mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Monday, May 26, 2008

Sains - Katak Gergasi



Katak gergasi di Madagascar

KATAK gergasi Madagascar Beelzebufo mempunyai ciri ganas dan selera luar biasa.
'Katak Iblis' berselera besar sehingga dikatakan boleh menelan anak dinosaur! APABILA disebut katak, pasti lebih ramai memberi reaksi geli geleman berbanding minat dengan haiwan kecil yang licin kulitnya itu. Pasti ramai pernah berdepan pengalaman melihatnya melompat ke sana sini, badan katak puru yang menggerutu dan boleh menjadi gelembung apabila diusik atau renungan tajamnya apabila didekati.
Itu belum lagi sentuhan kulit badannya yang sejuk dan lembap dengan jangkauan lidah panjangnya bagi menangkap serangga. Tetapi mujurlah kita hidup di zaman ini dengan saiz katak paling besar cuma bersaiz buku lima. Namun keadaan pasti berbeza - bukan setakat gerun tetapi sudah semestinya lari lintang pukang dibuatnya andai berdepan dengan katak gergasi Madagascar yang wujud pada Zaman Batu.
LAKARAN artis menunjukkan perbandingan saiz Beelzebufo berbanding spesies katak yang diketahui terbesar, Mantydactylus Ampinga.
Ia bukan katak sebarangan yang boleh dipandang sebelah mata. Dengan ukuran kira-kira 40.6 sentimeter panjang dan seberat 4.54 kilogram atau dua kali ganda lebih besar daripada amfibia jenis itu yang sedia ada, katak gergasi dikenali Beelzebufo itu bukan satu teori tetapi pernah menghuni Madagascar. Menariknya, ciri fizikal katak itu juga dikatakan jauh mengatasi katak terbesar pada masa ini - Goliath yang menghuni Afrika Barat dengan beratnya cuma mencecah 3.18 kilogram. Malah katak gergasi Madagascar itu turut dikenali 'Katak Iblis' berikutan namanya Beelzebufo - perkataan Latin yang bermaksud Syaitan dan Bufo yang merujuk katak. Tetapi hakikatnya, bukan saja namanya yang menggerunkan, tetapi gelaran Katak Iblis itu turut merujuk kepada ciri ganasnya dengan selera makannya yang bukan calang-calang sehingga dikatakan boleh menelan anak dinosaur!
Bukti kewujudan katak ganas itu terbongkar berikutan penemuan tulang atau fosilnya yang berusia 70 juta tahun oleh sekumpulan penyelidik Universiti London, Britain dan Universiti Stony Brook, Amerika Syarikat, baru-baru ini. Penemuan bermakna itu dipaparkan edisi terbaru jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences. Bukan setakat saiznya dan rupanya yang menggerunkan berbanding katak biasa, tetapi selera makannya juga bukan calang-calang sehingga dikatakan ia boleh menelan anak dinosaur! Penemuan katak gergasi yang sebelum ini disangka hanya terhad di Amerika Selatan, turut mencetuskan teori baru yang Madagascar, India dan Amerika Selatan pernah bercantum sehinggalah di akhir era Zaman Dinosaur kira-kira 65 juta tahun lalu. Kajian lampau sudah mengaitkan persamaan dinosaur dengan tiga benua itu yang hidup bersama mamalia, burung dan buaya pada Zaman Batu berkenaan. Cuma, apa yang menarik, penyelidikan itu menemui spesies unik katak gergasi Beelzebufo itu yang mempunyai ciri menyamai katak puru - bertubuh lebar, berkaki kecil, kepala besar, mulut luas yang berisi puluhan gigi kecil serta kulit yang kasar. Malah rahang mulutnya yang luas dan keras itu disifatkan sebagai perisai dirinya. Hasil kajian itu, juga menunjukkan haiwan amfibia itu hidup bersama-sama dinosaur, buaya dan ular gergasi yang kesemuanya terbukti spesies jauh berbeza daripada haiwan yang menghuni Madagascar ketika ini. "Katak gergasi ini memang tidak ubah seperti katak puru pada zaman ini. Tetapi bukan setakat saiznya yang besar, tetapi ia turut bersifat agresif. "Ia memaparkan ciri haiwan ganas lain seperti tunggu dan lihat sebelum menyerang haiwan mangsa yang lebih kecil," kata Prof Susan Evans, yang mengkaji Beelzebufo bersama seorang lagi penyelidik Universiti London, Dr Marc Jones. Beliau menyifatkan penemuan Katak Gergasi itu turut membuktikan cirinya yang jauh berbeza daripada spesies katak sedia ada Madagascar. Pakar haiwan Universiti Stony Brook di New York, David Krause berkata Katak Syaitan itu bukan setakat makan seekor anak dinosaur pada satu-satu masa, malah boleh menelan beberapa ekor serentak. "Ia bukan sebarang katak tetapi gergasi yang digeruni kerana ciri-ciri fizikalnya itu." Dr Krause berkata, kumpulan penyelidik itu pada mulanya menemui serpihan tulang katak besar di Madagascar yang terletak di pesisiran pantai Afrika pada 1993. "Pada masa itu, maklumat yang kami ada mengaitkannya hidup di zaman Cretaceous iaitu kira-kira 70 juta tahun lalu. Ia ditemui di kawasan sama yang pernah menjadi tempat penemuan tulang dinosaur dan buaya. "Namun hanya baru-baru ini kami dapat mengumpulkan tulang yang mencukupi bagi membentuk semula rupa sebenar katak berkenaan. "Penemuan demi penemuan yang dilakukan membolehkan kami memperoleh maklumat seperti berat dan ukurannya yang sebenar." Apa yang pasti, penemuan Katak Gergasi atau Katak Iblis ini bukanlah yang terakhir dalam usaha merungkai misteri dunia Zaman Batu. Terbukti, katak yang mungkin melompat di sekeliling rumah anda, pernah mempunyai nenek moyangnya yang amat digeruni kerana keupayaannya. Selepas ini, pasti ada lagi spesies haiwan gergasi yang ditemui hasil penyelidikan saintis yang tidak jemu mengenali keunikan haiwan yang asing bagi generasi hari ini. Info Katak Terbesar Conraua goliath adalah spesies katak terbesar. Berasal dari Cameroon, Afrika Barat, ukuran badannya mencecah hampir 30 sentimeter panjang dengan berat badan menyamai seekor kucing iaitu 3,3 kilogram. Katak Terkecil Katak Brazil Psyllophryne Didactyla juga dikenali sebagai Gold Frog adalah spesies terkecil haiwan itu. Gold Frog dewasa berukuran hanya 9.8 milimeter panjang atau kira-kira satu sentimeter. Katak Ganjil Ditemui di India empat tahun lalu, Nasikabatrachus sahyadrensis adalah amfibia berukuran tujuh sentimenter panjang, berkulit ungu, berbadan kembang dengan muncung runcing. Nama Nasikabatrachus sahyadrensis diilhamkan daripada bahasa Sanksrit membawa maksud hidung (nasika), batrachus bereti katak dan Sahyadri nama sebuah pergunungan yang menjadi habitat katak ini. Fakta Mitos katak Katak Dan Cuaca
Sesetengah budaya mengaitkan katak dengan cuaca. Budaya kita sendiri sangat popular dengan pepatah, 'katak memanggil hujan'. Di sesetengah tempat di dunia percaya, katak membuat bising apabila mendapat alamat tempat itu bakal dilanda ribut.
Kaum asli Australia dan pribumi Amerika percaya peranan katak sebagai pembawa hujan.
Di India, katak dipercayai penjelmaan guruh di langit. Bahkan, dalam bahasa sanskrit katak merujuk awan.
Di China, katak dianggap salah satu cabang beracun dalam 'yin'. Mereka percaya gerhana bulan berlaku disebabkan 'katak di bulan' cuba menelan bulan itu sendiri. Katak dan Tuah
Sesetengah budaya katak mampu menentukan untung nasib seseorang
Masyarakat Jepun menjadikan katak simbol tuah.
Ada mitos yang tidak langsung menyebelahi katak. Sesetengah penglipur lara berperi "Sekiranya, anda terpandang katak di tanah kering pada musim bunga, alamatnya anda bakal menerima khabar sedih pada tahun itu.". Sekiranya, pada musim bunga, anda terserempak katak yang melompat ke air, anda bakal menerima pengalaman buruk sepanjang tahun.
Ada juga yang menganggap katak jelmaan pelesit dan syaitan. Katak dan Ketuat
Anda mendapat jangkitan ketuat hanya melalui manusia tidak katak. Katak mempunyai kulit yang licin dan lembap. Kodok pula dianugerahkan kulit menggerutu yang membantunya membuat penyamaran. Sesetengah katak dan kodok mempunyai kelenjar paratoidal yang merembeskan racun untuk melindungi dirinya. Ia mungkin mengakibatkan kerengsaan kulit kepada haiwan lainnya namun nyata bukan penyebab ketuat.

No comments: