mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Thursday, September 25, 2008

Ramadhan yang dihayati...

Dari Norazimah Ibrahim
Kaunselor Berdaftar

Assalamualaikum dan Salam sejahtera Warga Jabatan Pentadbiran dan PRS yang dikasihi,
Di bulan Ramadhan yang Barakah ini suasana agak berbeza. Bagi yang muslim suasana Ramadhan ini yang paling dinanti berikutan siang harinya berpuasa dan malam harinya dipenuhi solat terawih dan mengalunkan isi Al - Quran. Indahnya malam yang panjang walau siangnya agak jerih. Waktu berbuka hidangan menanti untuk mengalas perut yang kosong. Syukur pada tuhan, ada hidangan yang dapat dijamah. Syukur dan syukur.
Setiap tahun saban hari sebulan kita mengalami situasi yang sama selagi ada hayat dikandung badan. Berlapar di siang hari, berbuka dan berterawih. Bagi yang telah biasa, ia sebagai rutin yang perlu dilalui sebagai muslim. Ia sedarjat lebih baik daripada individu yang langsung tidak mengamalkannya (barangkali tidak puasa apatah lagi jauh untuk solat terawih). Namun, Ramadhan itu bukan sekadar dilalui, ia perlu dihayati. Keinsafan perlu datang dalam diri. Ramadhan perlu diteliti sebelum takbir bergema.
Hari kesenangan kita berlaku setiap hari. Makan pakai cukup dan ada yang sudah berlebih-lebihan juga. Cukup bulan terima gaji. Bonus paling kurang sebulan untuk tahun ini. Itu belum jika sebulan, dua bulan atau berbulan-bulan. Sebulan ramadhan terasa perit berlapar, walhal duit ada tetapi terdapat larangan untuk makan. Apabila perut kosong, minda mula berfikir tentang orang lain. Makanan yang penuh dalam perut boleh menjadikan kita malas berfikir tentang individu lain yang berada di dalam kesukaran. Sebulan ini atau paling tidak tinggal beberapa hari ini, sempatlah kita berfikir tentang si fakir miskin yang terbelenggu dek kesusahan hidupnya. Berpuasanya kita dari jam 5 lebih pagi sehingga 7 lebih malam.. hanya sebulan ini. Tapi mereka, hampir setiap hari barangkali...
Saudaraku yang dikasihi, sekiranya ada peluang.. panjangkan jarak pandangan mata, lihatlah sekeliling kediaman atau desa tempat kita pernah dibesarkan.. saudara-saudara kita yang dalam kedaifan. Adakala mereka datang di depan pintu rumah kita, tetapi tidak semua yang mampu berbuat demikian. Ada yang tinggal di satu tempat, tanpa ada yang peduli. Dalam Ramadhan ini carilah berkahnya, pahala berganda bagi mereka yang sedia untuk memberi. Sedikit harta yang kita miliki dihulurkan menjadi emas buat mereka. Inilah simpanan akhirat untuk kita...simpanan bukan sahaja hanya simpanan di bank (yang diperlukan tetapi bukan mengumpul harta untuk tujuh keturunan). Pasti mereka menguntum senyum di pagi bahagia ketika takbir berkumandang. Ada makanan yang boleh dijamah sebagaimana kita yang enak bersedia dengan ketupat rendang di pagi raya.
Sampai di sini dahulu, selamat berpuasa dan selamat berhari raya dengan cara yang sederhana. Sebahagian kesenangan kita yang dikongsi bersama mereka adalah kebahagiaan yang berpanjangan dan akan mendapat keuntungan yang besar di sisi tuhan.

Wallhualam..

No comments: