradikdan sahabat baik bertanyakan resipi lauk-pauk istimewa. Ada juga yang sanggup berkursus cara membuat kek, roti dan kuih-muih hanya untuk menggembirakan perut suami. Siapa lagi kalau bukan diri sendiri yang mengenyangkannya?



Mula-mula memasak tu memanglah sukar mahu mengalahkan masakan emak mertua. Jika lawan diandai seperti melawan bola, kita kalah 8-0. Jika lawan badminton, pusingan pertama sahaja kita tersungkur dengan mata 21-1. Tetapi jangan kecewa, telan sahaja apa yang dikomen suami kerana lama kelamaan, suami akan menghargai air tangan kita pula. Yang penting, laksanakanlah dengan hati dan perasaan diiringi zikrullah sepanjang proses menyediakan masakan sehinggalah ke peringkat menghidang. Insya-ALLAH ... tidak akan mengecewakan. Cubalah...



Itu baru bab masak-memasak. Bagaimana dengan penampilan diri? Ramai isteri yang sangat mengambil berat hal yang satu ini. Yang gemuk akan cuba mendisiplinkan cara pemakanan. Jerawat di pipi dirawat. Perut yang buncit di atasi dengan meminum teh herba atau menyapu krim halia dan serai wangi. Tidak mengapalah andai terpaksa berkejar ke tandas sekerap mana pun, yang penting dapat memenuhibentuk badan idaman suami. Yang tidak pernah berkebaya, akan mula mencubanya. Baju kurung akan dianggap fesyen lama yang tidak lagi menarik.



Terkadang, atas permintaan suami, kita sanggup mencubawarna terang dan garang sedangkan sebelum ini, warna lembut suram yang menjadi pilihan. Tudung bawal diganti dengan gaya yang terkini. Jika ke kedai kain atau butik, kita akan bertanya, “Mana ya kain yang terbaru di pasaran?” Biar dipuji suami, “Cantik isteri abang, pandai bergaya, kalau orang tanya, isteri siapa tu? Isteri abang juga.” Ketika itu, hidung mula kembang kempis. Iyalah.. suami yang puji.



Begitulah para isteri berusaha yang terbaik dan termampu hanya untuk memenangi dan menawan hati suami. Luar dalam dijaga rapi. Namun, cabaran sebenar seorang isteri belum lagi terserlah pada hari pernikahan atau tiga, empat bulan dalam tempoh perkahwinan. Awal perkahwinan semuanya manis, manis dan manis belaka. Dan akan terus manis sekiranya isteri itu seorang wanita yang solehah. Manis mengikut acuan solehah. Pahit pun dianggap manis. Sesungguhnya pahit itu ubat. Namun, mampukah semua wanita bergelar isteri menelan kepahitan dan memberi yang manis?



Cabaran sebenar akan bermula apabila masing-masing sudah mengenali secara ringkas tabiat dan tingkah laku hakiki pasangan. Ia mungkin mengambil sedikit masa atau mungkin lebih masa, semuanya bergantung kepada cara hidup dan komunikasi suami isteri. Cabaran bermula apabila masing-masing sudah kembali berpijak di bumi nyata selepas tempoh bulan madu berakhir. Suami kembali bekerja. Isteri juga kembali sibuk malah bertambah sibuk setelah menjawat jawatan baru; seorang isteri.



Percayalah, beberapa ketika selepas pernikahan, kita tidak mungkin mengenali warna sebenar suami walau telah berkongsi bantal, selimut, tilam, pinggan, cawan, sudu, syampu, ubat gigi, tuala dan apa yang ada di dalam rumah. Begitu juga dengan ibu dan ayahnya, mertua kita. Apalagi ipar-duai dan biras.



Mengenali suami tidaklah serumit mengenali ahli keluarganya. Insya-ALLAH, kekuatan dan kekurangan suami lebih mudah dikenalpasti kerana kita tinggal di bawah satu bumbung. Yang baik, kita sanjungi, yang lemah kita teguri. Tegurlah secara lemah lembut, bukannya membebel (walau sukar). Sikap ini paling dibenci suami (disukai isteri). Tetapi, ditakdirkan jika berjodohkan suami yang menganggap lemah-lembut teguran kita itu umpama bebelan, berlapang dadalah.



Cubalah menukar strategi yang lebih diberkati dan yang patut didahulukan; mengadulah kepada ALLAH Yang Maha Mendengar. Saya terkesan dengan cara Puan Hajah Raudzah Haji Roslan (pesara UiTM Johor yang kini berhijrah ke Madinah) yang sentiasa merintih kepada ALLAH agar suami tercinta, Prof. Dr. Haji Muhd. Kamil Ibrahim (penulis Travelog Haji), berubah menjadi lelaki, suami dan ketua keluarga yang lebih positif penghayatan Islamnya. Setelah berdoa tanpa jemu, ALLAH mengabulkannya, malah memberi lebih baik lagi, mungkin terbaik; melebihi harapan dan impian Puan Raudzah. Alhamdulillah.



Bagaimana pula dengan sikap suami yang susah untuk diterima hati? Misalnya, ada suami yang akan mencampakkan stoking di tempat ditanggalkannya. Begitu juga dengan seluar atau seluar yang lebih kecil. Atau suami yang suka menengking tanpa mengira masa atau tempat? Mungkin juga, suami yang telah terbiasa meninggalkan sahaja pinggannya di meja makan tanpa sedikit pun pertolongan dihulurkan.



Nanti dulu, jangan mudah melatah. Belajarlah menerima sesuatu yang amat susah diubah. Kita pasti akan terasa kerana hati kita sifatnya mudah terusik. Mulut kita pasti akan memberi kata-kata yang agak kurang manis terhadap suami. Ini kenyataan. Namun, kita perlu juga menerima hakikat, ada juga kelakuan dan sisi kita yang tidak digemari suami. Banyak. Jadi sebelum membuat teguran kepada suami, kita cerminlah dahulu diri sendiri.



Suami kita mata keranjang? Pantang nampak gadis



berpakaian seksi atau berdahi licin, pasti lehernya tertelengteleng. Mana mungkin ada isteri yang gemarkan suami sebegini. Jadi, apa tindakan kita? Apakah kita juga harus menukar gaya pemakaian atau menempek bedak di wajah setebal mungkin? Tidak perlu, malah berdosa besar andai aurat terdedah kepada yang bukan muhrim. Sedang aurat sesama wanita juga perlu dijaga, apatah lagi aurat di hadapan lelaki asing. Bersolek pula hanyalah untuk suami bukan untuk tontonan lelaki lain. Jadi, apa tindakan kita, para isteri?



Suami yang beriman dan beramal soleh tentu akan menahan pandangannya, oleh yang demikian bersyukurlah sekiranya itu suami kita. Namun jika sebaliknya, tegurlah mereka selembut mungkin. Memang payah untuk menegur secara lemah-lembut dalam keadaan cemburu, namun cubalah. Yang pasti, berdoalah kepada ALLAH agar tabiat buruk suami mata keranjang ini akan berubah dan semoga suami kita lebih mampu menjaga iman dan amal solehnya.



Oh Mertuaku...



Tidak sempurna pula kalau tidak bercerita tentang hubungan isteri dengan ibu bapa mertua. Memang janggal beribukan seseorang yang tidak melahirkan kita dan berayahkan seorang lelaki asing yang menjadi muhrim sebaik sahaja akad nikah. Namun, kejanggalan tersebut boleh diatasi. Ia bergantung kepada siapa dan bagaimana kita membawa diri. Nasihat saya, jadilah diri sendiri, jangan berlakon. Kerana lambat-laun, perangai sejak azali lagi pasti terbongkar.



Sebagai ahli baru dalam keluarga mertua, jagalah bual bicara. Itu yang paling penting. Jangan menyampuk tidak tentu arah. Jangan pula bergurau secara berlebihan walaupun kita pernah melepasi ujian saringan Raja Lawak Musim Pertama. Apa sahaja cerita yang sampai ke telinga, biarkan berakhir di situ sahaja. Jangan dipanjangkan kepada iparduai- biras yang lain. Jagalah aib mereka kerana aib kita yang tidak tertepi juga pasti dijaga-NYA.



Apabila ada antara mereka yang ingin berkongsi rasa dan mengadu kepada kita, dengarlah. Namun, di akhir bicara, sebutlah kepada mereka; berdoalah kepada ALLAH Yang Maha Mendengar dan Maha Membantu. Andai diri sendiri mengamalkan solat tahajud atau qiamullail, maka cadangkan mereka juga mengamalkannya. Agak idealistik bukan? Itulah yang terbaik perlu kita kongsikan bersama.



Kita perlu rajin? Ya, jika kita pernah memenangi Anugerah Anak Paling Pemalas dalam keluarga, maka berusaha gigihlah untuk rajin di rumah mertua. Bukan berlakon, tetapi berusaha mengubah ke arah yang lebih positif dan mengekalkannya apabila pulang ke rumah sendiri (harapnya begitulah). Pernah suatu ketika di majlis perkahwinan adik ipar, saya yang keletihan mengisi telur di dalam kotak, minta izin untuk berbaring sekejap (saya telah menjadi menantu selama 13 tahun ketika itu). Lantas emak mertua terus membuka cerita.



Begini kisahnya.



Pada zaman dahulu, ada sepasang kembar perempuan. Sama cantik. Ada seorang pemuda meminati salah seorang kembar tersebut kerana kerajinannya. Sesuai untuk dijadikan calon isteri. Namun, dia malu untuk bertanya siapakah nama kembar yang sungguh rajin itu. Dia memasang niat untuk meminang gadis tersebut. Jadi, dia telah mengupah seorang rakan untuk mencari maklumat lanjut.



Pada suatu malam, rakannya itu telah hadir ke rumah si kembar yang kebetulan berlangsung satu majlis ringkas. Rakan ini memerhati dari jauh. Salah seorang kembar tersebut berbaring sambil membuat kerja. Yang seorang lagi duduk tekun melakukan kerja yang sama. Pada pendapatnya, sungguh rajin kembar yang berbaring itu, sambil baring pun boleh membuat kerja. Lantas ditanyakan nama kembar yang berbaring kepada mereka yang ada di dalam majlis tersebut.



Minggu hadapannya, bertunanglah si gadis yang berbaring dengan pemuda bertuah. Setelah sebulan berkahwin, barulah pemuda tersebut menyedari yang dia telah tersalah orang. Isterinya seorang yang malas. Lebih banyak berbaring daripada bergerak. Adik iparnya pula sungguh tangkas. Pemuda redha... dan rahsia kekal rahsia.



Anda faham maksud emak mertua saya? Saya amat faham.



Lalu bingkas bangun sambil ditertawakan oleh ipar-duai dan sanak saudara.



Begitulah, bukan mudah menjadi seorang isteri. Memang seronok mendapat suami. Sangat bahagia. Namun, cabarannya jangan dipandang enteng! Oleh itu, wahai bidadari bersendiri, bersyukurlah dengan keadaan sekarang, kerana amanah seorang isteri itu amat berat dan terkadang tidak tertahan dek hati, tidak tertampung dek perasaaan, tidak tertampan dek jiwa, tidak tergambar dek perkataan. Percayalah...







Bagi yang tiada masa ke kedai buku, bolehlah membuat pesanan secara pos. Sila bank in bayaran (menurut harga buku) ke akaun Karangkraf Mall Sdn Bhd. (Maybank - 0142 7120 4204). Tambah RM7 senaskhah bagi kos pos. Kemudian, fakskan slip bank (nyatakan nama, judul buku, alamat & no.tel) ke 03-5101 7483.



Atau sertakan Kiriman Wang/Wang Pos/Cek atas nama KARANGKRAF MALL SDN. BHD. Kirimkan ke Unit Langganan Karangkraf Mall Sdn Bhd, P/S 7041 Pejabat Pos Besar Shah Alam, 40700 Shah Alam, Selangor.



Sebarang pertanyaan mengenai langganan sila hubungi 03 51017480/7481 /7478 HP: 019-3310102 atau http://mall.karangkraf.com

Wednesday, August 8, 2012

Cerpen dari Utusan On Line

Seorang yatim di pinggir kali


Oleh Norziati Mohd Rosman

ANAK itu bernama Wafi. Pertama kali aku mengenali anak bertubuh kecil, kurus dan berkulit gelap ini ketika kami menjejakkan kaki ke Rumah Anak Yatim Darul Hannan tahun lalu. Wafi berusia sepuluh tahun tetapi tumbesarannya terganggu oleh demam panas yang melanda dirinya ketika berusia lima tahun. Sejak itu, Wafi menghadapi masalah pertuturan dan tidak berkemampuan berbicara lebih lancar. Tetapi Wafi seorang anak yang lincah dan aktif. Dia tidak boleh duduk diam. Ada sahaja yang mahu dibuatnya. Tetapi satu sikapnya yang sering aku perhatikan, yang menjadikan dia unik ialah kegemarannya menyendiri dan mengasingkan diri dari kawan-kawan.



Ustaz Mujib menjemput kami ke bilik mesyuarat sebaik sahaja kami tiba di Darul Hanan pada awal Ramadan tahun lalu. Rumah anak yatim yang terletak di kawasan seluas 10 ekar yang diwakafkan itu agak jauh dari jalan besar dan berada di penghujung kampung. Pokok buah-buahan yang merimbun sekelilingnya ditanam Darul Hannan dibuka, kira-kira sewaktu sepuluh tahun yang lalu. Di bawah pokok yang merimbun dan rendang ini, anak-anak Darul Hannan bermain dan bergembira. Mereka tidak tahu duka, tidak mengerti sengsara meskipun hidup terasing tanpa keluarga dan saudara mara.



Di pinggirnya ada sebatang sungai kecil yang airnya digunakan untuk menyiram beberapa batas sayur yang ditanam untuk kegunaan anak Darul Hannan. Apabila tiba musim buah-buahan, anak-anak ini akan mengutip hasilnya lalu dijual kepada peraih bagi menambah wang perbelanjaan dan penyelenggaraan asrama.



Itulah kali pertama aku datang ke Darul Hannan. Syarikatku saban tahun datang ke rumah anak-anak yatim untuk menyerahkan sumbangan sempena bulan puasa. Kali ini Darul Hannan terpilih. Kami datang dari kota dengan tiga buah kereta dan sebuah van yang dipenuhi barang-barang yang disumbangkan oleh syarikat. Kabus masih menyelubungi Darul Hannan ketika kami tiba, Darul Hannan yang tenteram tetapi riuh rendah oleh suara anak-anak yatim yang berada dalam kelas masing-masing. Meskipun hari minggu, mereka tetap tidak ketinggalan mengikuti kelas tambahan yang diadakan di dewan yang tidaklah begitu besar. Kelas ini disediakan percuma oleh sekumpulan pelatih guru dari maktab perguruan berhampiran.



Sewaktu melintas kelas mereka itulah aku terpandang Wafi yang berdiri di sebalik pintu, memerhati kami masuk ke bilik mesyuarat yang letaknya di sebelah dewan. Matanya seperti memancar kemarahan. Tubuhnya mengundang kebencian. Bibirnya bergerak-gerak seperti mahu menyatakan sesuatu. Mata kami bertentangan. Aku memberi seulas senyuman kepada Wafi tetapi dia membalasku dengan jelingan tajam. Hatiku terusik dengan sikap Wafi, tetapi aku bersangka baik. Mungkin Wafi keletihan kerana berpuasa. Ragam anak-anak kecil memang begitu.



Ketika taklimat oleh Ustaz Mujib, wajah Wafi dengan penuh kemarahan dan kebencian bermain-main di ruang ingatanku. Aku tidak terlalu menumpukan kepada Ustaz Mujib yang masih muda dan berwajah bersih dengan setompok janggut yang di jaga rapi di dagunya. Seperti ada sesuatu yang menyebabkan aku tertarik untuk mendekati Wafi.



SumbanganSelepas taklimat, kami menuju ke dewan untuk sesi penyerahan sumbangan dan ramah mesra bersama anak-anak Darul Hannan. Aku bergegas mencari Wafi. Anak ini masih berdiri di pintu memerhati kami masuk seorang demi seorang. Shahirah cuba memesrai Wafi dengan mengusap kepala anak yang berambut pandak. Satu tindak balas yang tidak disangka, Wafi menepis tangan Shahirah lalu menjerit, "..ang...jap!". Wafi berlalu pergi. Shahirah terpempan. Aku di sebelahnya tergamam. Ustaz Mujib yang menyaksikan kejadian ini merapati kami. "Maafkan dia, Puan. Mungkin dia tidak sihat hari ini". Shahirah cuba menenangkan diri meskipun aku melihat kolam matanya sudah bergenang.



Mungkin mengenangkan niat kedatangan kami yang suci tidak disambut mesra. Aku menepuk bahu Shahirah beberapa kali sambil mengajaknya duduk bersama kelompok anak-anak Darul Hannan yang lain. Ekor mataku cuba mencari Wafi sambil berharap dia kembali ke dewan. Sekali lagi, hatiku ditarik-tarik untuk mendekati anak ini.



Seorang pelatih guru yang kemudian ku ketahui namanya Hafiz, merapati kami selepas menyaksikan peristiwa yang tidak disangka-sangka itu. "Namanya Wafi. Dia baik, tetapi memang ada masalah pertuturan." Bicara Hafiz melegakan kami. Kemudian dengan tertunduk-tunduk, Hafiz memohon maaf lalu memberi sedikit maklumat tentang Wafi. "Bila ada tetamu, Wafi akan berkeadaan begitu."



"Mengapa?"



Hafiz menggeleng. Zul yang berada di sebelahnya menjawab, "Puas kami tanya tetapi dia tidak pernah menjawab. Sewaktu kami datang dahulu, dia selalu melarikan diri. Selepas tiga atau empat sesi kelas tambahan, barulah Wafi mula merapati kami dan menunjukkan kemesraannya."



"Bagaimana dia bermesra dengan orang?" Aku menyiku Mar memandangkan soalannya yang berbaur lucu itu seperti tidak sesuai diutarakan di sini.



"Maksud saya, dia merasa seronok nak belajar. Dia sudah boleh membaca dan menulis. Sedangkan sebelum ini, dia tidak langsung mengenal huruf. Cuma kita harus banyak bersabar dengan kerenahnya. Apatah lagi dia pelat oleh kerana jarang bercakap. Tetapi lincah di kelas," jawab Zul.



Kami mengangguk. "Apa yang diucapkan tadi?" Aku cuba mengulangi tutur kata Wafi tadi tetapi gagal menangkap maksudnya. Hafiz menggeleng. "Tidak pasti. Mungkin Puan boleh bertanya terus kepada Wafi."



Aku membeliakkan mata.



"Pergilah. Wafi tidak merbahaya. Dia tidak melawan. Kalau dia tidak suka, dia akan lari meninggalkan kita. Itu sahaja." Hafiz memberikan saranan yang tidak aku sangka.



Majlis penyampaian sumbangan pun bermula selepas itu. Setiap seorang anak-anak Darul Hannan seramai 52 orang dari usia seawal empat tahun hingga 17 tahun berbaris mendapatkan sumbangan dari syarikat yang terisi dalam sebuah beg kertas. Hampir luluh hatiku melihat seorang anak berusia empat tahun tersenyum gembira melihat bungkusan yang diterima. Usia empat tahun sudah berada di rumah anak yatim, aku segera mengenangkan anak saudaraku yang berusia empat tahun. Apalah yang mereka faham ketika itu? Tinggal bersama kawan, tanpa ibu bapa, ah, tidak dapat aku banyangkan betapa kerdilnya diriku dimata anak-anak ini yang sudah hidup berdikari dan mandiri sejak kecil.



Setiap anak-anak ini menerima sumbangan berisi alat tulis, buku sekolah, sebotol air, biskut dalam pek kecil, wang dalam sampul surat kecil serta beberapa cenderamata kecil seperti penanda buku dan rantai kunci. Satu beg berbaki di tanganku. Aku pasti itu untuk Wafi yang tidak kelihatan langsung dalam majlis ini.



Selepas upacara penyerahan, kami mengerjakan solat zuhur bersama anak Darul Hannan. Aku nampak kelibat Wafi dalam jemaah dan kemudian berlari keluar semula sebaik sahaja imam membacakan doa. "Kalau nak cari Wafi, cari di bawah pokok rambutan di tepi kali." Hafiz memberitahuku ketika melihatku tercangak-cangak mencari kelibat Wafi.



"Kali?" soalku dengan sedikit hairan. "Sungai, parit," balas Mar sambil tersenyum. Aku malu-malu kecil lalu memandang Mar dan Shahirah silih berganti. Mereka mengangguk seperti memberi izin lalu aku membawa beg kertas menuju ke kali. Benar, Wafi duduk di atas pangkin menghadap ke kali yang tenang dan mengalir perlahan. Matahari petang yang memancar terik kelihatan memanggang seluruh kawasan yang dipenuhi pokok buah-buahan. Namun, angin yang bertiup mendatangkan kenyamanan kepada penghuninya. Ia seolah-olah memberiku semangat untuk mendepani Wafi.



Wafi menyedari aku menghampirinya lalu menoleh ke arahku. Aku duduk di sebelahnya sambil meletakkan beg kertas. Wafi diam tidak berganjak sebaliknya menggoyang-goyangkan kakinya. Dia seperti endah tidak endah.



"Wafi puasa tak hari ini?" Wafi diam tidak memberi maklum balas. Dia masih menggoyang-goyangkan kakinya.



"Ini untuk Wafi." Aku mengunjukkan beg kertas kepadanya. Wafi menoleh tanpa menyentuh langsung. Aku mati akal untuk berbicara.



"Wafi tak suka kami datang?" Aku menukar topik perbualan. Di dalam kepala, aku merancang soalan-soalan lain yang mahu kutanyakan kepadanya jika Wafi masih membisu.



"..ang...jap," tiba-tiba Wafi bersuara dengan pelat yang pekat. Aku tiba-tiba seperti tersedar dari lamunan.



"..ang...jap! ...ci!" Suara pelatnya kedengaran lagi. Aku tidak memahaminya. Suasana menjadi sepi. Aku gagal memahami Wafi. Segera Wafi bangun, mencapai beg kertas dan meninggalkan aku.



"..ang...jap!...ci!" Wafi jalan menghentak-hentak kaki sambil menjerit-jeritkan patah kata yang tidak aku ketahui maksudnya. Anak yatim ini meninggalkan aku sekali lagi.



Aku kembali kepada Ustaz Mujid selepas aku pasti airmataku tidak lagi tumpah meskipun mataku sudah merah. Kami bersiap sedia mahu pulang dan bersalaman dengan anak-anak Darul Hannan.



"Wafi mahu tetamu datang selalu. Tiada sesiapa selain kami. Ibu bapa tiada. Kalau ada pun, mereka terlalu miskin untuk datang ke mari menjenguk anak-anak ini." Begitu kata Hafiz sebelum aku masuk ke kereta. Runtuh hatiku seketika mendengarkan bicara Hafiz. Aku ini sedang duduk di abad ke-21. Mengapa kisah yang selalu aku dengar semasa kecil masih berulang lagi pada zaman moden ini. Masih ada lagi anak yatim yang kesepian pada zaman orang sibuk bermain dengan gajet dan menyebut tentang internet, tentang jalur lebar, tentang globalisasi.



Kesepian"Saya ingin menyampaikan rasa hati anak-anak ini. Mereka kesepian dan perlukan perhatian. Ustaz Mujib sudah mewakafkan dirinya untuk Darul Hannan. Dia sudah melakukan yang terbaik. Dia tidak boleh dipersalahkan jika anak yatim di bawah jagaannya bukan seperti yang kita sangka. Tanggungjawab itu kepada kita. Kepada anak-anak yatim." Hafiz memulakan bicaranya. Sesuatu yang tidak aku sangka keluar dari mulutnya.



"Ini amah besar Allah kepada kita, bukan kepada Ustaz Mujib sahaja. Apa yang Wafi cuba sampaikan itu adalah datang dari rasa hati anak-anak yatim itu sendiri," Zul menambah.



"Apa yang perlu kami buat?"



"Datanglah selalu seperti apa yang Wafi maksudkan," kata Hafiz.



"Itu bermakna, anak-anak yatim ini bukan perlu diraikan ketika bulan puasa sahaja?" Aku bertanya. Zul mengangguk. Hafiz pula mengiyakan.



"Mereka terlalu mewah ketika bulan puasa. Perkara ini sudah banyak pihak yang sentuh. Sebulan puasa, mereka dibawa ke hotel untuk upacara berbuka, sumbangan datang melimpah ruah hingga anak-anak kepenatan dan tidak sempat ulang kaji pelajaran atau bertadarus. Sebaik sahaja takbir hari raya, mereka kembali berdiam di sini." Zul menerangkan.



"Memang malang nasib mereka. Gembira sebulan dan terus dilupakan untuk sebelas bulan berikutnya. Salah siapa jika anak-anak yatim ini terabai?" Sambung Hafiz.



"Mereka tidak mahu wang. Makan mewah di hotel, baju baru, alat tulis, buku. Mereka mahu dilawati setap hari. Bercakap dengan orang lain. Selain kami. Banyangkan perasaan mereka ini selama 10-15 tahun duduk di asrama. Kami tahu Ustaz Mujib tidak akan mengatakannya tetapi biarlah kami memberitahu Puan dan orang-orang lain yang akan datang ke sini."



Aku merenung diri sendiri. Duduk di asrama sekejap pun dah homesick, apatah lagi mereka. Aku menganggukkan kepala beberapa kali lalu masuk ke dalam kereta. Wafi melambai-lambaikan tangan dari jauh. Meskipun tadi dia membenci kami, kini dia seperti tidak mahu melepaskan pula. Anak ini memang aneh.



Aku mengesat airmata. Mar sudah tersedu-sedu di sebelahku manakala Shahirah cuba menahan airmatanya dari jatuh. Sepanjang perjalanan ke kota, kami berdiam diri mengenangkan luahan hati Zul dan Hafiz. Wajah Wafi dengan ayat '...ang...jap...' masih terngiang-ngiang di telingaku. Aku tertidur dalam keresahan dan menghampiri ibu kota, aku tiba-tiba terjaga. Aku terdengar suara Wafi dengan fasih bertutur. Ayatnya tadi jelas kedengaran di telingaku.



"Datang sekejap. Datang sekejap! Benci!"



Wafi menyedarkanku tentang erti sebuah kehidupan. Anak yatim bukanlah untuk kita kongsi kesedihannya sekali dalam setahun. Mereka sepi, mereka sunyi. Dunia dengan kawan-kawan tidak mendatangkan kasih sayang yang memadai.



Selepas peristiwa itu, aku membentangkan kertas kerja kepada pihak pengurusan syarikat dengan memberi contoh Wafi. Aku mahu kali ini syarikat lebih bersedia untuk turun ke Darul Hannan atau mana-mana rumah anak yatim sekurang-kurangnya sekali sebulan.



"Kita harus malu pada pelatih guru yang masih belum bekerja tetapi sudah bersedia menyumbangkan tenaga demi membantu anak yang terbiar. Kita yang punya wang, kehidupan, kestabilan dan kerjaya namun apa yang telah kita beri kepada mereka selama ini? Apakah tidak boleh kita sumbangkan sedikit dari hati nurani kita untuk memberikan kasih sayang kepada mereka?"



Meskipun awalnya enggan, aku memaksa syarikat bersetuju dengan cadanganku. Malah aku mengugut meletakkan jawatan jika syarikat berkeras dengan polisi Tanggungjawab Sosial Korporat - CSR - yang sekadar bertujuan mengurangkan bebanan cukai korporat.



Selepas setahun, kehadiran kami mengubah peribadi Wafi menjadi anak yang ceria dan ramah. Anak-anak Darul Hannan sendiri gembira menerima kasih sayang yang kami berikan kepada mereka. Dalam tempoh itu, kami bawa mereka melawat ke pusat pelancongan sekitar ibu kota, menonton persembahan teater, melihat acara sambutan kemerdekaan, melawat muzium, menziarahi hospital, berkelah di air terjun dan pantai, juga bersama-sama membersihkan Darul Hannan. Dalam tempoh itu, aku dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Darul Hannan kian ceria dengan kehadiran kami saban bulan. Mereka sudah mengerti maksud kasih sayang sekaligus membuang kebencian dan kesunyian yang menguasai diri mereka ketika itu.



Wafi, anak yatim di pinggir kali itu menyedarkan kami tentang kehidupan.