mari amalkan

mari amalkan
selawat syifa
Cili-merah..cili-merah...cili-merah.

Monday, August 4, 2008

Menggalakkan Anak Membaca


BUDAYA membaca seharusnya bermula dan disemai sejak anak masih kecil. Ibu bapa yang prihatin seharusnya mempunyai pandangan yang kritis terhadap budaya dan tabiat membaca anak mereka apatah lagi ramai yang mahukan anak mereka berjaya. Untuk itu, usaha haruslah seiring dengan keinginan. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah menjadikan anak sebagai ‘ulat buku’.
Tidak semua anak dilahirkan bijak. Kebanyakan anak dididik untuk menjadi bijak manakala kesannya hanya boleh dilihat dan dinilai setelah beberapa tahun. Membaca cerita adalah salah satu cara yang penting bagi ibu bapa membantu anak mereka belajar membaca. Apa saja jenis buku boleh dibaca asalkan sesuai dengan peringkat usia mereka. Menggunakan ekspresi gaya terutama sekali suara, pasti anak akan cepat ‘menangkap’ dan kadangkala terkejut dengan reaksi yang diberikan.


Bagaimana ibu bapa hendak membantu anak ke arah melahirkan masyarakat membaca?
Beberapa saranan berikut boleh dijadikan panduan untuk menyemai budaya membaca di kalangan anak-anak dan mungkin berguna buat ibu bapa.


* Biarkan anak melihat anda membaca sebagai satu keseronokan.
Jangan memaksa anak membaca jika mereka tidak suka. Namun, sedaya mungkin cuba terapkan amalan suka membaca dalam diri mereka menerusi pelbagai bahan bacaan termasuk buku dan akhbar.
* Galakkan anak anda membaca kepada anda.
Apabila anak berbuat demikian, jangan lupa memuji usahanya itu. Walaupun nampak kecil, ia amat berharga untuk si kecil. Sesekali, cuba mencari bahan bacaan dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa Arab serta galakkan mereka menguasai dua bahasa berkenaan.


* Tunjukkan benda sekeliling anda yang ada tanda tulisan.
Sewaktu menaiki kenderaan, tentu banyak papan tanda yang mempunyai tulisan. Sambil duduk di dalam kereta, apa salahnya meminta anak membacakan untuk anda atau anda boleh membacakannya untuk mereka. Ia umpama galakan untuk mereka. Selain persekitaran di jalan raya, tulisan pada bungkusan makanan dibeli pun boleh dijadikan perantara untuk menggalakkan si kecil membaca.


* Simpan bahan bacaan dan tulisan di tempat yang mudah diambil.
Buku, majalah, pensil dan kertas harus disimpan di tempat yang mudah untuk mereka ambil.


* Jangan jadikan waktu membaca sebagai ugutan.
Jika anak-anak anda menunjukkan tanda kurang berminat untuk membaca, jangan memaksa mereka membaca. Cuba jadikan masa membaca masa yang menyeronokkan supaya anak dapat memupuk minat membaca. Jangan jadikan masa membaca seolah-olah masa yang menggerunkan. Dikhuatiri, si kecil itu lari daripada tabiat suka membaca dan cuba mencari inisiatif lain.


* Jangan membandingkan anak anda dengan kanak-kanak lain.
Tahap keupayaan anak tidak sama walaupun mereka adik-beradik sekalipun kembar seiras. Ada antara mereka cepat menerima apa yang diajar dan sebaliknya.
Kadangkala anak pintar tidak menunjukkan prestasinya sekarang tetapi menonjol pada masa akan datang. Tidak perlu membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain walaupun anak ada kelebihan tersendiri. Setelah ibu bapa berusaha yang terbaik untuk anak-anak, berdoa dan bertawakal.


* Merangsang semangat membaca anak dengan hadiah.
Kaedah menghormati anak ini dapat mendorong mereka untuk melakukan perbuatan baik. Imam Ghazali dalam Juz 3 Ihya Ulumuddin, berkata: “Jika tampak pada diri anak kecil budi pekerti yang bagus dan perbuatan terpuji, sangat perlu anak itu dihormati dan diberi hadiah yang menggembirakannya. Dia juga boleh dipuji di hadapan orang untuk mendorong supaya selalu berbudi pekerti baik dan berperi laku terpuji.”


* Menyiapkan suasana selesa, lingkungan yang bersih dan menyenangkan, pemandangan memikat, cahaya mencukupi dan peredaran udara nyaman kerana perkara itu dapat membantu membangkitkan minat membaca anak-anak.


* Menyediakan buku yang pelbagai untuk anak.
Ibu bapa boleh mengambil inisiatif untuk mewujudkan perpustakaan kecil di rumah. Apabila anak-anak mendapati ada buku yang diperlukan di hadapan matanya, maka dia akan membaca buku dengan lebih bersemangat.


* Berikan pemahaman kepada anak bahawa waktu bagaikan pedang. Tugasan itu lebih banyak daripada waktu dan apa yang tidak diketahui itu lebih banyak daripada yang diketahui.

No comments: