mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Thursday, July 17, 2008

Ketahui Tentang Strok



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Berita silih berganti tahun demi tahun dan kita sering didatangi berita ahli keluarga, sahabat, teman, pasangan yang mengidap penyakit strok atau dipanggil juga angin ahmar. Namun, di kalangan kita masih jauh daripada mengetahui tentang strok dan maklumat berguna seperti punca, rawatan, penjagaan dan pemulihan kepada penyakit ini.
Maklumat dan pengetahuan penyakit ini boleh membantu diri serta individu disekeliling menyediakan minda bagi menangani penyakit yang semakin menghambat kita saban hari.
Apa dia strok?
Angin ahmar atau strok ialah masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat dan bekalan darah ke sebahagian otak diganggu. Bahagian otak tersebut tidak lagi menerima oksigen yang mencukupi dan oleh itu, sel-sel otak akan rosak atau mati, dan mengakibatkan bahagian badan yang dikuasai oleh bahagian otak itu tidak berfungsi. Angin ahmar ialah kecederaan saraf yang serius dan gejalanya ialah kehilangan fungsi saraf secara tiba-tiba.
Strok Punca Kematian?
Gangguan peredaran darah biasanya terjadi pada sisi arteri peredaran itu, walaupun gangguan ini juga boleh terjadi pada sisi vena. Angin ahmar telah dikategorikan sebagai kecemasan perubatan yang boleh menyebabkan kerosakan saraf yang kekal serta juga kematian jika tidak dikesan dan dirawat dengan cepat. Penyakit ini ialah penyakit ketiga yang menyebabkan paling banyak kematian dan kehilangan upaya di kalangan dewasa Amerika Syarikat dan negara-negara perindustrian di Eropah. Pada puratanya, satu kejadian angin ahmar terjadi pada setiap 45 saat, dan seorang mati setiap 3 minit, akibat angin ahmar. Bagi setiap lima kematian tersebut, 2 kematian adalah orang lelaki dan 3 kematian ialah orang wanita.
Bagaimana sejarah strok?
Melebihi 2,400 tahun dahulu, Hippocrates (460 - 370 SM) merupakan orang pertama untuk menghuraikan fenomena kelumpuhan tiba-tiba yang kini diketahui diakibatkan oleh angin ahmar. Perkataan "apopleksi" yang berasal daripada perkataan bahasa Greek yang bermaksud "diserang dengan ganas", muncul buat pertama kali dalam karya Hippocrates yang menghuraikan gejala-gejala angin ahmar. Dalam karyanya Apopleksia pada tahun 1658, Johann Jacob Wepfer (1620-1695) mengenal pasti punca strok pendarahan ketika beliau mengatakan bahawa pesakit-pesakit yang mati, akibat apopleksi, mengalami pendarahan di dalam otak-otak mereka.
Apa Punca Strok?
Punca angin ahmar termasuk kelanjutan umur, darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan merokok. Merokok merupakan punca boleh ubah suai yang paling penting. Istilah "serangan otak" kini semakin digunakan di Amerika Syarikat untuk angin amar, disebabkan penyakit ini adalah padanan untuk "serangan jantung" yang merupakan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat dan bekalan darah ke sebahagian jantung diganggu.

Bagaimana Strok diagnosis?
Angin ahmar dapat didiagnosis melalui beberapa teknik: pemeriksaan neurologi, ujian darah, skan CT (tanpa peneguhan kontras) atau skan MRI, ultrabunyi Doppler, dan arteriografi.
Jika pengimejan menunjukkan angin ahmar, berbagai-bagai kajian yang lain boleh dilakukan untuk menentukan adakah terdapatnya satu punca pinggir embolus yang wujud.
Apakah rawatan kepada strok?
Adalah penting bahawa angin ahmar dikenal pasti dengan seberapa cepat yang mungkin kerana pesakit-pesakit yang dirawat dengan lebih awal mungkin akan hidup dan pulih dengan lebih baik.
Jika seseorang pesakit disyaki menghidap angin ahmar, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan harus dihubungi dengan segera. Pesakit itu harus dihantar ke hospital terdekat yang boleh memberikan penilaian dan rawatan yang cepat dengan terapi-terapi terkini yang disasarkan pada jenis angin ahmar yang dihidapi. Lebih cepat terapi-terapi dimulakan, lebih besar kemungkinannya untuk dipulihkan bagi setiap jenis angin ahmar. Hanya pemeriksaan fizikal dan pengimejan perubatan dapat memberikan maklumat tentang kewujudan, jenis, dan takat angin ahmar. Keputusan-keputusan yang cepat tentang ubat dan keperluan untuk pembedahan telah ditunjukkan dapat memperbaik pemulihannya. Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa pesakit-pesakit yang dirawat di hospital-hospital yang mempunyai Pasukan atau Unit Angin Ahmar dengan rancangan penjagaan yang khusus dapat memperbaik kemungkinan untuk pemulihan
Bagaimana penjagaan dan pemulihan kepada pesakit strok?
Pemulihan angin ahmar ialah proses untuk pesakit yang mengalami ketakupayaan menjalani rawatan supaya dapat membantu mereka hidup secara biasa dengan seberapa yang dapat melalui pemerolehan dan pembelajaran semula kemahiran-kemahiran kehidupan sehari-hari. Ia juga bertujuan untuk membantu pemandiri memahami dan menyesuaikan diri terhadap kesusahan-kesusahan yang dialami, mencegah komplikasi sekunder, serta mendidik ahli-ahli keluarga supaya dapat memainkan peranan sokongan.
Pasukan pemulihan biasanya terdiri daripada ahli-ahli berbilang disiplin kerana ia melibatkan kakitangan-kakitangan yang mempunyai kemahiran-kemahiran yang berbeza yang bekerjasama untuk membantu pesakit. Anggota-anggota pasukan termasuk kakitangan-kakitangan kejururawatan, fisioterapi, terapi pekerjaan, terapi pertuturan dan bahasa, dan biasanya juga seorang pakar perubatan yang terlatih dalam perubatan pemulihan. Sesetengah pasukan juga mempunyai ahli psikologi, pekerja sosial, dan ahli farmasi kerana sekurang-kurangnya satu pertiga daripada para pesakit mengalami kemurungan pasca strok.
Penjagaan perawatan yang baik adalah penting untuk mengekalkan penjagaan kulit, penyuapan, penghidratan, penentu dudukan, dan pengawasan tanda-tanda yang penting seperti suhu, nadi, dan tekanan darah. Pemulihan angin ahmar dimulakan hampir dengan segera.
Bagi kebanyakan pesakit angin ahmar, terapi fizikal merupakan asas untuk proses pemulihan. Seringnya, teknologi bantuan seperti kerusi roda dan kerangka berdiri memberikan setakat faedah. Lagi satu jenis terapi yang melibatkan pembelajaran semula kegiatan sehari-hari ialah terapi pekerjaan (OT). OT melibatkan senaman dan latihan untuk membantu pesakit angin ahmar membelajari apa yang kekadang dipanggil kegiatan kehidupan sehari-hari (ADL) seperti memakan, meminum, menelan, menyalin pakaian, mandi, memasak, membaca, dan menulis, serta juga latihan buang air. Terapi pertuturan dan bahasa adalah sesuai untuk pesakit-pesakit yang mengalami masalah memahami pertuturan dan perkataan-perkataan tertulis atau untuk bertutur.
Pesakit-pesakit mungkin mengalami masalah-masalah yang khusus, seperti ketakupayaan langsung atau separa untuk menelan yang boleh menyebabkan bahan-bahan yang ditelan masuk ke dalam paru-paru dan mengakibatkan pneumonia sedutan. Keadaan ini mungkin boleh pulih dengan berlalunya masa tetapi buat sementara, sebatang tuib nasogastrik disisipkan ke dalam hidung untuk membolehkan makanan cecair untuk dimasukkan terus ke dalam perut. Jika penelanan masih tidak selamat selepas seminggu, jadi sebatang tiub gastrostomi endoskop perkutaneus dimasukkan dan ini boleh digunakan secara kekal.
Pemulihan angin ahmar boleh berlangsung antara beberapa hari sehingga berbulan-bulan. Kebanyakan pemulihan fungsi boleh dilihat pada beberapa hari atau minggu yang pertama, dengan pemulihan yang kemudian tidak sebegitu cepat. Walaupun demikian, pesakit-pesakit masih boleh terus mengalami perbaikan selama bertahun-tahun, dan memperoleh semula serta mengukuhkan keupayaan mereka untuk menulis, berjalan, berlari, dan bertutur. Pemulihan sepenuhnya adalah tidak biasa, tetapi bukannya tidak mungkin. Para pesakit angin ahmar umumnya akan dapat mencapai setakat perbaikan.
Apakah kesan daripada strok?

1. Hilang upaya
Kehilangupayaan menjejaskan peluang mencari pekerjaan semula bagi 75% daripada penakat-penakat angin ahmar. Angin ahmar boleh menjejaskan pesakit-pesakit dari segi fizikal, mental, emosi, atau gabungan ketiga-tiga ini. Akibat-akibat angin ahmar amat berbeza, bergantung kepada saiz dan tempat lesi. Disfungsi-disfungsi yang diakibatkan adalah sepadan dengan kawasan otak yang rosak.
Sesetengah kehilangupayaan fizikal yang boleh diakibatkan oleh angin ahmar termasuk kelumpuhan, kekebasan, sor tekanan, pneumonia, inkontinens, apraksia (tidak boleh melaksanakan pergerakan dipelajari), kesukaran untuk menjalankan kegiatan-kegiatan harian, tidak mempunyai selera, kehilangan penglihatan, dan kesakitan. Jika angin ahmar itu cukup teruk, koma atu kematian boleh terjadi.
2. Masalah emosi
Masalah-masalah emosi yang diakibatkan oleh angin ahmar boleh disebabkan oleh kerosakan langsung kepada pusat-pusat emosi di dalam otak, atau daripada kekecewaan dan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kekurangan-kekurangan yang baru. Kesukaran-kesukaran emosi selepas serangan angin ahmar termasuk kerisauan, serangan panik, kegagalan untuk menyatakan emosi, mania, apati, dan psikosis.
30 - 50% daripada pemandiri-pemandiri angin ahmar mengalami kemurungan selepas menghidap serangan. Kemurungan itu dicirikan oleh kelesuan, kerengsaan, gangguan tidur, penghargaan diri yang diturunkan, dan perangai menyisihkan diri. Ia juga boleh menjejaskan dorongan dan memburukkan hasilnya, tetapi dapat dirawat dengan ubat-ubat antidepresan.
Kelabilan emosi, lagi satu akibat angin ahmar, menyebabkan pesakit beralih dari tinggi dan rendah emosi dan menyatakan emosi secara tidak sesuai, umpamanya ketawa dan menangis berketerlaluan tanpa banyak atau langsung tanpa sebarang sebab. Walaupun penyataan emosi itu biasanya secocok dengan perasaan pesakit yang sebenar, bentuk kelabilan emosi yang lebih teruk mengakibatkan pesakit ketawa dan menangis secara patologi, tanpa mengambil kira konteks atau emosi. Sesetengah pesakit menunjukkan lawan terhadap apa yang dirasakan, umpamanya menangis ketika gembira. Kelabilan emosi berlaku pada kira-kira 20% daripada pesakit-pesakit angin ahmar.
3. Fungsi Kognitif Berkurangan
Kekurangan-kekurangan kognitif yang diakibatkan oleh angin ahmar termasuk celaru pengamatan, masalah pertuturan, demensia, dan masalah-masalah yang berkait dengan perhatian dan ingatan. Seorang pesakit angin ahmar mungkin secara kekal tidak sedar akan ketakupayaan diri atau juga bahawa dia menghidap angin ahmar. Dalam suatu keadaan yang dikenali sebagai agnosia, seseorang pesakit tidak akan dapat melihat apa-apa yang berada di sebelah kiri atau kanannya, dan juga tidak sedar atau tidak dapat memikirkan tentang apa-apa yang berada di sisi yang terjejas itu.
Sehingga 10% daripada semua pesakit angin ahmar menghidap sawan, paling biasanya pada minggu selepas serangan; keterukan serangan angin ahmar meningkatkan kemungkinan pesakit untuk menghidap sawan.
Apakah faktor risiko kepada strok?
Faktor-faktor risiko angin ahmar yang utama ialah tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kencing manis, dan merokok. Risiko-risiko yang lain termasuk pengambilan alkohol yang berketerlaluan, aras kolesterol darah yang tinggi, penggunaan dadah haram, dan keadaan-keadaan kongenital (sejak lahir).
