Moga-moga nukilan Puan Norazimah ini memberi keinsafan kepada kita semua. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sudah pasti kita yang melihat ini tidak akan merasa betapa hebatnya dugaan yang dilalui sama ada oleh Puan Norazimah ataupun suaminya itu sendiri. Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan sama-sama berdoa agar kita juga mampu untuk setabah ini dan juga mampu untuk mengasihi bonda dan ayahanda kita seperti ini
Wallhualam...
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat warga JP dan Pembimbing Rakan Sekerja (PRS) yang dikasihi.
Saya percaya tempoh hari, ada di antara warga JP dan PRS yang telah mendengar khabar berita tentang kemalangan yang menimpa suami yang saya kasihi. Saya ucapkan ribuan terima kasih bagi yang berziarah, sudi mendoakan, yang melakukan solat hajat dan membacakan Al-Quran untuk suami. Hadiah termahal yang pernah saya terima dari kalian semua.
Pada 31 Julai sehingga 1 Ogos 2008, Program Pengembangan Diri Berkelompok Jalan Duta telah dapat dilaksanakan. Namun sedikit tergendala disebabkan di penghujung program apabila saya dikejutkan dengan berita kemalangan yang menimpa suami. Malah dimaklumkan keadaan suami barangkali tidak sedarkan diri (individu yang memaklumkan juga tidak mengetahui secara jelas situasi suami).
Maka, program yang sepatutnya tamat pada jam 1.00 petang terpaksa disempurnakan oleh PRS En Mohd Sukeri Zakaria. Saya berkejar ke Hospital Serdang dengan bantuan PRS Cik Norasikin Sairi. Rasanya ketika itu memang tidak mampu memandu dalam keadaan ‘tidak stabil emosinya’. Syukur dan terima kasih tidak terhingga untuk Cik Sikin.
Di luar hospital, abang sulung saya memaklumkan keadaan suami saya kritikal. Tetapi tiada siapa yang dibenarkan masuk dan doktor menunggu saya tiba. Ramai guru sekolah tempat suami bertugas telah tiba lebih awal. Saya sebenarnya lewat tiba berikutan menerima berita lebih kurang jam 11.00 pagi walhal suami telah dibawa ke hospital dalam jam 9.30 pagi. Sebab utamanya saya tertinggal telefon bimbit di rumah!
Masuk ke dalam bilik kecemasan hati berdegup kencang melihat suami terbujur di atas katil. Dia memanggil saya, sedar lagi rupanya suami ketika itu. Keadaan begitu teruk dengan darah masih merah di muka. Wajahnya memang tidak dapat kenali sebab membengkak. Bibir, mata, telinga dan segalanya nampak besar luar biasa. Dia sempat maklumkan kesakitannya. Saya sempat bisikkan "Ingat Allah, tak ingat Jie pun tak pe". Dalam beberapa saat itu hati saya amat pedih. Saya beritahu dia perlu hidup dan perlu kuatkan semangat untuk hidup. Saya sempat memohon kemaafan dan turut telah memaafkannya. Saya pegang tangan kanannya (tangan kirinya memang tidak boleh berfungsi). Insyallah umurnya akan panjang, sebab saya rasakan kehangatan tangannya. Namun, tiba-tiba hati terdetik pula "Inikah saat perpisahan". Waktu itu air mata bagai tidak tertahan-tahan untuk mengalir deras walau telah sedaya upaya menahan sebak.
Suami selepas itu tidak sedar dan menggunakan mesin oksigen untuk bernafas. Doktor sedaya upaya memberi bantuan untuk menstabilkan pernafasannya. Kerosakan teruk berlaku pada paru-paru kiri menyebabkan banyak darah dikeluarkan dari paru-paru. Tulang rusuk dari nombor 2 hingga 7 juga patah. Tulang rusuk nombor 5 hingga 7 lagi parah kerana patah tiga yang menyebabkan suami menghadapi kesukaran untuk bernafas. Kecederaan lain tidak dapat dikenal pasti terutamanya bahagian kepala. Doktor hanya berusaha untuk menstabilkan pernafasan sahaja.
Detik tersebut berlarutan sehingga hari kelima suami tidak sedarkan diri. Doktor menyatakan harapan hidup amat tipis memandangkan kerosakan paru-paru agak parah terutama di sebelah kiri. Bagi saya yang hidup, sentiasa dipenuhi harapan biarpun tiada siapa lagi yang menyatakan suami saya akan hidup. Sedaya yang mungkin saya panjatkan segala kudrat untuk memastikan proses pemulihan berlaku. Selagi mungkin, individu lain yang hadir hatinya bersama saya turut membantu mempercepatkan proses ini. Bagi yang ke tanah suci, (paling hampir berada di sana) memohon kesembuhan untuk suami. Hatta, anak-anak kecil yang menjadi anak didik suami (yang bersih hatinya). Anak kecil ini memanjatkan doa untuk gurunya dan memegang surah Yasin biarpun tidak tahu membacanya. Malah, anak-anak yang paling nakal di sekolah juga melakukan perkara yang sama. Khabarnya mereka juga agak rapat dengan ustaznya dan itu yang mendekatkan hati mereka.
Hari keenam, suami telah sedar tetapi tidak boleh bercakap (saluran oksigen masih dalam kerongkong). Dunianya masih dalam keadaan separa sedar. Syukur tuhan! mata yang terbuka dan mengenali individu lain di sekitarnya memberi sinar baru dalam hidup. Harapan untuk hidup semakin cerah biar belum pulih sepenuhnya.
Hari kelapan, saat kritikal di ICU telah berlalu apabila di pindahkan ke ‘High Dependency Ward’ (HDW). Walau masih dengan bantuan pernafasan, beliau sudah boleh bercakap. Sahabat-sahabat warga LHDNM yang melawat selepas 8 Ogos 2008 pasti terkejut kerana suami saya boleh bercakap dan mula ingin duduk. Proses pemulihan terus berlaku sehingga hari keenam belas, kami sama-sama pulang ke rumah setelah sekian lama berada di Hospital Serdang.
Di sebalik tabir, saya dan teman-teman warga JP serta PRS juga tentu ingin mengetahui apa yang berlaku di sebalik pemulihan yang berlaku untuk dikongsi bersama. Apa yang menjadi sumber kekuatan kepada suami saya untuk pulih dan apa yang membolehkan dia pulih dengan cepat (walhal mengikut perkiraan doktor, mengikut adat dan mengikut pandangan mata) hidup akan berakhir.
Di dalam hatinya sentiasa ada harapan untuk hidup.
Itu yang sentiasa tersemat dan ingin pulih cepat mungkin. Harapannya untuk menjaga ibu yang sakit. Tulisan terawal yang ditulisnya pada hari beliau boleh membuka mata. Huruf M. Saya tanyakan "Adakah khabar tentang Ma?" Beliau anggukkan kepala. Rupanya kasih pada ibu sentiasa di dalam dadanya. Air mata saya sendiri bergenang. Tak mengapa air mata kalau pun ingin keluar di saat ini.
Bonda saya sendiri cuba menenangkan saya di hari-hari kritikal suami di ICU. Jika mengikut perkiraan, tiada hayat suami saya lagi memandangkan topi keledar yang dipakainya pecah dua dan retak di bahagian kiri, malah dipenuhi darah. Jangkanya keadaan kepala suami cedera teruk. Saya penuh kebimbangan menunggu keputusan ‘scan’ pada hari keempat di hospital. Syukur lagi sekali, jangkaan doktor meleset. Kepalanya hanya mengalami gegaran, namun boleh jadi juga berlaku gangguan pada memori. Apa pun sehingga saat ini saya masih berdoa tiada kerosakan atau pendarahan di bahagian kepala. Semua ini adalah keajaiban tuhan dan saya percaya tidak sedikit pun kita rugi apabila menjaga seorang ibu. Kasih tuhan atas hambanya barangkali kerana kasih kepada ibu.
Sahabat warga JP dan PRS yang dikasihi, andainya ada ayah bonda yang jauh. Bawalah kasih semakin dekat di hati. Jika ada keupayaan dan seboleh-boleh usaha, jagalah ayah bonda di teratak (rumah) sendiri. Seandainya ia sukar dilakukan, jenguklah mereka selalu. Usahlah sering melangkau luar negara melakukan ziarah itu dan ini tetapi tiada ruang waktu untuk ayah bonda. Peringatan ini untuk diri sendiri agar sentiasa membawa kasih ayah dan bonda sehingga ke akhir hayat.
Sahabat, saya percaya ramai di antara kita yang melalui saat-saat getir yang telah saya lalui ini biarpun ia tidak di tinta di atas mana-mana wadah. Tapi percayalah, selagi ada harapan selagi itu tuhan memberi kesempatan. Sekiranya sebaliknya berlaku, nyatalah janji tuhan telah sampai yang memerlukan kita untuk berubah.
Detik ini juga memberi perubahan dalam hidup. Peristiwa yang berlaku bukanlah sia-sia. Ada kalanya tanpa peristiwa, kita sukar membuat perubahan dan mengusahakan sesuatu yang baru.
Demikian juga dengan sejarah yang berlaku dalam negara. Dengan penjajahan Inggeris, serangan Jepun dan Komunis menjadi pemangkin untuk rakyatnya bertungkus-lumus keluar dari kemelut ini. Sekali gus, mencari jalan dalam usaha mendapatkan kemerdekaan. Menjelang 31 Ogos 1957, kemerdekaan telah tercapai sehingga kini menjangkau 51 tahun kemerdekaan. Diambang waktu di bulan Ogos ini, Selamat Hari Merdeka dan terapkan semangat kemerdekaan dalam jiwa dan minda. Lakukan perubahan yang membina dalam diri.
Norazimah Ibrahim
Counselor Officer
Inland Revenue Board of Malaysia
Human Resouce Management Division
8th Floor, Block 9
Goverment Building Complex
Jalan Duta P.O Box 11833
50758 Kuala Lumpur
"Amalan yang baik adalah melakukan secara terus menerus walaupun sedikit"
Fandi Ahmad Tidak Tolak Kemungkinan Rombak Pemain Sri Pahang FC Apabila
Berdepan JDT Selasa Ini
-
*KUANTAN:* Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menolak kemungkinan
melakukan rombakan pemain apabila berdepan pendahulu Liga Super, Johor
Darul T...
7 hours ago
1 comment:
salam.. tak nak join gath ke...
Post a Comment