Ahli-ahli keluarga mungkin mempunyai kecenderungan genetik untuk serangan angin ahmar atau berkongsi gaya kehidupan yang mengakibatkan penyakit ini. Mereka yang pernah diserang oleh angin ahmar mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk diserang lagi pada masa akan datang.
Salah satu faktor risiko angin ahmar yang terutama ialah umur lanjut. 95% daripada semua serangan angin ahmar berlaku pada mereka yang berusia 45 atau lebih, dan dua pertiga angin ahmar berlaku di kalangan mereka yang berusia melebihi 65 tahun. Risiko seseorang menemui maut sekiranya diserang angin ahmar turut meningkat dengan usia. Bagaimanapun, angin ahmar boleh menyerang pada segenap usia, termasuk janin.
Anemia sel sabit yang boleh mengakibatkan pengumpalan sel darah dan menyumbat salur-salur darah, juga meningkatkan risiko angin ahmar. Angin ahmar merupakan pembunuh kedua tertinggi bagi mereka berusia bawah 20 tahun yang menghidap anemia sel sabit. Lelaki mempunyai kemungkinan sebanyak 1.25 kali untuk diserang oleh angin ahmar, berbanding wanita Walaupun demikian, 60% daripada kematian yang diakibatkan oleh angin ahmar berlaku pada wanita. Oleh sebab wanita hidup lebih lama, umur purata mereka adalah lebih tua ketika diserang oleh angin ahmar dan dengan itu, lebih kerap mengalami maut. (NIMH 2002) Sesetengah faktor risiko angin ahmar hanya khusus bagi wanita. Terutama antaranya adalah kehamilan, bersalin, putus haid, dan rawatan-rawatannya (HRT). Angin ahmar kelihatannya merupakan penyakit keturunan untuk sesetengah keluarga.
Pencegahan merupakan satu perkara kesihatan awam yang penting. Pengenalpastian pesakit-pesakit dengan faktor-faktor risiko angin ahmar yang dapat dirawat adalah paling utama. Rawatan faktor-faktor risiko untuk pesakit-pesakit yang pernah menghidap angin ahmar (pencegahan sekunder) juga amat mustahak kerana mereka mempunyai risiko serangan semula yang tinggi, berbanding dengan mereka yang tidak pernah diserang oleh angin ahmar.
Aspirin (biasanya pada dos rendah sebanyak 75 mg) disyorkan untuk pencegahan primer dan sekunder bagi angin ahmar. Merawat hipertegangan dan kencing manis, pemberhentian merokok, kawalan hiperkolesterolemia, latihan jasmani, serta pengelakan dadah haram dan pengelakan pengambilan alkohol yang berketerlaluan, kesemuanya merupakan cara-cara yang disyorkan untuk mengurangkan risiko terhadap angin ahmar.
Bagi penyakit-penyakit yang menghidap angin ahmar yang diakibatkan oleh keabnormalan jantung, umpamanya pemfibrilan atrium, pencegahan penggumpalan darah dengan ubat-ubat seperti warfarin seringnya diperlukan untuk mencegah serangan angin ahmar. Tatacara-tatacara seperti endarterektomi karotid atau angioplasti karotid boleh digunakan untuk menghilangkan penyempitan ateroskerosis yang teruk (stenosis) pada arteri karotid yang membekalkan darah kepada otak. Tatacara-tatacara ini terbukti dapat mencegah angin ahmar bagi sesetengah pesakit, khususnya apabila stenosis karotik mengakibatkan peristiwa-peristiwa iskemia seperti serangan iskemia sementara.
(Sumber penuh boleh diperoleh dari laman: http://ms.wikipedia.org/wiki/Angin_ahmar)


Norazimah Ibrahim
Counselor Officer
Inland Revenue Board of Malaysia
Human Resouce Management Division
8th Floor, Block 9
Goverment Building Complex
Jalan Duta P.O Box 11833
50758 Kuala Lumpur
JK Penerbitan
Kelab Kebajikan Jabatan Pentadbiran
Tel: +603-6203 9501
Fax: +603-6201 2482

"Amalan yang baik adalah melakukan secara terus menerus walaupun sedikit"

No comments: